Pages

04 February 2011

Berlakon Sebagai Kafir

Lama saya tercari-cari idea untuk dijadikan tajuk yang sesuai untuk mengemas kini blog ini sehinggalah saya menonton sedutan sebuah telefilem yang di dalamnya terdapat seorang lelaki Muslim yang melakonkan watak sebagai seorang kafir. Ini juga saya rasa berlaku berlaku dalam sebuah teater yang popular baru-baru ini. Maka saya tertarik untuk membicarakan soal adakah harus seorang Muslim itu melakonkan watak kafir.

Amatlah penting untuk difahami bahawa perkara pokok dalam beragama adalah akidah yakni kepercayaan seseorang itu terhadap tuhan dan agamanya. Dalam agama Islam perkara paling asas adalah iman kepada Allah dengan cara melafazkan dengan lidah, membenarkan dalam hati dan menzahirkan kepercayaan dengan perbuatan bahawa sesungguhnya Allah itulah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan hanyalah Islam agama yang benar.

Setelah seseorang itu beriman tidak bermakna imannya itu akan berkekalan selamanya. Iman seorang itu boleh terbatal sama ada secara sedar mahupun tanpa sedar. Perkara-perkara yang membatalkan iman pula boleh berlaku dengan salah satu cara sama ada niat, perkataan mahupun perbuatan.
  1. Niat: terbatalnya iman seseorang dengan niat apabila seseorang itu meyakini bahawa terdapat tuhan lain selain daripada Allah atau meyakini bahawa agama lain selain Islam adalah benar. Iman terbatal sebaik sahaja timbul perasaan yakin terhadap agama lain ataupun tuhan yang lain selain Allah tetapi sekiranya terdapat lintasan hati ataupun cetusan fikiran tidaklah batal iman seseorang itu. Ini kerana lintasan hati atau cetusan fikiran itu boleh berlaku disebabkan bisikan syaitan.
  2. Perkataan: iman terbatal dengan perkataan apabila seseorang itu mengucapkan kepercayaannya kepada agama lain ataupun mengucapkan penafian terhadap kebenaran Islam dengan sengaja meskipun dalam hatinya tidak berniat sebegitu.
  3. Perbuatan: terbatalnya iman seorang Muslim dengan perbuatan apabila dia melakukan amalan penyembahan kepada sesuatu selain Allah seperti sujud kepada berhala atau menyembah salib meskipun di dalam hatinya tidak meyakini apa yang dilakukannya itu.
Pembatalan iman dengan perkataan dan perbuatan tetap berlaku apabila si pelaku melakukannya dengan sengaja meskipun di dalam hatinya tidak pula meyakini apa yang dibuatnya itu. Contohnya, seorang Muslim menyembah berhala secara sengan dengan niat untuk bergurau maka terbatallah imannya meskipun dalam hatinya tidak meyakini kebenaran berhala yang disembahnya itu. Ini sesuai dengan Firman Allah:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِيْنَ قَالُوا إِنَّ اللهَ هُوَ الْمَسِيْحُ ابْنُ مَرْيَمَ
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah itu ialah Al-Masih putera Maryam." 
[Al-Ma`idah: 17]

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِيْنَ قَالُوا إِنَّ اللهَ ثَالِثُ ثَلاَثَةٍ
"“Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: Sesungguhnya Allah adalah salah satu dari yang tiga." 
[Al-Ma`idah: 73]

Dalam hal ini. hadith yang mengatakan "setiap amal itu bergantung kepada niat dan setiap amalan itu dihitung dengan apa yang diniatkan" tidak terpakai. Ini kerana Allah berfirman:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ
“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja. Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu minta maaf, karena kamu telah kafir sesudah beriman."
[At-Taubah:65-66]

Hal ini berbeza sekiranya si pelaku melakukannya kerana dipaksa dengan ancaman terhadap nyawanya. Allah Ta’ala berfirman:

مَنْ كَفَرَ بِاللهِ مِنْ بَعْدِ إِيْمَانِهِ إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِاْلإِيْمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ
“"Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa). Akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar."
[An-Nahl: 106]

Setelah melihat perbincangan di atas, berbalik kita kepada persoalan pokok apakah harus bagi seorang Muslim itu melakonkan watak kafir maka saya cederung kepada jawapan bahawa haram bagi seorang Muslim itu melakonkan watak seorang kafir dan perbuatannya melakonkan watak kafir itu boleh membawa kepada terbatalnya iman si pelakon Muslim itu. Dalam hal ini wajiblah dia bertaubat dan kembali kepada Islam serta tidak mengulangi lagi perbuatannya itu.

1 comment:

Wan Zulqhairi said...

*membuatkan saya terfikir! TQ for da info!