Pages

30 December 2011

Tarjih

Dalam pengajian ilmu Islam, secara umumnya hukum-hukum itu boleh dibahagikan kepada 2 cabang yakni usul dan furu'. Perkara-perkara usul adalah perkara-perkara asas dalam agama yang tidak boleh berlaku padanya perselisihan pendapat. Contoh mudah bagi perkara yang tergolong dalam kategori  usul adalah seperti keimanan kepada Allah, Kitab dan Rasul (Rukun Iman) serta kewajipan solat, puasa dan zakat (Rukun Islam). Mengingkari perkara-perkara usul boleh mengakibatkan seseorang itu jatuh kepada kekufuran. 

Perkara furu' dalam agama pula adalah perkara 'cabang' yang melengkapi perkara usul itu tadi. Contohnya, kewajipan menunaikan solat adalah perkara usul yang mana tidak boleh diperselisihkan. Walaubagaimanapun, cara perlaksanaan solat adalah perkara furu' di mana para ulama' berselisih pendapat tentangnya. Misalnya, membaca Surah Al-Fatihah dalam solat. Jumhur fuqaha' berpendapat bahawa membaca Al-Fatihah wajib dalam setiap solat dan tanpanya solat tidak sah. Tetapi Mazhab Hanafi berpendapat bahawa membaca Al-Fatihah itu wajib tetapi bukanlah suatu kemestian sebaliknya memadai dengan bacaan mana-mana ayat daripada Al-Quran dan tidak membaca Al-Fatihah tidak menjadikan solat seseorang itu batal sebaliknya solat tersebut tidak sempurna dan makruh.

09 December 2011

Dendam Tak Terakhiri


Dendam Tak Terakhiri

Mahu kamu apa lagi,
Kita pernah sehati, Kita sudah senadi,
Tapi mengapa kau tetap pergi,
Tapi mengapa engkau akhiri,

Ketenangan yang kaubawa lari,
Memudarkan segala seri,
Usang sanubari,
Melenyapkan  erti,

Cinta jika tidak memiliki,
Bagai dendam yang tak terakhiri,
Dibiar kan memakan diri,
Dikejar kan punah pekerti,

Kalau benar begini,
Kalau benar kau harus pergi,
Maka jangan pernah kau kembali,
Aku pun takkan pernah ulangi,

Aku sudah terbiasa sendiri,
Dalam bayang dan sinar mentari,
Ada atau ngak yang mahu temani,
Aku tetap betah lagi,

-syfadh-

24 November 2011

Perlaksanaan Hudud, Perlembagaan Tak Halang (Bahagian 2)


Tulisan ini adalah sambungan bagi tajuk: Perlaksanaan Hudud, Perlembagaan Tak Halang (Bahagian 1) bagi kita menganalisan adakah benar dakwaan pihak yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak membenarkan hudud dilaksanakan di Malaysia.

Perkara 160(2): Pengertian Undang-undang

Sesetengah pihak berhujah yang hudud tidak boleh diaplikasi di Malaysia kerana makna 'undang-undang' yang terdapat dalam Perkara 160(2) tidak meletakkan undang-undang Islam sebagai salah-satu sumber undang-undang sebaliknya hanya mendefinasikan undang-undang sebagai:

"Art 160(2): includes written law, the common law in so far as it is in operation in the Federation or any part thereof, and any custom or usage having the force of law in the Federation or any part thereof."

Bagi saya hujah sebegini adalah tidak releven dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Sebabnya pertama, perkataan 'includes' bermaksud 'termasuk'. Ini bermakna definasi undang-undang tidak terhad kepada written law, common law dan custom sahaja sebaliknya perkataan 'includes' membenarkan undang-undang diperoleh daripada sumber-sumber lain termasuklah undang-undang Islam. Dalam menginterpretasikan makna 'law' dalam Perkara 160(2) kaedah "expressio unius est exclusio alterius" (the express mention of one thing excludes all others) tidak terpakai kerana definasi yang diberikan bersifat penyenaraian (illustrative) dan bukannya pengecualian (exclusionary).

17 November 2011

Perlaksanaan Hudud, Perlembagaan Tak Halang (Bahagian 1)


Majoriti daripada kalangan mereka yang menolak perlaksanaan hudud memberi alasan kononnya Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan hudud dilaksanakan di Malaysia. Jadi sekiranya hudud ingan dilaksanakan, maka Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Alasan sebegini telah diutarakan oleh kerajaan, DAP dan Majlis Peguam sendiri (Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam). Malah PAS juga menganggap mereka perlu meminda Perlembagaan sebelum mereka boleh melaksanakan hudud (Laksana hudud jika dapat undi majoriti Parlimen) Justeru, dalam post kali ini kita akan melihat adakah benar Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan perlaksanaan hudud di Malaysia.

21 October 2011

Kontroversi Aziz Bari


Penggantungan Prof. Aziz Bari daripada tugas merupakan suatu tindakan tidak waras, bukti institusi keilmuan dibelengu politik murahan dan tidak telus dalam mempromosikan ilmu pengetahuan. Tindakan ini memperlihatkan betapa peranan universiti hanyalah untuk menyampaikan ilmu yang menyebelahi pihak berkuasa dan apa-apa ilmu yang bertentangan dengan pihak berkuasa adalah ilmu terlarang meskipun ilmu tersebut adalah benar.

Kontroversi ini memuncak apabila pihak pengampu terutama akhbar Utusan, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Perkasa, ahli parlimen (Bung Moktar, Shamsul Anuar, Zulkifli Noordin, Syed Ali) dan Dr Mahathir mula menjadi batu api dengan mencanangkan berita kononnya Prof. Aziz Bari mempertikaikan titah Sultan Selangor. Puak pengampu berharap mereka dapat membakar api kemarahan orang Melayu yang sarat dengan ideologi kuno 'sultan disembah' dan cuba mempopularkan fahaman bahawa titah sultan umpama firman tuhan yang tiada cacat celanya dan tidak boleh sama sekali dikomen apatah lagi dibantah. Dengan cara ini puak pengampu berharap mereka dapat dilihat sebagai pembela raja-raja Melayu dan institusi beraja sekaligus mendapat sokongan dan undi orang-orang Melayu.

09 October 2011

Perkahwinan Tanpa Saksi

(Gambar Hiasan)

Salah seorang pembaca blog ini yang menggelar dirinya 'Nur' menghantar pertanyaan kepada saya melalui Yahoo Messenger dan bertanyakan tentang suatu masalah berkaitan perkahwinan. Dia bertanya adakah sah sekiranya seorang perempuan yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki, menelefon bapanya untuk meminta keizinan untuk berkahwin lalu bapanya mengatakan yang dia tidak kesah. Kemudian, si lelaki yang bermazhab Hanafi melafazkan akad perkahwinan dengan perempuan itu secara berdua sahaja tanpa ada saksi dan katanya hanya bersaksikan Allah. Mereka kemudiannya mengadakan hubungan kelamin dan apabila ditanya tentang status mereka, si lelaki akan berkata bahwa si perempuan tersebut adalah isterinya yang sah.

Memandangkan saya tidak mahir tentang hukum-hukum perkahwinan dalam Mazhab Hanafi, maka saya meminta sedikit masa untuk membuat rujukan sebelum saya dapat memberikan jawapan. Justeru, kepada saudari Nur, berikut adalah hasil daripada rujukan yang telah saya lakukan:

01 October 2011

Hudud: PAS Terikat, UMNO Terjerat

Cabaran Tun Dr. Mahathir supaya PAS meminta kebenaran DS Najib untuk melaksanakan hudud di Kelantan telah menghangatkan kembali cakap-cakap berkenaan isu hudud yang telah reda seketika terutama setelah PAS merubah modal politiknya daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Hasrat Dr. Mahathir barangkali untuk menempelak DS Nik Aziz yang menyelar beliau kerana menghalang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud sewaktu zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

Sememangnya strategi ini berkesan dengan berlakunya kegoncangan dan ketaksefahaman dalam Pakatan Rakyat. DAP cuba menjadi hero bagi rakyat bukan Islam dan mengugut untuk keluar Pakatan Rakyat sekiranya PAS ingin melaksanakan hudud. Jelas sekali PAS yang beria-iya ingin melaksanakan hudud gagal memahamkan sekutunya DAP tentang hudud sehingga mereka begitu gerun dan kecut perut dengan hudud. Bak kata DS Nik Aziz, DAP umpama budak kecil takutkan hantu.

21 September 2011

Sayonara Negara Islam

Bilamana PAS menukar polisinya daripada Negara Islam ke Negara Berkebajikan, kita dapat memahami usaha tersebut secara penuh tanpa apa-apa keraguan. Sebabnya, orang-orang PAS adalah orang yang 'maha mahir' dalam pentafsiran Al-Qur'an dan mereka mengatakan kehendak Al-Qur'an adalah Negara Berkebajikan dan bukannya Negara Islam. Justeru, bila PAS berkata begini maka kita mesti akur meski setelah berpuluh tahun PAS berjuang menggunakan modal politik Negara Islam dan menghentam setiap Muslim yang tidak sehaluan politik dengannya sehingga sesetengahnya ke tahap mengkafirkan penentangnya, PAS kini menemui yang bahawasanya Negara Islam tidak disebut dalam Al-Qur'an dan sebaliknya Al-Qur'an menyebut Negara Berkebajikan.

Dalam sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat, bekas mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof. Madya Dr. Asri  ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "Hudud suatu Perbincangan: Tanggapan, suasana dan Keberkesanan", menyebut:

16 September 2011

Hari Malaysia 2011, Hari Demokrasi Malaysia


Bersempena dengan Hari Malaysia 2011 yang disambut pada hari ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan perkara-perkara yang berikut:

1. Kerajaan akan membentangkan usul menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen untuk menarik balik 3 pengishtiharaan-pengishtiharaan darurat yang dibuat pada tahun 1966 (kemelut politik di Sarawak), 1969 (peristiwa berdarah 13 Mei) dan 1977 (kemelut politik di Kelantan).

2. Kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhannya.

3. Kerajaan akan menggubal undang-undang baru di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk menentang tindakan subversif, keganasan terancang dan jenayah. Undang-undang baru tersebut akan memperuntukkan tempoh penahanan tanpa bicara (preventive detention) yang lebih pendek berbanding ISA dan kuasa untuk melanjutkan tempoh tahanan akan diserahkan kepada mahkamah kecuali kuasa berkaitan undang-undang keganasan.

03 September 2011

Aidulfitri 1432H

Assalamualaikum w.b.t.,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd,

Ucapan Hari Raya Aidulfitri ini mungkin sedikit lewat. Saya mengucapkan selamat hari raya Aidulfitri dan sekaligus ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang keterlanjuran yang secara langsung atau tidak telah menyebabkan saya menangggung dosa terhadap para pembaca sekalian. Semoga sudilah kiranya para pembaca sekalian memaafkannya.

Terima kasih kepada para pembaca yang sudi mengikuti perkembangan blog yang tidak sepertinya ini. Diharapkan kita semua dapat menjalinkan hubungan yang harmoni serta saling memberi manfaat kepada satu sama yang lain.

Wassalam.

24 August 2011

Satu Rasa

Ini adalah serangkap sajak baru, tidak panjang hanya serangkap. Dan ini bukan sajak cinta meski sajak ini boleh diterjemahkan supaya mempunyai kaitan dengan cinta. Sajak ini saya tujukan khas buat para pembaca yang sudi dan setia mengikuti tulisan-tulisan dalam blog ini. Saya mengharapkan anda dapat membaca dan memahami maksudnya. Moga-moga saya dan anda yakni kita punya satu rasa, rasa yang sama... 


Satu Rasa

Aku punyai banyak cerita,
Banyak bahasa, banyak suara,
Seandainya saja aku pandai bicara,
Supaya kau dapat baca,
Supaya kau tak salah sangka,
Pasti kita kan sama,
Sama rasa...

-syfadh-
18/8/11

16 August 2011

Riba (Bahagian 2: Jenis-jenis Riba)

Setelah kita memahami makna riba dalam post Riba Bahagian 1, kali ini mari kita mendalamkan ilmu pengetahuan kita berkenaan riba dengan mempelajari jenis-jenis riba'.

Para fuqaha' mempunyai pelbagai pendekatan dalam membuat pengelasan terhadap jenis-jenis riba'. Ada yang membahagikan riba' kepada Riba Al-Qur'an (riba yang diharamkan melalui Al-Qur'an) dan Riba As-Sunnah (riba yang diharamkan melalui Sunnah). Ada juga yang membahagikan riba' kepada Riba Al-Fadl (riba yang berlaku dengan sebab perbezaan kuantiti) dan Riba An-Nasiah (riba yang berlaku dengan sebab penangguhan).

Walauapapun pendekatan yang digunakan, ini tidak menjadi masalah kerana pada asasnya mereka sebenarnya menerangkan perkara yang sama cuma melalui cara tersendiri yang berbeza. 

Bagi saya, saya cenderung untuk memilih pembahagian riba kepada Riba Ad-Duyun (riba' yang berlaku dalam hutang) dan Riba Al-Buyu' (riba yang berlaku dalam jual beli). Pembahagian yang lebih terperinci adalah seperti berikut:

09 August 2011

Lasik (Bahagian 2: Pembedahan)

Ini adalah post sambungan bagi tajuk Lasik (Bahagian 1: Pemeriksaan dan Sebelum Pembedahan)

Antara pusat rawatan yang telah saya servey adalah:

1) HUKM: tidak menawarkan khidmat lasik sebaliknya mereka yang melakukan lasik di HUKM sebenarnya melakukan lasik di cawangan Optimax di HUKM. Walaubagaimanapun, cawangan Optimax di HUKM telahpun berpindah ke Bangsar.

2) Hospital Mata Tun Hussein Onn: RM3800 bagi conventional lasik untuk dua belah mata.

3) Optimax: RM1800 bagi conventional lasik untuk sebelah mata (harga promosi RM1400).
RM2700 bagi all-laser conventional lasik untuk sebelah mata.
RM3700 bagi all-laser custom lasik untuk sebelah mata.

Lasik turut ditawarkan di:


Setelah melakukan sedikit servey berkenaan pusat perubatan yang menyediakan khidmat lasik, saya mengambil keputusan untuk menjalani lasik di Optimax kerana:

03 August 2011

Lasik (Bahagian 1: Pengenalan dan Sebelum Pembedahan)

Kali ini saya ingin bercerita tentang pengalaman saya menjalani pembedahan lasik. Semoga post ini bermanfaat terutama kepada mereka yang sudah rimas berkaca mata seperti saya.

Kalau hendak diterangkan secara saintifiknya saya pun tidak tahu kerana saya bukanlah penuntut bidang perubatan tetapi secara mudahnya boleh saya ceritakan yang lasik adalah pembedahan mata untuk memperbetul kornea mata. Untuk pengetahuan anda, rabun jauh atau rabun dekat berlaku disebabkan cahaya yang dipantulkan oleh objek yang dilihat tidak mencapah pada retina yang terdapat di bahagian belakang mata apabila cahaya tersebut masuk ke dalam mata.

Retina befungsi sebagai organ yang menyalurkan maklumat penglihatan kepada otak untuk diproses. Oleh sebab cahaya tidak mencapah tepat pada retina, imej yang dihantar ke otak menjadi kabur.

Rabun Jauh
*Gambar kini adalah gambaran mata normal manakala gambar kanan adalah gambaran mata penghidap rabun jauh.

Rabun Dekat
*Gambar kiri adalah gambaran mata normal manakala gambar kanan adalah gambaran mata pemghidap rabun dekat.

27 July 2011

Tiga Tahun di Landasan Blogger


Bukan mudah untuk menulis. Maksud saya menulis sesuatu yang membuatkan si penulis itu sendiri berasa puas dengan penulisannya manakala si pembaca pula terkesan dengan penulisan tersebut. Maka dengan sebab itu dalam tempoh 3 tahun blog ini telah beroperasi, kadang-kala anda terlihat yang blog ini tidak dikemaskini sehingga dua tiga minggu lamanya. Bila ini berlaku, itu maknanya saya belum berhasil menulis sesuatu yang memuaskan hati saya, kata orang Kg Baru, tiada 'self satisfaction'.

Kalau setakat ingin mengemaskini blog dengan sepatah dua kata atau sebaris dua ayat dalam satu post semata-mata untuk memberitahu pembaca yang anda masih hidup dan bernafas itu bukan menulis tetapi menconteng dan itu bukan saya. Sebab fungsi blog ini semasa di awal pembukaannya bukan untuk tempat saya merapu sebagaimana banyak blog yang wujud diluar sana. Meskipun begitu saya cuba sedaya upaya untuk mengemaskini sekurang-kurangnya dengan 2 post setiap bulan.

Setiap orang punya cara penulisannya sendiri. Orang Kg Baru panggil 'signature'. Ada orang menulis berbunga-bunga sehinggakan kita jadi keliru dengan mesej yang cuba disampaikan. Cara ini mungkin sesuai jika anda menulis novel yang mana sememangnya kena panjang kalau tidak orang tidak mahu beli. 

19 July 2011

Haram 2

Setelah kita melihat hakikat hukum haram pada post sebelum ini, tulisan ini adalah perbincangan lebih lanjut mengenai soal haram.

Sebagaimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa hukum haram itu datang dengan sebab adanya dalil yang menunjukkan tahrim (pengharaman) sesuatu perkara. Maka dengan sebab itu para fuqaha',  dalam usaha menentukan hukum sesuatu perkara berpegang pada beberapa aturan yang penting supaya hukum yang keluar itu adalah semata-mata hasil daripada kefahaman yang telus dan ikhlas terhadap nas-nas syara'. Dan bukannya berasaskan emosi atau kecenderungan mereka terhadap sesuatu.

Pendekatan paling penting yang diambil oleh para fuqaha' adalah dengan tidak meletakkan hukum sebelum adanya dalil yang menunjukkan hukum tersebut. Justeru, apabila dihadapkan dengan sesuatu masalah, fuqaha' akan terlebih dahulu berpegang kepada hukum asal yakni mubah (harus) dan hukum harus ini kekal terhadap masalah tersebut selagimana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya.

09 July 2011

BERSIH 2.0 dan Campur Tangan YDPA


Campur tangan Yang Di-pertuan Agong (YDPA) untuk meredakan ketegangan berkaitan penganjuran BERSIH 2.0 adalah suatu tindakan yang sangat dihargai. Selaku ketua negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, saya melihat YPDA telah melaksanakan tugas baginda dengan menjadi orang tengah dalam kemelut ini demi memastikan negara berada dalam keadaan yang stabil dan aman.

Sememangnya YDPA perlu memainkan peranan baginda dalam isu ini kerana Kerajaan mahupun Perdana Menteri bukanlah pihak yang sesuai untuk menjadi pengadil kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada 'peserta' yang terlibat dalam kemelut BERSIH 2.0 ini. Yakni, meski BERSIH 2.0 dianjurkan untuk membuat tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya, kerajaan telah dengan sendirinya ikut campur dalam masalah ini seolah-olah BERSIH 2.0 ingin membuat tuntutan terhadap kerajaan sekaligus menjadikan kerajaan sebagai salah satu 'peserta' dalam kemelut BERSIH 2.0. 

Sesetengah pihak menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan mengatakan campur tangan YDPA ini adalah di luar bidang kuasa baginda sebagai raja berpelembagaan kerana Perkara 42 memperuntukkan YDPA bertindak atas nasihat Kabinet (baca di sini). Bagi saya ini adalah reaksi mereka yang tidak belajar atau tidak faham Constitutional Law.

04 July 2011

BERSIH 2.0 dan Ordinan Darurat


Lewat ini, kalau kita baca akhbar atau mendengar berita di radio mahupun televisyen, berita tentang Perhimpunan BERSIH 9 Julai 2011 menjadi tajuk wajib. Bagi mereka yang jarang mengambil tahu hal-ehwal semasa, pendek kata BERSIH ini adalah suatu perhimpunan demi menyuarakan 8 tuntutan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Berikut adalah tuntutan mereka:

1. Bersihkan senarai pengundi.
2. Mereformasi undi pos.
3. Menggunakan dakwat kekal.
4. Masa kempen minima 21 hari.
5. Media yang bebas dan adil.
6. Pengukuhan institusi awam.
7. Hentikan rasuah.
8. Hentikan politik kotor.

Kelompok kerajaan dilihat sangat khuatir dengan perhimpunan ini manakala kelompok pembangkang pula dilihat sangat menyokong.

30 June 2011

Cinta Sederhana


Ini sebenarnya 'hutang' saya kepada pembaca sejak setahun lebih yang lalu. Dalam sajak bertajuk, Cinta Biasa, yang Sempurna saya diminta untuk menterjemahkan apa yang saya maksudkan dengan cinta biasa / sederhana. Jadi inilah sambungannya. Harap anda berpuas hati.

Cinta Sederhana

Cinta sederhana, 
Apakah ada? 
Adakah bisa? 
Jadi yang bagaimana? 
Ini aku cerita, 

24 June 2011

Biasiswa Jadi Dermasiswa


Ketika ditemuramah dalam slot Morning Kaki''s kendalian stesen radio One FM, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan polisi berkaitan pemberian biasiswa akan dirombak semula. Kecemerlangan dalam SPM tidak lagi akan menjadi satu-satunya kayu pengukur dalam pemberian SPM. Biasiswa hanya akan diberi kepada pelajar jika mereka mendapat tempat di universiti terkemuka yang akan disenarai oleh kerajaan kelak serta mencatat keputusan cemerlang secara konsisten.

Meski saya bukanlah penerima biasiswa kerajaan, saya melihat tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan ini adalah suatu tindakan yang bijak dan sangat wajar untuk disokong. Bukan setakat pemberian biasiswa diperingkat SPM sahaja malah rombakan ini perlu juga diperluas untuk meliputi polisi permberian biasiswa diperingkat universiti. Malah polisi kerajaan terhadap penerima biasiswa sedia ada juga perlu disemak. Ini kerana polisi sedia ada lebih menjerumus kepada pembaziran peruntukan wang biasiswa disebabkan tindakan salah-guna oleh pelajar sendiri.

Menjadikan keputusan SPM sebagai satu-satunya kayu pengukur kecemerlangan pelajar adalah tidar wajar. Sebabnya, sebagai seorang pelajar di universiti saya dapat melihat bagaimana salah-guna wang biasiswa yang dilakukan oleh para penerima biasiswa tidak kiralah daripada sumber mana sekalipun, badan kerajaan mahupun swasta.

17 June 2011

Karikatur Utusan & Ucapan Abd Hadi Menghina Islam?


Karikatur yang di atas telah disiarkan oleh akhbar Utusan yang mana boleh difahami sebagai reaksi terhadap ucapan Presiden PAS, Abd Hadi Awang dalam muktamar PAS berhubung isu video seks yang dikatakan melibatkan salah satu pemimpin pembangkang.

Dalam reaksinya terhadap kewujudan video seks tersebut, Abd Hadi berkata lebih kurang begini, "Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata, dia hanya besi”.

Kenyataan ini bagaimanapun tidak menjadi kontroversi. Bahkan disahut dengan laungan takbir oleh mereka yang hadir dalam muktamar tersebut.

Persoalannya apakah kenyataan Abd Hadi ini benar menurut Islam? Apakah benar Islam begitu terkebelakang dan kolot dalam undang-undang jenayahnya tidak menerima video rakaman sebagai bahan bukti?

13 June 2011

Bias & Pro-government

It has been quite a long time since my last political post in this blog. This is because I found that our current political scenario seems to be boring and did not incite me to write about it. It is also because our politician both the government and the opposition are more interested in indulging with the so called 'politik murahan', pornographic video and sex issues rather than performing their job to uphold the interest of the people. But yet, they still beg the people to vote for them. Funny and stupid right?

I might be seen by people as one of the government's supporter. Perhaps sometimes it is obvious through my writings which usually criticise the opposition although I did criticise the government as well. I should make myself clear that it is not because I am secular or what not. I have tried my best to be neutral but I cannot bear when people claim themselves to be Islamic and declare that they fight for Islam but showing the opposite than what they are suppose to do.

05 June 2011

Riba (Bahagian 1)


Saya kini sedang menjalani program internship selama 3 bulan di salah-sebuah bank di Malaysia. Bagi memenuhi salah-satu tugasan yang telah diberikan kepada saya, saya perlu membuat bacaan dan kajian tentang riba dan hal ehwal yang berkaitan dengannya. Maka di sini ingin saya kongsikan sedikit sebanyak hasilnya buat manfaat kita bersama.

Makna Riba

Makna riba dari segi bahasa ialah 'lebihan' atau 'tambahan'. Makna riba dari segi istilah yakni makna yang dimaksudkan oleh fuqaha' apabila merujuk kepada riba sebagaimana yang telah saya formulakan setelah mengambil kira pelbagai jenis riba yang wujud adalah seperti berikut:

"Sebarang bentuk tambahan sama ada dalam bentuk masa penyerahan dalam pertukaran barangan ribawi yang sama kategori atau dalam bentuk perbezaan kuantiti dalam pertukaran barangan riba yang sama jenis atau sebarang tambahan ke atas hutang disebabkan oleh penangguhan."


20 May 2011

Mengata Dulang Paku yang Serpih

Solat Jumaat Si Peniaga Pasar Jumaat

Kalau malam-malam tertentu dalam seminggu ada pasar malam, hari Jumaat ada pasar Jumaat. Pasar di mana peniaga berniaga di luar pagar masjid sebelum dan sesudah solat Jumaat meskipun ada juga yang berniaga semasa solat Jumaat yakni semasa khutbah. Ada yang jual makanan, pakaian, aksesori, minyak wangi, ubat-ubatan dan segala macam benda yang boleh di jual.

Ada seorang pak cik daripada Kelantan  kerap datang berniaga pada hari Jumaat di depan Masjid Jamek Kg Baru. Pak Cik ini menjual ubat katanya dirumus daripada herba-herba hutan yang kononya boleh mengubat darah tinggi, sakit pinggang dan lain-lain penyakit yang berkaitan dengannya. 

Namun tulisan ini bukanlah untuk mempromosikan ubat yang dijual oleh pakcik tersebut. Si pak cik ini antara ayat-ayat yang digunakan untuk mempromosikan ubat penawar sakit pinggangnya ialah dengan berkata, "Dalam solat kalau ruku’ tak sempurna maka tidak sah solat". Dia merujuk kepada orang yang sakit pinggang lalu tidak dapat ruku’ dengan sempurna dek kerana sakit pinggang maka di mengatakan solat sebegini tidak sah. 

11 May 2011

Hari Ibu yang Terlewat 3 Hari

Bagi mereka yang belum kenal, inilah ayahanda dan ibunda saya.

Kadang-kala mak aku membebel di telinga aku,
Kadang-kala mak aku marah dengan aku,
Kadang-kala mak aku merajuk dengan aku,

Kadang-kala aku rasa mak aku menyibuk dengan hal-ehwal aku,
Kadang-kala aku rasa mak aku mengongkong aku,
Kadang-kala aku rasa mak aku tak faham kehendak aku,

Kadang-kala mak aku tak penuhi permintaan aku,
Kadang-kala mak aku tak memuaskan kehendak hati aku,
Kadang-kala mak aku tak cukup untuk aku,

Tapi mak aku sentiasa sayang akan aku,
Tapi mak aku sentiasa ingat akan aku,
Tapi mak aku sentiasa ada untuk aku,
Tapi mak aku sentiasa berdoa untuk aku,
Tapi mak aku sentiasa menginginkan dan melakukan yang terbaik untuk aku,
Tapi mak aku sentiasa memaafkan aku,
Tapi mak aku sentiasa merawat aku,

Tapi mak aku sentiasa cuba memenuhi kehendak aku,
Tapi mak aku sentiasa cuba membantu aku,
Tapi mak aku sentiasa cuba memudahkan kehidupan aku,
Tapi mak aku sentiasa cuba membahagiakan hidup aku,

Biarlah aku dengan mak aku!
Jangan kau ganggu aku dan mak aku!
Sebab mak aku sayang aku.

30 April 2011

Sumpah Laknat @ Mubahalah

Semalam sekali lagi Malaysia menyaksikan peristiwa sumpah laknat. Kali ini oleh Shazryl Eskay berkenaan isu sebuah video klip tidak bermoral yang kononnya beliau merupakan salah seorang daripada 2 orang lelaki yang tertera dalam video tersebut.

Setahu saya perbuatan sumpah laknat ini mula popular di Malaysia sejak dipelopori oleh seorang Saiful Bukhari yang mendakwa kononya dirinya diliwat.

Saya bukan penyokong Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dalam kedua-dua kes di atas tetapi bagi saya tindakan sumpah laknat ini adalah tindakan buang masa lagi sia-sia. Saya tidak melihat yang perbuatan ini memberi apa-apa faedah bahkan sebenarnya membawa keburukan dari segi mewujudkan kucar-kacir dalam kalangan umat Islam, penghinaan kepada nama Allah dan penghinaan kepada masjid Allah.

Sebab saya menggunakan perkataan 'kononnya' walaupun kedua-dua invividu ini telah pun melafazkan sumpah laknat adalah kerana sumpah yang mereka lafazkan itu tidak membawa apa-apa maksud. Tidak pula sumpah laknat tersebut boleh menjadi bukti yang mereka tidak berbohong. Sebabnya, sesiapa sahaja yang tidak takut dengan Allah, sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan diri mereka. Jangan katakan sumpah laknat, lebih daripada itu pun sanggup dilakukan.

16 April 2011

Hal Ehwal Guru


Rasanya hari guru, 16 Mei lambat lagi. Tetapi post kali ini tidak mampu untuk menunggu selama itu. Biarkan sahaja terlebih awal sebulan daripada hari guru. Moga-moga nanti di hari guru ada guru yang menghayati isi kandungan penulisan ini.

Mungkin tulisan kali ini bakal merobek dan mengoyakkan hati para guru. Justeru kepada guru yang tidak mahu hatinya dirobek maka silalah menjauhkan diri anda daripada penulisan kali ini.

Tulisan ini juga berpotensi menjadi tulisan yang beremosi. Jadi, silalah bersabar dengan saya meskipun saya mungkin tidak dapat bersabar ketika menulis tulisan ini.

29 March 2011

Kedekut Ilmu

Post ini di tulis sempena 'meraikan' musim peperiksaan. Post ini bukanlah bertujuan membalas mana-mana post. Takut-takut ada orang terasa saya membalas post dia pula.

Dalam musim peperiksaan ini tekanan di minda sememangnya berganda-ganda. Terutama untuk para pelajar yang belajar subjek-subjek yang memerlukan mereka menghafal. Kepala rasa berserabut. Hafal yang ini yang itu terlupa, hafal yang itu yang ini terlupa. Sudah hafal pun tiba-tiba semua jadi bercampur-campur. Tapi apa boleh buat inilah resam orang belajar. Nak atau tidak, suka atau tidak tetap kita kena menghadapinya.

Dalam usaha mengulangkaji pelajaran, ada orang yang lebih suka belajar seorang diri ada pula yang suka belajar berkumpulan. Apa pun cara yang diambil tidak menjadi masalah asal saja mereka belajar. Bila kita tidak faham, kita tanya orang dan bila orang tidak faham, dia tanya kita. Kita tolong orang orang tolong kita. Ini sememangnya perkara yang baik.

Namun masalahnya, ada orang yang suka ambil kesempatan, suka ambil jalan mudah. Dia malas hendak belajar jadi dia datang dekat orang yang belajar dan minta mereka ceritakan kepada mereka apa yang mereka belajar daripada awal sampai akhir. Kalau kata si rakan yang belajar ini sudah selesai belajar dan masih mengikut jadual ulangkajinya serta mempunyai masa untuk diluangkan maka bolehlah dia menceritakan daripada awal hingga akhir.

13 March 2011

Galak Berpolitik

Budak-budak universiti daripada dulu sampai sekarang memang tidak ubah, galak berpolitik. Kalau tidak percaya, buka sahaja blog mereka, dari satu post ke satu post tak berhenti-henti cerita pasal politik. Kalau tidak pun buka sahaja cerita politik depan mereka. Siaplah mereka akan bercerita panjang lebar. Orang itu tak betul, orang ini korup.

Bukannya saya kata salah untuk mereka berpolitik. Memang kita perlu mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling kita. Tapi kebanyakkan mereka ini tidak sedar diri. Mereka sibuk berpolitik kononnya ingin membela nasib rakyat Malaysia. Kononnya ingin merubah senario politik negara. Kononnya ingin membersihkan arena politik negara.

Namun dalam pada itu mereka tidak pun membela nasib mereka sendiri. Mereka tidak pun merubah sikap mereka dan tidak pula membersihkan peribadi mereka.

06 March 2011

Kehadapan Anonymous & Para Pemberi Komen

Saya suka untuk memulakan post kali ini dengan menyebut firman Allah:

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
"dan hamba-hamba Allah yang Maha Penyayang itu (adalah) mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan merendah hati dan tatkala mereka bertemu dengan orang-orang yang jahil lantas mereka mengucapkan kata-kata yang baik"
[Al-Furqan: 63]

Saya menerima banyak komen daripada anonymous (org yg tak diketahui) yang berupa maki-hamun dan cercaan kepada saya dengan sebab mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya tulis.

Saya sebenarnya tidak terkelindan atau terjentik sedikitpun dengan komen-komen murahan mereka kerana saya senang dengan firman Allah yang saya telah sebutkan di atas yakni apabila kita bersemuka dengan orang-orang jahil maka kita seharusnya aman sahaja dengan mereka kerana sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak mengetahui dan akal mereka itu dihujung lidah. Mereka sekadar bercakap sesuka hati mengikut emosi tanpa ilmu.

26 February 2011

Haram

Perbincangan kali ini berlegar dalam bab ilmu usul fiqh, ilmu tentang kaedah-kaedah mengistibath hukum daripada sumber-sumbernya. Namun untuk kali ini saya ingin memperincikan perbincangan kita dalam tajuk haram. 

Sesetengah orang begitu mudah sekali menghukum sesuatu sebagai haram. Ini haram, itu haram. Orang kata haram dia pun ikut kata haram. Apa yang tidak berkenan dihatinya, dia kata haram. Apa yang tidak sesuai dengan kepentingannya, dia kata haram. Mereka meletakkan hukum haram tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. 

Perbuatan mengharamkan sesuatu yang halal itu boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran. Selain itu sikap ini juga boleh membawa fitnah(keburukan) seperti perpecahan dan kucar-kacir dalam kalangan umat. Lihatlah betapa dahsyat kesan daripada sikap sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. Justeru, kita harus teliti dan tidak mengambil mudah dalam persoalan haram. Firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” 
[An-Nahl: 116]

04 February 2011

Berlakon Sebagai Kafir

Lama saya tercari-cari idea untuk dijadikan tajuk yang sesuai untuk mengemas kini blog ini sehinggalah saya menonton sedutan sebuah telefilem yang di dalamnya terdapat seorang lelaki Muslim yang melakonkan watak sebagai seorang kafir. Ini juga saya rasa berlaku berlaku dalam sebuah teater yang popular baru-baru ini. Maka saya tertarik untuk membicarakan soal adakah harus seorang Muslim itu melakonkan watak kafir.

Amatlah penting untuk difahami bahawa perkara pokok dalam beragama adalah akidah yakni kepercayaan seseorang itu terhadap tuhan dan agamanya. Dalam agama Islam perkara paling asas adalah iman kepada Allah dengan cara melafazkan dengan lidah, membenarkan dalam hati dan menzahirkan kepercayaan dengan perbuatan bahawa sesungguhnya Allah itulah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan hanyalah Islam agama yang benar.

Setelah seseorang itu beriman tidak bermakna imannya itu akan berkekalan selamanya. Iman seorang itu boleh terbatal sama ada secara sedar mahupun tanpa sedar. Perkara-perkara yang membatalkan iman pula boleh berlaku dengan salah satu cara sama ada niat, perkataan mahupun perbuatan.

15 January 2011

Sariqah @ Curi yang Dikenakan Hudud (Bahagian 1)

[Post ini adalah kesinambungan daripada post Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir.]

Antara banyak-banyak jenis jenayah hudud, saya merasakan jenayah sariqah atau curi merupakan yang paling ditakuti. Sebabnya ialah jenayah ini merupakan jenayah yang paling biasa dan paling banyak berlaku berbanding jenis-jenis jenayah hudud yang lain. Tambahan pula, hukuman bagi jenayah ini, sekiranya sabit kesalahan adalah hukuman potong tangan.

Namun hakikatnya masyarakat merasa takut kepada sesuatu yang tidak perlu ditakuti. Sebab paling utama ialah fungsi pensyariatan hukuman sariqah adalah untuk memelihara harta benda masyarakat dan bukannya menghukum orang dengan tidak semena-mena. 

Sekiranya kita tidak melakukan jenayah ini, maka tidak ada sebab untuk kita merasa takut bukan sahaja dengan hukuman potong tangan bahkan kalaulah hukumannya adalah hukuman bunuh sekalipun kita tidak patut takut kerana bukannya kita yang akan dihukum.

05 January 2011

Ahlul Bait, Syed dan Sharifah 4

Dalam banyak-banyak post saya sebelum ini, tajuk ini merupakan tajuk yang paling kontroversi dan mengundang komen yang pelbagai. Ramai yang bersetuju dan ramai juga yang tidak.

Setelah meneliti komen-komen yang diberikan oleh pembaca dalam bahagian 1, 2 dan 3 tajuk yang sama, berikut adalah persolan yang ditimbulkan dan saya rasa perlu bagi saya untuk kembali memberi penjelasan. Meskipun penjelasan ini akan bersifat pengulangan daripada apa yang telah saya tuliskan sebelum ini, kelainannya ialah kali ini saya sedaya-upaya menyusunnya dalam bentuk yang paling mudah untuk difahami supaya tidak menimbulkan salah faham.

Secara keseluruhannya, komen-komen yang tidak bersetuju dengan tajuk ini boleh saya bahagikan kepada 2 kelompok. Kelompok yang pertama ialah mereka yang menentang sama sekali perkahwinan Ahli Bait dengan mereka yang bukan Ahli Bait tidak kira sama ada lelaki atau perempuan.

Kelompok yang kedua adalah mereka yang menentang perkahwinan perempuan-perempuan Ahli Bait yakni Sharifah dengan lelaki yang bukan Ahli Bait yang mana mereka menggunakan hujah kafaah dalam perkahwinan sebagai alasan untuk tidak mengharuskan perkahwinan Sharifah dengan lelaki yang bukan Ahli Bait.

Berikut adalah jawapan saya terhadap kedua-dua kelompok ini: