Pages

26 February 2011

Haram

Perbincangan kali ini berlegar dalam bab ilmu usul fiqh, ilmu tentang kaedah-kaedah mengistibath hukum daripada sumber-sumbernya. Namun untuk kali ini saya ingin memperincikan perbincangan kita dalam tajuk haram. 

Sesetengah orang begitu mudah sekali menghukum sesuatu sebagai haram. Ini haram, itu haram. Orang kata haram dia pun ikut kata haram. Apa yang tidak berkenan dihatinya, dia kata haram. Apa yang tidak sesuai dengan kepentingannya, dia kata haram. Mereka meletakkan hukum haram tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. 

Perbuatan mengharamkan sesuatu yang halal itu boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran. Selain itu sikap ini juga boleh membawa fitnah(keburukan) seperti perpecahan dan kucar-kacir dalam kalangan umat. Lihatlah betapa dahsyat kesan daripada sikap sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. Justeru, kita harus teliti dan tidak mengambil mudah dalam persoalan haram. Firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” 
[An-Nahl: 116]

Dalam kita merungkai hakikat ‘haram’, kita akan menjawab beberapa soalan penting. 

Apakah itu haram? 

Ahli Usul meletakkan pengertian haram sebagai sesuatu yang ditegah oleh Allah daripadanya (daripada melakukannya) dimana penegahan tersebut dibuat dengan الحتم والإلزام (kemestian dan mengikat). Maka lahirlah kesan daripada penegahan ini ,dosa kepada si pelaku perbuatan tersebut dan sebaliknya pahala bagi mereka yang menghindarinya. 

Siapa yang berhak mengatakan sesuatu itu sebagai haram? 

Sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi bahawa haram itu adalah sesuatu yang ditegah oleh Allah. Maka dapatlah kita fahami bahawa hak untuk mengharamkan sesuatu itu semata-mata terletak di tangan Allah dan pengharaman sesuatu perkara itu disampaikan kepada kita melalui Rasulullah. 

Sesuatu itu menjadi haram dengan sebab Allah mengharamkannya dan bukan dengan sebab lain. Bukan sebab tok guru kita kata haram dan bukan juga dengan sebab keburukan yang dibawa oleh perkara tersebut kerana keburukan yang terkandung dalam perkara yang diharamkan oleh Allah itu adalah hikmah disebalik pengharaman. 

Oleh itu, kalaulah sesuatu perkara itu haram tetapi di dalamnya terkandung kebaikan maka perkara itu tetap haram kerana haram itu terjadi bilamana Allah mengatakan perkara itu haram dan bukan dengan sebab perkara itu mengandungi keburukkan. 

Sehubungan dengan itu juga, sebaik sahaja Allah mengharamkan sesuatu perkara maka haramlah perkara itu buat kita meskipun pada waktu itu kita tidak dapat memikirkan logik atau hikmah disebalik pengharaman tersebut. 

Bagaimana sesuatu itu dihukum sebagai haram? 

Kaedah asal yang disepakati oleh fuqaha' mengatakan bahawa:

الأصل في الأشياء الإباحة ما لم يقم دليل على تحريمه
"hukum asal kepada sesuatu itu adalah Ibahah (harus) selagimana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya"

Melalui kaedah ini dapat kita fahami bahawa dalam keadaan tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu itu haram maka perkara itu adalah harus. Sesuatu itu dihukum sebagai haram apabila terdapat nas (Al-Qur’an atau Sunnah) yang menegah perkara tersebut dalam bentuk yang الحتم والإلزام. 

Penegahan berbentuk الحتم والإلزام itu dapat difahamai melalui beberapa bentuk yakni: 

1. Penggunaan kata kerja yang terbit daripada perkataan haram. 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ
“Diharamkan bagi kamu ibu kamu...” 
[An-Nisa’:23] 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’” 
[Al-Baqarah: 275] 

2, Menafikan kehalalan sesuatu perkara. 

لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا
“Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa.” 
[An-Nisa’: 19] 

“Tidak halal harta seorang Muslim (bagi seorang muslim yang lain) melainkan dengan redhanya.” 
[Riwayat Daruqutni] 

3, Penggunaan kata naïf/larangan. 

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا
“Janganlah kamu meghampiri zina” 
[Al-Isra’: 32] 

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ
“Janganlah kamu membunuh anak-anak kam kerana takut akan kemiskinan...” 
[Al-An’am: 151] 

4. Arahan untuk menjauhi sesuatu perkara. 

إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ
“Sesungguhnya arak, judi, menilik nasib... itu adalah sebahagian daripada amalan syaitan maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut” 
[Al-Maidah: 90] 

5. Dengan memberi amaran tentang hukuman/azab yang akan diterima oleh si pelaku perbuatan. 

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا
“Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim maka mereka (sebenarnya) memasukkan ke dalam perut mereka api neraka...” 
[An-Nisa’:10] 

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا
“Dan pencuri lelaki dan pencuri wanita itu potonglah tangan mereka...” 
[Al-Maidah: 38] 

Namun dalam pada itu, terdapat sesetengah nas (Al-Qur’an atau Hadith) yang datang dalam bentuk larangan tetapi larangan yang terdapat dalam nas tersebut tidaklah merujuk kepada hukum haram kerana larangan tersebut tidak bersifat الحتم والإلزام tetapi sekadar membawa hukum makruh. Contohnya, firman Allah: 

لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
“Janganlah kamu bertanya tentang perkara yang sekiranya dijelaskan kepada kamu maka akan menyusahkan kamu” 
[Al-Maidah: 101] 

Meskipun ayat ini berbentuk larangan namun larangannya tidak bersifat الحتم والإلزام dengan sebab sambungan ayat tersebut yang menukarkannya daripada haram kepada makruh. 

وَإِنْ تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّهُ عَنْهَا ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Sekiranya kamu bertanya tentangnya ketikamana Al-Qur’an diturunkan nescaya diterangkan kepada kamu (soalan itu)...” 
[Al-Maidah: 101] 

Setelah mengikuti penulisan ini saya berharap para pembaca tidak lagi akan mudah mengharamkan sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu meneliti dalil pengharaman perkara tersebut kerana takut-takut kita mengharamkan sesuatu yang sebenarnya tidak diharamkan oleh Allah.

No comments: