Pages

16 April 2011

Hal Ehwal Guru


Rasanya hari guru, 16 Mei lambat lagi. Tetapi post kali ini tidak mampu untuk menunggu selama itu. Biarkan sahaja terlebih awal sebulan daripada hari guru. Moga-moga nanti di hari guru ada guru yang menghayati isi kandungan penulisan ini.

Mungkin tulisan kali ini bakal merobek dan mengoyakkan hati para guru. Justeru kepada guru yang tidak mahu hatinya dirobek maka silalah menjauhkan diri anda daripada penulisan kali ini.

Tulisan ini juga berpotensi menjadi tulisan yang beremosi. Jadi, silalah bersabar dengan saya meskipun saya mungkin tidak dapat bersabar ketika menulis tulisan ini.
Pertama:


Ada guru mahu jadi guru tapi kedekut ilmu. Ini bukan kedekut ilmu sebagaimana kedekut ilmu dalam post saya yang sebelum ini. Ini adalah kedekut ilmu yang benar-benar kedekut ilmu. Kedekut ilmu dalam post yang lalu perihal orang malas. Malas belajar tapi rajin mengambil kesempatan kepada orang lain. Kedekut ilmu kali ini berkisar tentang pelajar yang hendak belajar tapi gurunya pula yang malas hendak mengajar. Yang peliknya, kalau kedekut ilmu, kalau malas nak mengajar mengapa jadi guru. Soalan yang hanya si fulan bernama guru yang mampu jawab.

Guru itu pun berkata, "awaklah carilah maklumat sendiri, takkan semuanya perlu saya suap ke mulut anda". Guru yang seorang lagi berkata, "kalau anda tidak faham maka anda tak perlu faham". Yang satu lagi berkata, "tugas saya adalah mengajar apa yang ada dalam sukatan matapelajaran, yang luar daripada itu anda carilah sendiri".

Kalaulah begini pendirian anda wahai guru mengapa anda tak kata saja begini, "awak pergilah belajar sendiri, nanti bila peperiksaan anda datang sebab tugas saya hanyalah menanda kertas peperiksaan sahaja, dan itulah gunakan saya ada degree, master dan phd, untuk melayakkan saya menanda kertas peperiksaan".

Kalaulah ini pendekatan yang benar maka pasti Rasulullah tatkala ditanya tentang Allah atau Islam baginda akan berkata, "awak mahu kenal Allah, awak carilah sendiri takkan semuanya saya perlu suap", "awak tidak kenal Islam maka awak tidak perlu kenal". Tetapi tidak pernah sama sekali Rasulullah berbuat demikian kerana baginda adalah guru yang sejati, tidak kedekut ilmu. Tidak pernah malas untuk mengajar macam sesetengah guru itu.

Kedua:

Ada guru yang baik, yakni rapat dengan pelajar. Ini bagus. Sememangnya seorang guru harus mempunyai pergaulan yang baik dengan pelajar dan juga rapat dengan pelajar supaya pelajar tidak segan untuk mengadu masalah pelajaran kepada guru. Tetapi pada pendapat saya baik dan rapat ini perlu terhad kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan pelajaran dan bukannya sampai ke rapat dan baik yang peribadi.

Ini tidak, ada guru yang suka pelajarnya 'menempel' dengannya selalu. Kena selalu pergi 'menziarahinya'. Kena selalu pergi berborak dengannya tak kiralah cerita apapun. Borak kosong pun tidak mengapa asal ada. Kalau anda lakukan ini. Maka anda akan jadi pelajar kesayangan, kesukaan. Kalau tidak, anda adalah pelajar yang biasa-biasa sahaja. Tiada yang lebih. Silap-silap, anda kurang daripada apa yang 'biasa-biasa'.

Pada saya kedudukan seorang guru itu ada sedikit samanya dengan seorang hakim. Sebabnya, anda mengadili pelajar anda tidak kiralah dalam kelas mahupun dalam peperiksaan. Dan keputusan anda ketika mengadili pelajar anda akan memberi kesan kepada pelajar anda di masa hadapan kerana ini akan diterjemahkan dalam bentuk keputusan akademiknya. Maka dengan sebab itu anda harus mengamalkan integriti seorang hakim yakni mengehadkan hubungan anda dan pelajar anda sekadar hubungan professional seorang guru dan pelajar. Supaya tidak timbul soal berat sebelah dan ketidakadilan.

Mungkin anda akan kata yang anda mengadili pelajar anda sama sahaja tidak kira yang selalu 'menempel' dengan anda atau tidak, semuanya mendapat layanan yang sama. Persoalannya dapatkah anda pastikan ini berlaku dalam setiap masa. Bukankah anda juga manusia biasa dan sifat manusia itu terdorong oleh perasaan mereka tidak kira perasaan sayang atau benci. 

Ini berlaku sehingga ada sesetengah pelajar yang tidak suka menempel merasakan mereka di anak tirikan, dibeza-bezakan daripada pelajar yang suka menempel. Mungkin anda boleh kata yang ini fitnah tetapi apa yang penting adalah tugas anda untuk mengelak fitnah daripada berlaku.

Mungkin juga anda akan kata, "apa boleh saya buat, pelajar saya yang datang kepada saya maka saya layan sajalah". Mereka selalu datang sebab anda selalu melayan. Kalau anda tidak layan maka mereka tidaklah datang selalu.

Saya ingatkan cuma artis sahaja yang mengidamkan perhatian daripada peminatnya. Rupa-rupanya ada juga guru yang mengidamkan perhatian pelajarnya. Macam-macam jenis orang ada dalam dunia ini.

Ketiga:

Ada guru yang mahu jadi guru tapi dalam masa yang sama menyibukkan diri mereka dengan kerja-kerja yang tidak termasuk dalam profession perguruan. Sememangnya guru pun ada kehidupannya yang tersendiri. Ini tidak dinafikan. Bukan bermakna seratus peratus hidup anda perlu mengajar tetapi kiranya anda benar ingin menjadi guru maka fokus anda sepatutnya lebih kepada profession perguruan anda dan pelajar anda. Kerja-kerja lain yang anda ingin lakukan tidak seharusnya memberi impak negatif kepada profession anda apatah lagi pelajar anda.

Ini tidak, ada guru hendak jadi guru tapi sibuk buat kerja lain sehingga komitmen terhadap pengajarannya terganggu teruk. Banyak kelas yang ditangguhkan kerana memenuhi komitmennya terhadap kerjanya yang satu lagi. Anda mungkin mendapat keuntungan daripada dua kerja atau dua, tiga, empat kerja yang anda lakukan tetapi bahananya pelajar anda yang rasa. Bila banyak kelas yang anda tangguhkan maka dalam kelas-kelas akan datang, anda terpaksa mengejar sukatan pelajaran memandangkan masa yang ada adalah terhad. Jadi mulalah anda mengajar ala kadar bak kata orang Melayu bak melepaskan batuk ditangga.

Orang nak jadi guru anda nak jadi guru. Tapi anda orang jadi guru semata-mata untuk membaca slide di Power Point. Mana perginya contoh dan penerangan? Kalau setakat baca slide lebih baik para pelajar tak payah bayar yuran mahal-mahal untuk masuk universiti. Baca saja slide di rumah. 

Ini akibatnya bila naluri dan semangat seseorang itu bukan sebagai seorang guru. Tapi sebaliknya semangat untuk menyuap mulut. Jadi guru sebab mahu dapat gaji. Maka tidak kiralah apa jadi dengan pelajarnya asal dapat dia menyuap mulut setiap hari jadilah.


1 comment:

chaz said...

rasanya perkataan guru itu harus ditukar kpd pendidik mungkin lebih nampak tanggungjawab itu. semuanya berbalik kepada hati dan niat.