Pages

17 June 2011

Karikatur Utusan & Ucapan Abd Hadi Menghina Islam?


Karikatur yang di atas telah disiarkan oleh akhbar Utusan yang mana boleh difahami sebagai reaksi terhadap ucapan Presiden PAS, Abd Hadi Awang dalam muktamar PAS berhubung isu video seks yang dikatakan melibatkan salah satu pemimpin pembangkang.

Dalam reaksinya terhadap kewujudan video seks tersebut, Abd Hadi berkata lebih kurang begini, "Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata, dia hanya besi”.

Kenyataan ini bagaimanapun tidak menjadi kontroversi. Bahkan disahut dengan laungan takbir oleh mereka yang hadir dalam muktamar tersebut.

Persoalannya apakah kenyataan Abd Hadi ini benar menurut Islam? Apakah benar Islam begitu terkebelakang dan kolot dalam undang-undang jenayahnya tidak menerima video rakaman sebagai bahan bukti?

Sebagaimana yang telah dibincangkan oleh fuqaha', jenayah zina, rogol dan liwat boleh disabitkan melalui 3 cara yakni iqrar (pengakuan), pertuduhan yang disokong oleh 4 orang saksi ataupun pembuktian yakni hamil luar nikah. Jadi mana letaknya rakaman video sebagai status bahan bukti?

Memang benar tidak disebut dalam Al-Qur'an ataupun Sunnah tentang status rakaman video sebagai bahan bukti dalam penyabitan kes jenayah. Sebabnya ketika Al-Qur'an diturunkan dan Sunnah diucapkan, rakaman video adalah suatu perkara yang tidak tercapai oleh teknologi pada zaman tersebut.

Namun apakah ini bermakna ilmu penciptaan dan teknologi video yang dikurniakan Allah kepada manusia itu adalah ilmu yang sia-sia, hanya boleh digunakan untuk perkara-perkara santai dan hiburan dan tidak boleh dimanfaatkan bagi memartabatkan dan menyambung kelansungan Islam di zaman moden ini?

Sekiranya kita mengambil pendekatan yang ketat dalam penerimaan bahan bukti penyabitan kes hudud zina, liwat dan rogol untuk tertakluk kepada 3 cara yang disebutkan di atas sahaja, ini tidak bermakna rakaman video tidak ada nilai langsung di sisi Islam.

Kita jangan jadi dangkal agama dan mengandaikan yang undang-undang jenayah Islam itu hanya berkisar tentang hudud sahaja. Dan jangan pula kita sengaja melupakan sebahagian perkara yang terdapat dalam agama semata-mata demi memuaskan hati sesetengah pihak.

Jenayah ta'zir adalah jenayah selain daripada jenayah Hudud dan Qisos yang mana hukumannya ditetukan oleh pemerintah dan cara pembuktiannya adalah lebih fleksible berbanding hudud. Jangan kita memperlekehkan peranan jenayah ta'zir dalam Islam kerana jenayah ta'zir juga boleh merangkumi jenayah-jenayah serius seperti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, penyeludupan manusia serta segala jenayah yang termasuk di bawah jenayah Hudud dan Qisos tetapi tidak cukup untuk memenuhi syarat untuk penyabitan Hudud dan Qisos.

Contohnya, apabila berlaku jenayah rogol tetapi hanya ada 3 orang saksi sahaja (tidak cukup empat) untuk menyabitkan jenayah tersebut apakah si tertuduh boleh terlepas begitu sahaja? Jawapannya tidak. Meskipun si tertuduh tidak boleh dihukum untuk jenayah hudud tetapi dia masih boleh dihukum untuk jenayah ta'zir. Beginilah peranan ta'zir dalam melengkapi undang-undang jenayah Islam.

Dengan penjelasan yang di atas maka dapatlah kita fahami bahawa perkataan Abd Hadi itu tidak tepat. Bukannya saya mengatakan perkataan tersebut salah seratus peratus tetapi apa yang dikatakannya cuma separuh daripada apa yang dikatakan oleh Islam dan ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang didukung sebagai ulama'. Rakaman video tidak boleh digunakan sebagai bukti dalam jenayah hudud tetapi boleh jadi berguna dalam penyabitan jenayah ta'zir.

Meski apa yang dikatakan oleh Abd Hadi ini disambut takbir, bila Utusan menyiarkannya dalam suatu sudut yang berbeza, pihak yang berat sebelah mula memberikan interpretasi mereka terhadap kartun tersebut kononya menghina Islam. Pastinya interpretasi mereka ini bukan interpretasi yang benar sebabnya kalaulah orang yang tidak pandai berpolitik seperti saya ini faham maksud yang ingin disampaikan oleh kartun tersebut masakan mereka yang berpolitik bagai nak gila tidak faham maksudnya. Nampak sangat kebusukan dan kejahatan niat di hati mereka.

Utusan pula tidak patut sewenang-wenang demi memberi respon terhadap ucapan Abd Hadi, mengeluarkan karikatur yang sedemikian. Sifat terburu-buru dan tidak berfikir panjang terutama dalam memaparkan perkara yang berhubung kait dengan agama adalah tindakan yang bodoh kerana ini boleh, dengan tidak semena-mena memberi imej buruk kepada agama terutama mereka yang tidak faham agama.

Mereka yang faham agama apabila mendengar ucapan atau melihat karikatur sebegini akan berfikir yang inilah akibat daripada kecetekan / eksploitasi agama tetapi orang yang tidak faham agama akan fikir yang inilah agama.
  
Saya tidak melihat permainan Abd Hadi dan Utusan ini adalah permainan agama dan tidak pula saya ambil perkataan mereka sebagai penghinaan kepada Islam. Demi keadilan kalau kita kata Abd Hadi menghina Islam maka Utusan juga menghina Islam begitulah juga sebaliknya kerana mesej yang disampaikan oleh mereka adalah mesej yang sama.

Inilah apa yang jadi apabila keduanya terdesak ingin memuaskan hati sesetengah pihak dan menjaga hati sesetangah yang lain. Abd Hadi beri komen untuk memuaskan hati penyokong PAS yang tertanya-tanya tentang pendiriannya berkenaan isu video seks dan dalam masa yang sama ingin menjaga hati penyokong Anwar Ibrahim yang dikatakan telibat dengan video tersebut manakala Utusan pula ingin memuaskan hati mereka yang tidak sebulu dengan PAS tidak kiralah UMNO atau siapapun. Politik jadi nombor satu, agama jatuh nombor dua.

Politik itu memang tidak dapat dipisahkan daripada agama daripada segi bagaimana permainan politik itu seharusnya berlansung, etika, tatacara dan matlamatnya. Tetapi eksploitasi atau mempergunakan agama untuk menang politik atau memuaskan hati sesetengah pihak dan menjaga hati sesetengah yang lain adalah perkara terkutuk yang sangat hina. Semoga kita semua dijauhkan daripada fitnah ini. Amin.

No comments: