Pages

30 April 2011

Sumpah Laknat @ Mubahalah

Semalam sekali lagi Malaysia menyaksikan peristiwa sumpah laknat. Kali ini oleh Shazryl Eskay berkenaan isu sebuah video klip tidak bermoral yang kononnya beliau merupakan salah seorang daripada 2 orang lelaki yang tertera dalam video tersebut.

Setahu saya perbuatan sumpah laknat ini mula popular di Malaysia sejak dipelopori oleh seorang Saiful Bukhari yang mendakwa kononya dirinya diliwat.

Saya bukan penyokong Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dalam kedua-dua kes di atas tetapi bagi saya tindakan sumpah laknat ini adalah tindakan buang masa lagi sia-sia. Saya tidak melihat yang perbuatan ini memberi apa-apa faedah bahkan sebenarnya membawa keburukan dari segi mewujudkan kucar-kacir dalam kalangan umat Islam, penghinaan kepada nama Allah dan penghinaan kepada masjid Allah.

Sebab saya menggunakan perkataan 'kononnya' walaupun kedua-dua invividu ini telah pun melafazkan sumpah laknat adalah kerana sumpah yang mereka lafazkan itu tidak membawa apa-apa maksud. Tidak pula sumpah laknat tersebut boleh menjadi bukti yang mereka tidak berbohong. Sebabnya, sesiapa sahaja yang tidak takut dengan Allah, sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan diri mereka. Jangan katakan sumpah laknat, lebih daripada itu pun sanggup dilakukan.


Dalam Islam, tidak kiralah daripada mana-mana mazhab sekalipun, jenayah hudud seperti zina dan liwat (sebagaimana pendapat jumhur) tidak akan tersabit dengan sumpah. Bahkan sudah terang-terangan Allah menjelaskan dalam Al-Qur'an bahawa tidak dapat tidak, pihak yang menuduh mesti membawa empat orang saksi yang adil bagi mengesahkan tuduhannya itu. Firman Allah Ta'ala:


وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً
"dan mereka yang menuduh perempuan tetapi tidak mengemukakan 4 orang saksi maka sebatlah mereka 80 kali sebatan."
[An-Nur: 23]


Cara lain yang diterima untuk menyabitkan jenayah zina dan liwat adalah dengan pengakuan oleh si pelaku itu sendiri dihadapan qadi. Terdapah juga cara penyabitan yang diperselisihkan oleh fuqaha' seperti kandungan luar nikah tetapi tidak pernah pula saya belajar (sepanjang pengetahuan saya yang cetek ini) bahawa sumpah diterima untuk menyabitkan zina atau liwat.

Barangkali sebab utama perkara ini berlaku adalah kerana si pelaku bukanlah seorang yang mahir dalam agama tetapi sekadar terikut-ikut dengan cadangan orang lain. Orang cadangkan dia buat sumpah laknat dia pun setuju. Orang lain buat sumpah laknat dia pun mahu sumpah laknat. Orang lain popular dengan sumpah laknat dia pun nak popular sama dengan sumpah laknat.

Kaedah fiqh yang terpakai dalam masalah penyabitan jenayah adalah:

البينة علي المدعى واليمين على من انكر
"(Mengemukakan) bukti bagi yang menuduh manakala (melafazkan) sumpah bagi yang menafikan".

Malangnya apa yang berlaku adalah bersalahan dengan kaedah ini. orang yang menuduh pula yang bersumpah sedangkan Islam menuntut orang yang menuduh supaya membawakan bukti.

Ada orang kata isu penyabitan jenayah dengan sumpah laknat ini adalah 2 isu yang berbeza. Kata mereka, sumpah laknat ini adalah untuk menentukan siapa yang becakap benar dan siapa yang tidak. Persoalannya benarkah sebagaimana yang dikatakan oleh mereka ini. 

Adakah dengan bersumpah laknat, tuduhan zina atau liwat itu diterima sebagai benar meskipun si penuduh tidak membwakan empat orang saksi? Apakah dengan bersumpah laknat seseorang yang telah membuat tuduhan zina atau liwat tetapi tidak mengemukakan 4 orang saksi boleh terlepas daripada hukuman had qazaf?

