Pages

20 May 2011

Mengata Dulang Paku yang Serpih

Solat Jumaat Si Peniaga Pasar Jumaat

Kalau malam-malam tertentu dalam seminggu ada pasar malam, hari Jumaat ada pasar Jumaat. Pasar di mana peniaga berniaga di luar pagar masjid sebelum dan sesudah solat Jumaat meskipun ada juga yang berniaga semasa solat Jumaat yakni semasa khutbah. Ada yang jual makanan, pakaian, aksesori, minyak wangi, ubat-ubatan dan segala macam benda yang boleh di jual.

Ada seorang pak cik daripada Kelantan  kerap datang berniaga pada hari Jumaat di depan Masjid Jamek Kg Baru. Pak Cik ini menjual ubat katanya dirumus daripada herba-herba hutan yang kononya boleh mengubat darah tinggi, sakit pinggang dan lain-lain penyakit yang berkaitan dengannya. 

Namun tulisan ini bukanlah untuk mempromosikan ubat yang dijual oleh pakcik tersebut. Si pak cik ini antara ayat-ayat yang digunakan untuk mempromosikan ubat penawar sakit pinggangnya ialah dengan berkata, "Dalam solat kalau ruku’ tak sempurna maka tidak sah solat". Dia merujuk kepada orang yang sakit pinggang lalu tidak dapat ruku’ dengan sempurna dek kerana sakit pinggang maka di mengatakan solat sebegini tidak sah. 
Apabila dekat waktu solat jumaat pak cik ini pun menutup kedainya dan kemudian membentangkan sejadahnya di tempat dia berniaga. Untuk pengetahuan para pembaca, tempai dia berniaga itu adalah di kaki lima di luar pagar masjid. Bukan di halaman masjid tetapi di luar pagar masjid. 

Justeru hati saya berkata, pak cik ini bukan main lagi kata solat orang tidak sah tapi sedarkah dia adakah sah solat Jumaatnya yang tidak dilakukan beserta dengan jemaah lain. Mana pergi safnya kalau sudah sejadah itu dibentangkan di luar pagar masjid? Bukankah solat Jumaat itu mesti dilakukan secara berjemaah. 

Sekurang-kurangnya orang yang solat tetapi ruku’ dengan tidak sempurna itu tidak dapat menyempurnakan ruku’nya kerana sakit. Ini boleh dimaafkan lagi jika dibandingkan dengan pakcik yang sengaja solat di kaki lima di luar pagar masjid tanpa ada keuzuran.

Itulah kata orang, mengata dulang paku yang serpih. 

Membuat Tuntutan Kewangan lebih daripada yang Dibelanjakan / Tuntutan Palsu

Ini kisah beberapa orang hamba Allah yang saya kenal. Mereka minat politik. Dalam mereka menyibukkan diri mereka berpolitik, mereka juga rajin memberi komen berkenaan dengan situasi politik semasa. Antara topic politik yang mereka bicarakan adalah perihal sesetengah ahli politik yang korup, yang suka makan suap (rasuah). 

Suatu hari salah seorang daripada mereka bercerita kepada saya. Mereka ini kadang-kadang diberi tugas oleh bos mereka untuk menghantar surat atau parcel kepada syarikat lain atau pelanggan. Mereka menghantar barangan tersebut menggunakan motorsikal tetapi apabila tiba waktu untuk membuat tuntutan wang kos penghantaran tersebut, mereka menuntut duit minyak seolah-olah mereka menghantar barangan tersebut menggunakan kereta. Siap tuntut duit tol lagi padahal penunggang motorsikal tidak dikenakan tol. 

Dalam hati saya berkata, jadi apa bezanya ahli politik korup yang mereka kutuk tersebut dengan diri mereka sendiri. Jawapannya, keterlibatan secara langsung dalam arena politik. Seorang ahli politik tetapi kenalan saya itu bukan ahli politik. Tetapi semuanya sama korup. 

Perbuatan mereka ini dikategorikan sebagai membuat tuntutan palsu. Hukumnya haram dan wang yang diperoleh dengan jalan ini juga adalah haram. Sebabnya wang tersebut diperoleh dengan cara penipuan dan boleh digolongkan dalam kategori memakan harta orang lain dengan jalan batil yang mana dilarang keras oleh Allah dalam Al-Qur'an.

Benar lagi sekali kata orang, mengata dulang paku yang serpih.

1 comment: