Pages

29 March 2011

Kedekut Ilmu

Post ini di tulis sempena 'meraikan' musim peperiksaan. Post ini bukanlah bertujuan membalas mana-mana post. Takut-takut ada orang terasa saya membalas post dia pula.

Dalam musim peperiksaan ini tekanan di minda sememangnya berganda-ganda. Terutama untuk para pelajar yang belajar subjek-subjek yang memerlukan mereka menghafal. Kepala rasa berserabut. Hafal yang ini yang itu terlupa, hafal yang itu yang ini terlupa. Sudah hafal pun tiba-tiba semua jadi bercampur-campur. Tapi apa boleh buat inilah resam orang belajar. Nak atau tidak, suka atau tidak tetap kita kena menghadapinya.

Dalam usaha mengulangkaji pelajaran, ada orang yang lebih suka belajar seorang diri ada pula yang suka belajar berkumpulan. Apa pun cara yang diambil tidak menjadi masalah asal saja mereka belajar. Bila kita tidak faham, kita tanya orang dan bila orang tidak faham, dia tanya kita. Kita tolong orang orang tolong kita. Ini sememangnya perkara yang baik.

Namun masalahnya, ada orang yang suka ambil kesempatan, suka ambil jalan mudah. Dia malas hendak belajar jadi dia datang dekat orang yang belajar dan minta mereka ceritakan kepada mereka apa yang mereka belajar daripada awal sampai akhir. Kalau kata si rakan yang belajar ini sudah selesai belajar dan masih mengikut jadual ulangkajinya serta mempunyai masa untuk diluangkan maka bolehlah dia menceritakan daripada awal hingga akhir.

Namun kadang-kala si rakan yang belajar itu juga mengejar masa kerana dia belum habis belajar dan dia terkebelakang daripada jadual ulangkajinya. Maka dengan sebab ini rakan itu enggan bercerita. Lalu si pelajar yang suka mengambil kesempatan ini mengatakan rakannya itu kedekut ilmu, hendak berjaya seorang dan dengan pelbagai tuduhan lagi.

Saya ini jenis orang yang tidak suka beri jawapan apabila orang bertanya kepada saya. Amat jarang sekali bagi saya untuk memberi jawapan secara terus apabila ditanya oleh rakan saya. Selalunya saya akan menjawab soalan mereka itu dengan soalan. Ya, saya menjawab soalan dengan soalan. Saya akan soal balik orang yang menyoal saya itu sehingga dia sendiri dapat menjawab soalan yang ditanyakannya di awal tadi.

Sebabnya banyak. Meskipun saya tidak rasa saya berhutang apa-apa penjelasan kepada sesiapapun, saya berkenan memberi sebab kenapa saya berbuat demikian. 

Pertama, apabila saya tanya kembali kepada orang yang bertanya itu maka saya akan tahu sama ada rakan saya itu sudah ulangkaji atau tidak. Adakah dia tanya saya sebab dia tidak faham setelah membaca tajuk tersebut ataupun dia malas hendak membaca. Kalau dia sudah ulangkaji tetapi tidak faham maka barulah saya berminat untuk melayan soalannya itu tetapi kalau tidak maka saya akan suruh dia pergi baca buku.

Kedua, saya ingin melatih rakan saya itu berfikir. Kalau saya terus memberi jawapan maka rakan saya itu tidak berfikir, jadi malas. Saya percaya otak kita ini kalau tidak digunakan lama-lama otak akan jadi bengap, jadi dungu.

Ketiga, emak saya selalu berkata, kalau senang kita dapat sesuatu maka kita tak hargai benda itu. Kalau senang kita dapat jawapan maka senang pula kita lupa. Ini bukan alasan semata-mata tetapi sudah banyak kali berlaku. Bila saya bagi jawapan secara terus maka kemudian orang itu akan datang kembali tanya soalan yang sama sedangkan saya sudah berbuih mulut bercerita kepada dia sebelum itu.

Keempat, saya tidak suka orang yang suka mengambil kesempatan ke atas orang lain. Mereka mahu mendapat manfaat daripada orang lain dengan jalan mudah tetapi tidak pula memberi manfaat kepada orang tersebut.

Kelima, saya tidak suka orang yang malas. Bukan saya kata yang saya ini rajin. Ada masa-masanya saya merasa malas tetapi saya paksa juga diri saya untuk mengulangkaji.

Jadi dengan sebab perangai saya yang sebegini, ramai kawan saya tidak suka bertanya kepada saya. Mereka akan seboleh-boleh pergi kepada orang lain dahulu sebelum bertanya kepada saya. Pendek kata, kalau dalam Company Law ini disebut sebagai 'the remedy of  last resort'.

Ramai juga tidak suka bertanya kepada saya. Mereka fikir apa yang saya buat ini menunjukkan saya ini orangnya sombong, kedekut ilmu, berlagak pandai, nak berjaya seorang diri.

Saya tidak peduli pun dengan apa yang mereka fikir. Ada satu falsafah yang ingin saya kongsi dengan para pembaca sekalian. Falsafah itu menyebut, "what people think of you is none of your business". Ini bukan bermakna anda tidak fikir langsung apa yang orang lain fikir tentang diri anda bukanlah sesuatu yang perlu anda terlalu fikirkan.

Kalaulah apa yang saya buat ini menunjukkan saya sombong, berlagak pandai, kedekut ilmu dan nak berjaya seorang diri maka memanglah saya ini seorang yang berlagak, sombong, kedekut ilmu dan ingin berjaya seorang diri.


1 comment:

FARHAN ALIA said...

setuju dengan kamu, pak syed!