Daripada Ibnu Abbas r.a bahwa Hilal bin Umayyah r.a pernah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Sahma' di hadapan Nabi saw. Kemudian Nabi saw bersabda, “Kamu harus dapat membuktikan, atau (kalau tidak) hukuman had akan dikenakan kepada kamu.” Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, jika seorang di antara kami telah melihat seorang lelaki berada di atas isterinya, masihkah dituntut untuk pergi mencari bukti?”. Maka baginda pun bersabda, “Kamu mesti membuktikan, jika tidak maka hukuman had bagi kamu”. Hilal berkata, “Demi zat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, sesungguhnya aku benar-benar jujur. Maka aku berharap Allah menurunkan ayat Qur’an yang dapat membebaskan aku dari hukuman had.” Maka turunlah Malaikat Jibril dan menyampaikan ayat Li'an kepada baginda.

Daripada riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa zina (dan liwat) tidak tersabit dengan cara bersumpah melainkan sumpah seorang suami yang menuduh isterinya berzina yakni li'an. Ini dapat kita fahami daripada tindakan Rasulullah yang menyuruh Hilal membawakan empat orang saksi meskipun Hilal bersumpah bahawa dia berkata benar.

Daripada hadith di atas juga dapat kita fahami bahawa sumpah tidak dapat menyelamatkan si penuduh daripada hukuman qazaf melainkan sumpah tersebut diterima sebagai syubhah bagi menggugurkan hukuman qazaf.

Sebaliknya sumpah laknat, dalam situasi yang kita bincangkan ini sebenarnya membawa lebih keburukan daripada kebaikan. Lihat saja kini orang semudah-mudah mempermainkan akuan bersumpah dengan nama Allah seolah-olah nama Allah itu boleh dibuat mainan. Sikit-sikit sumpah laknat. Ini merupakan suatu penghinaan kepada nama Allah lebih-lebih lagi apabila dipergunakan dalam isu-isu yang tidak bermoral sebegini.

Seterusnya upacara yang dilakukan di dalam masjid memberi pencemaran dan penghinaan kepada masjid Allah apabila tercetusnya pergaduhan dan perbalahan dalam masjid sedangkan sebagaimana yang kita maklum orang yang duduk di dalam masjid itu sepatutnya mendapat keamanan dan ketenangan.

Dan lagi, berlaku perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Kelompok yang menyokong si tertuduh mula memaki hamun golongan yang menuduh. Golongan yang menuduh pula mula melawan penyokong si tertuduh. Fitnah berleluasa. Negara mendapat aib dan lebih teruk lagi umat Islam itu sendiri mendapat aib apabila dipalitkan dengan isu-isu kotor sebegini.

Orang kafir mencebik Islam apabila melihat penganutnya berpecah belah dan saling menentang sesama sendiri.Betapa nama Islam itu tercemar dengan isu ini. 

Maka dengan sebab-sebab yang telah saya sebutkan di atas, saya berpendapat bahawa perbuatan mubahalah dalam dua kes ini adalah tidak wajar, sia-sia dan membawa lebih keburukan. Bukan bermakna saya menolak sesuatu yang dibawa oleh Islam tetapi dalam situasi di mana mengamalkan perkara tersebut boleh membawa lebih keburukan daripada kebaikan, maka adalah lebih wajar untuk meninggalkannya. Namun dalam situasi-situasi lain, bukan seperti kes yang sedang kita hadapi ini, saya tidak mempunyai masalah langsung dengan mubahalah.

4 comments:

Anonymous said...

aku share kt facebook

-nina

Anonymous said...

Orang-orang Nasaro Nirjan juga di cabar bermubahalah oleh Nabi kita SAW iaitu berkaitan dengan ketuhanan Jesus. Cabaran ini dibuat semasa lawatan mereka ka ke hadrat Nabi Mohammad SAW.

EimaruSi|ence™ said...

saya pun nk share kat facebook juga

Norzam Nabilah said...

che nab bca ni.
pendapat ang sama dgn dr.harun din komen dlm harakah.