Pages

09 July 2011

BERSIH 2.0 dan Campur Tangan YDPA


Campur tangan Yang Di-pertuan Agong (YDPA) untuk meredakan ketegangan berkaitan penganjuran BERSIH 2.0 adalah suatu tindakan yang sangat dihargai. Selaku ketua negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, saya melihat YPDA telah melaksanakan tugas baginda dengan menjadi orang tengah dalam kemelut ini demi memastikan negara berada dalam keadaan yang stabil dan aman.

Sememangnya YDPA perlu memainkan peranan baginda dalam isu ini kerana Kerajaan mahupun Perdana Menteri bukanlah pihak yang sesuai untuk menjadi pengadil kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada 'peserta' yang terlibat dalam kemelut BERSIH 2.0 ini. Yakni, meski BERSIH 2.0 dianjurkan untuk membuat tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya, kerajaan telah dengan sendirinya ikut campur dalam masalah ini seolah-olah BERSIH 2.0 ingin membuat tuntutan terhadap kerajaan sekaligus menjadikan kerajaan sebagai salah satu 'peserta' dalam kemelut BERSIH 2.0. 

Sesetengah pihak menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan mengatakan campur tangan YDPA ini adalah di luar bidang kuasa baginda sebagai raja berpelembagaan kerana Perkara 42 memperuntukkan YDPA bertindak atas nasihat Kabinet (baca di sini). Bagi saya ini adalah reaksi mereka yang tidak belajar atau tidak faham Constitutional Law.

Saya melihat Perkara 42 tidak sesuai untuk diaplikasikan dalam kemelut BERSIH. Ini kerana 'bertindak atas nasihat kabinet' dalam isu ini akan menyebabkan YDPA menjadi seorang ketua negara yang berat sebelah dan bersifat politik kepartian yang mana tidak seharusnya berlaku memandangkan YDPA adalah tempat terakhir bagi rakyat mengadu nasib. Justeru, baginda perlu dan mesti berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira baju politik yang dipakai oleh mereka.

Dalam menghadapi kemelut yang melibatkan pertembungan parti-parti politik seperti BERSIH 2.0 ini, YDPA perlu menggunakan kuasa baginda yang mana disebut dalam Constitutional Law sebagai "reserve power" yakni kuasa yang tidak disebutkan dalam perlembagaan tetapi perlu diberikan kepada YDPA selaku ketua negara demi menyelesaikan masalah yang tidak boleh atau tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan yang ada. 

Contohnya, sekiranya kerajaan bertindak menafikan hak asasi manusia atau bertindak bertentangan dengan perlembagaan, adakah YDPA masih perlu bertindak atas nasihat kabinet? Jawapannya semestinya tidak dan sebaliknya YDPA perlu mengamalkan "reserve power" baginda bagi memperbetul keadaan dan memastikan kerajaan tidak bertindak sewenang-wenangnya.

Dalam isu BERSIH 2.0 ini pula, sekiranya YDPA bertindak atas nasihat Kabinet dalam berhadapan kemelut ini maka semestinya kerajaan dan SPR akan 'dimenangkan' dan segala tuntutan BERSIH 2.0, walaupun hakikatnya sebahagian tuntutan mereka adalah benar dan wajar akan dilihat dengan mata yang tertutup. Sekiranya ini berlaku, maka ternafilah peranan YDPA selaku pembela nasib rakyat dan ter'aiblah kedudukan baginda sebagai seorang raja yang seharusnya mengecualikan diri daripada terlibat dalam permainan politik kepartian. 

Dalam titah baginda, YDPA telah bertindak bijak dengan mengambil pedekatan atas pagar yakni tidak menafikan hak rakyat untuk menuntut demokrasi tetapi mengutuk sebarang bentuk keganasan yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Namun sesetengah pihak tidak bertanggungjawab terutama media kaki bodek telah memanipulasi titah YDPA ini. Mereka ingin membodohkan rakyat dan melaporkan yang kononnya YDPA melarang perhimpunan BERSIH sedangkan YDPA dalam titah baginda tidak melarang BERSIH tetapi mengingatkan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang menggugat kestabilan negara dalam keghairahan menuntut demokrasi.

Saya bukanlah penyokong BERSIH 2.0 kerana saya melihat BERSIH sebenarnya tidak sebersih namanya. Ini kerana BERSIH sendiri bergelumang dengan politik kepartian sehingga BERSIH menjadi senjata bagi sesetengah ahli politik keparat dalam mencapai matlamat mereka. Salah satu tuntutan bersih ialah menghentikan politik kotor tetapi parti politik yang menyokong BERSIH juga tidak kurang kotornya. Cuma parti politik tersebut muka tembok tak mengaku dia kotor dan hanya nampak orang lain kotor.

Mekipun begitu saya merasakan sesetengah tuntutan BERSIH adalah wajar. Oleh itu penilaian yang adil perlu diberikan kepada mereka. Hanya dengan cara ini kita menjadi negara yang adil.

1 comment:

FARHAN ALIA said...

setuju.apa yg dilakukan adalah wajar.