Pages

19 July 2011

Haram 2

Setelah kita melihat hakikat hukum haram pada post sebelum ini, tulisan ini adalah perbincangan lebih lanjut mengenai soal haram.

Sebagaimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa hukum haram itu datang dengan sebab adanya dalil yang menunjukkan tahrim (pengharaman) sesuatu perkara. Maka dengan sebab itu para fuqaha',  dalam usaha menentukan hukum sesuatu perkara berpegang pada beberapa aturan yang penting supaya hukum yang keluar itu adalah semata-mata hasil daripada kefahaman yang telus dan ikhlas terhadap nas-nas syara'. Dan bukannya berasaskan emosi atau kecenderungan mereka terhadap sesuatu.

Pendekatan paling penting yang diambil oleh para fuqaha' adalah dengan tidak meletakkan hukum sebelum adanya dalil yang menunjukkan hukum tersebut. Justeru, apabila dihadapkan dengan sesuatu masalah, fuqaha' akan terlebih dahulu berpegang kepada hukum asal yakni mubah (harus) dan hukum harus ini kekal terhadap masalah tersebut selagimana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya.

Malangnya sesetengah individu yang merasakan diri mereka faqeh (walaupun hakikatnya tidak), tidak berpegang kepada disiplin penetapan hukum ini. Mereka terlebih dahulu meletakkan hukum bagi sesuatu perkara sebelum menemukan dalil yang menunjukkan hukum tersebut. Kemudian barulah mereka mancari-cari dalil bagi menyokong perbuatan mereka. 

Sebagai contoh, si fulan dalam menentukan hukum masalah A, menetapkan hukum masalah itu sebagai haram sebelum membuat rujukan kepada nas-nas syara'. Selepas dia membuat penetapan hukum haram maka barulah dia menyelak nas-nas syara' untuk mencari dalil yang menyokong ketetapannya itu. 

Demi menyokong ketetapan yang telah dia tetapkan maka si fulan cuma mengambil dalil-dalil yang cederung kepadanya sahaja dan meninggalkan dalil-dalil yang bertentangan dengannya. Selain itu, dia mentafsirkan segala dalil yang dia temui supaya sesuai dengan hukum yang telah terlebih dahulu dia tetapkan tadi meskipun dalil-dalil tersebut bukanlah secara jelas mengarah kepada apa yang diperkatakannya.

Pendekatan sebegini adalah tertolak sama sekali kerana ini tergolong dalam kalangan tashri' (pensyariatan) dengan nafsu. Si fulan dalam hal ini telah mendahulukan dirinya daripada Allah dan Rasul dari segi meletakkan hukum sebelum Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"ًWahal orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mendengan dan Maha Mengetahui"

Pendekatan sebegini berlaku biasanya dengan sebab ta'sub, fanatik terlampau mahupun kebencian terlampau terhadap sesuatu perkara. Contohnya, si fulan merasakan dirinya dan keturunannya ini mulia maka dia membuat hukum bahawa haram bagi ahli keluarganya berkahwin dengan keturunan lain yang tidak setaraf dengan keturunannya. Lalu mulalah dia menyemak Al-Qur'an dan Sunnah untuk mencari dalil untuk menyokong hukum haram yang diletakkannya tadi. Perbuatan sebegini adalah tertolak dan tergolong dalam kategori mengeluarkan hukum berdasarkan nafsu.

Seterusnya, kita akan melihat pula tentang jenis-jenis haram. Haram terbahagi kepada 2.

1) Haram lizatihi: sesuatu yang haram disebatkan zat perkara itu sendiri yang mengandungi keburukan. Contohnya, zina, mencuri dan minum arak.

2) Haram lighairihi: sesuatu yang asalnya tidak haram tetapi menjadi haram dengan sebab-sebab lain yang tertentu. Misalnya, berpuasa pada hari raya dan jual beli yang mengandungi riba'.  

Fuqaha' membahagikan haram kepada dua dengan sebab perbezaan kesan yang dibawa oleh haram lizatihi berbeza daripada haram lighairihi.

Haram lizatihi adalah sesuatu yang tidak disyariatkan pada asalnya. Sekiranya sesuatu yang haram lizatihi dilakukan maka perkara tersebut adalah terbatal dan tidak membawa sebarang kesan atau maksud yang baik. Contohnya, perbuatan zina tidak akan membawa kepada wujudnya nasab dan pewarisan sekiranya lahir anak daripada zina tersebut. Begitu juga curi tidak menjadi sebab pemilikan sah ke atas barangan yang dicuri.

Haram lighairihi pula adalah disyariatkan pada asalnya tetapi tidak disyariatkan daripada segi sifatnya. Oleh itu, fuqaha' mazhab Hanafi berpendapat perkara yang haram lighairihi boleh membawa kepada wujudnya sesetangah hukum syara'. Misalnya, dalam jual beli yang melibatkan riba', pemilikan ke atas barang belian tetap berpindah daripada penjual kepada pembeli.

Pautan: Haram 1

No comments: