Pages

24 June 2011

Biasiswa Jadi Dermasiswa


Ketika ditemuramah dalam slot Morning Kaki''s kendalian stesen radio One FM, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan polisi berkaitan pemberian biasiswa akan dirombak semula. Kecemerlangan dalam SPM tidak lagi akan menjadi satu-satunya kayu pengukur dalam pemberian SPM. Biasiswa hanya akan diberi kepada pelajar jika mereka mendapat tempat di universiti terkemuka yang akan disenarai oleh kerajaan kelak serta mencatat keputusan cemerlang secara konsisten.

Meski saya bukanlah penerima biasiswa kerajaan, saya melihat tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan ini adalah suatu tindakan yang bijak dan sangat wajar untuk disokong. Bukan setakat pemberian biasiswa diperingkat SPM sahaja malah rombakan ini perlu juga diperluas untuk meliputi polisi permberian biasiswa diperingkat universiti. Malah polisi kerajaan terhadap penerima biasiswa sedia ada juga perlu disemak. Ini kerana polisi sedia ada lebih menjerumus kepada pembaziran peruntukan wang biasiswa disebabkan tindakan salah-guna oleh pelajar sendiri.

Menjadikan keputusan SPM sebagai satu-satunya kayu pengukur kecemerlangan pelajar adalah tidar wajar. Sebabnya, sebagai seorang pelajar di universiti saya dapat melihat bagaimana salah-guna wang biasiswa yang dilakukan oleh para penerima biasiswa tidak kiralah daripada sumber mana sekalipun, badan kerajaan mahupun swasta.
Kebanyakan mereka hanya belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan biasiswa dan sebaik sahaja pemberian biasiswa diluluskan mereka mulalah mengambil pelajaran dengan sambil lewa. Hanya keputusan peperiksaan semester pertama sahaja yang cemerlang kerana keputusan peperiksaan semester pertama diperlukan untuk memohon biasiswa dan kemudian keputusan mereka mula merudum. Bagi mereka asalkan 'cukup makan' maka sudah memadai.

Contohnya, untuk mendapatkan biasiswa JPA, keputusan minimum adalah CGPA 3.5 tetapi setelah mendapat biasiswa mereka hanya perlu mengekalkan sekurang-kurangnya CGPA 2.5. Untuk semester pertama sememangnya para pelajar ini belajar bersungguh-sungguh untup mengecap 3.5 tetapi setelah mendapat biasiswa, GPA/CGPA mereka mula turun sehingga ada yang mendapat GPA/CGPA dibawah 3.0.

Lebih buruk lagi apabila biasiswa yang diberikan oleh kerajaan ini disalah-guna oleh si penerima biasiswa. Mereka menggunakan wang yang diberikan untuk berpoya-poya bersama kekasih mereka, berhibur secara berlebihan, membeli gajet-gajet mahal, game, bertukar ganti telefon bimbit dan laptop serta bermewah-mewahan dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Tetapi bila bab membeli buku, mereka hanya photostat itupun tajuk-tajuk yang berkenaan sahaja sedangkan wang biasiswa tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu dalam pembelajaran.

Persoalannya adakah pelajar-pelajar haprak sebegini harus dimewahkan dengan bantuan kewangan oleh kerajaan sedangkan lebih ramai pelajar lain yang memerlukan bantuan kewangan, lebih memandang serius terhadap pembelajaran mereka dan lebih konsisten dalam keputusan peperiksaan mereka.

Pelajar yang haprak sebegini tidak lain dan tidak bukan adalah mereka yang tidak bertanggungjawab dan  tak sedar dek untung. Mereka tidak sedar yang mereka ini makan dan minum menggunakan dana awam sebaliknya tidak memberi manfaat kembali kepada awam tetapi menggunakan wang yang diberikan untuk berpoya-poya. Mereka mengkhianati amanah dan harapan yang diberikan oleh masyarakat awam kepada mereka. 

Selain itu kerajaan juga seharusnya mengemaskini keadaan para penerima biasiswa secara kerap untuk memastikan dana yang diperuntukkan tidak dipersiakan. Jika perlu kerajaan harus menarik balik biasiswa mereka yang tidak konsisten dalam pelajaran. Bahkan sekiranya pelajar didapati menyalahguna wang biasiswa, mereka sepatutnya diarah untuk membayar semula wang yang telah diterima.

Penyemakan semula polisi pemberian biasiswa ini sepatutnya telah lama dilaksanakan. Namun masih belum terlambat untuk kerajaan melaksanakannya. Sememangnye usaha ini perlu disokong oleh semua, meski ramai pelajar-pelajar haprak diluar sana yang akan membantahnya.

No comments: