Pages

04 December 2010

Kesederhanaan dalam Islam bukannya Separuh atau Setengah Islam

Ada dalam kalangan umat Islam, termasuk antaranya cerdik pandai serta sesetengah daripada mereka dipandang sebagai ulama oleh sesetengah yang lain menyebut bersederhana dalam Islam itu sebagai pertengahan, separuh atau setengah.

Hasil daripada itu mereka berfahaman demi menjadi seorang yang sederhana dalam beragama maka solat yang lima itu 'disetengahkan' menjadi tiga. Puasa Ramadhan yang tiga puluh itu 'disetengahkan' kepada lima belas. Menutup aurat itu hanya perlu dalam majlis-majlis agama sahaja. Melakukan dosa sekali sekala itu tidak mengapa kerana dosa yang sedikit itu tidak menjejaskan pahala yang banyak.

Lantas dengan sebab itu, barangkali sesetengah kelompok umat Islam menolak bulat-bulat konsep kesederhanaan dalam agama dan menyatakan konsep ini tidak wujud dalam Islam.


Suka untuk saya menyebut di sisi suatu hadith di mana diriwayatkan bahawa 3 orang sahabat Rasulullah cuba menyiasat bagaimana gayanya baginda Rasulullah mengerjakan ibadah baginda. Maka mereka pun bertanya kepada isteri Rasulullah lalu dikhabarkan kepada mereka tentang ibadah Rasulullah yang secara ringkasnya kuat beribadah.

Maka terfikirlah di fikiran para sahabat ini sedangkan Rasulullah yang ma'sum (terpelihara daripada dosa) dan dijamin syurga itu pun beribadah dengan kuat dan bersungguh-sungguh maka mereka yang tidak ma'sum dan tidak dijamin syurga perlulah beribadah dengan lebih kuat.

Lantas sahabat yang pertama berkata aku akan mengerjakan solat sepanjang malam dan tidak tidur, sahabat kedua berkata aku akan berpuasa setiap hati tanpa putus manakala yang ketiga berkata aku akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin. Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan baginda maka Rasulullah seraya bersabda: 

أما والله إني لاخشاكم لله وأتقاكم له ولكني أصلي وأرقد و أصوم وأفطر وأتزوج النساء. من رغب عن سنتي فليس مني
"Sesungguhnya aku ialah orang yang yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah dalam kalangan kamu, dalam pada itu aku mengerjakan solat dan aku berehat, aku berpuasa dan aku berbuka dan aku mengahwini wanita. Barangsiapa yang tidak suka kepada sunnahku maka dia bukanlah daripada kalanganku."

Daripada hadith yang disebut di atas dapat kita fahami bahawa kesederhanaan dalam Islam bukan bermaksud semata-mata pertengahan atau setengah tetapi berada ditengah-tengah atau di antara dua posisi yakni melampau dan kekurangan. Dalam kata lain, tidak melampau dan tidak pula kekurangan.

Kesederhanaan dalam Islam bukan bermaksud mengerjakan sesetengah ibadah dan meninggalkan setengah yang lain kerana perkara-perkara yang wajib itu tidak dapat tidak mesti ditunaikan oleh setiap Muslim. Firman Allah:

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا
"Dan tidaklah menjadi pilihan bagi seorang Muslim atau Muslimah itu apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu perkara. Barangsiapa yang berbuat maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata"
[Al-Ahzab: 36]

Justeru apakah yang dimaksudkan sebagai melampau dalam beragama itu? Contoh mudah yang boleh saya berikan di sini adalah seperti:
  1. Mewajibkan yang sunat atau yang harus.
  2. Mengerjakan sesuatu ibadah itu tidak mengikut gaya yang dianjurkan oleh Islam. 
  3. Membebankan diri dengan ibadah sehingga ke tahap menyalahi fitrah manusia.
  4. Mengharamkan yang makruh.

Ini sesuai dengan hadith yang telah kita sebutkan sebentar tadi. Memang benar Islam menganjurkan puasa sunat tetapi bukanlah secara berterusan tanpa henti. Islam memang menyuruh kita memelihara pandangan dan menjauhi fitnah tetapi bukanlah sehingga tidak berkahwin. Islam turut menganjurkan solat sunat tetapi bukan sehingga tidak berehat.

Apa pula yang dimaksudkan dengan kekurangan dalam beragama? Kurangnya dalam agama apabila kita tidak mengerjakan apa yang diwajibkan ke atas kita ataupun mengerjakan sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Contohnya sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi solat yang lima hanya ditunaikan tiga. Tutup aurat hanya dalam majlis agama.

Yang sedemikian jelas bukanlah kesederhanaan dalam agama tetapi kekurangan. Kekurangan yang mengundang murka dan siksa Allah.

Selain itu kesederhanaan dalam Islam itu turut bermaksud menyeimbangkan antara dunia dan akhirat sesuai dengan hadith Rasulullah:

"Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari"

Islam tidak menyuruh kita duduk di atas tikar sejadah ataupun berkhutbah sepanjang hari dan tidak berbuat kerja-kerja lain. Islam tidak menyuruh kita belajar tentang ilmu agama sahaja dan meninggalkan ilmu lain. Saya sedih melihat kenalan saya yang begitu komited dalam belajar ilmu agama dan berdakwah tetapi mengabaikan pelajarannya sehingga terpaksa mengulang beberapa subjek. Kita harus memahami bahawa ibadah di dalam Islam itu terkandung dalam pelbagai bentuk. 

Ibadah dalam kata mudah ialah pengabdian diri kepada Allah. Pengabdian ini tidak datang cuma dalam bentuk ibadah formal seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan pengabdian ini turut terkandung dalam aktiviti seharian seperti mencari rezeki yang halal, memberi nafkah kepada keluarga, gotong-royong dan belajar asal saja niatnya adalah tulus kerana Allah. Berehat dan tidur juga boleh menjadi ibadah jika kena pada niatnya.

Terdapat satu lagi salah faham yakni daripada segi memahami prinsip istiqamah atau sesetengah orang menyebut sebagai 'biar sedikit asalkan berterusan'. Kita harus faham bahawa sikap istiqomah ini terpakai dalam kita melaksanakan ibadah-ibadah sunat bukannya ibadah wajib kerana sebagaimana yang telah kita sebut tadi ibadah wajib itu mesti dikerjakan secara seluruhnya.

Yang dimaksudkan dengan biar sedikit tetapi berterusan ini ialah adalah lebih baik bagi kita untuk melaksanakan ibadah yang sunat itu dengan kuantiti yang kecil tetapi diulang-ulang dengan kerap dan bukannya mengerjakannya dengan sekaligus dalam kuantiti yang banyak tetapi kemudiannya tidak lagi berterusan dengan amalan itu.

Contohnya, dalam bersedekah adalah lebih baik bagi kita misalnya menderma RM5 setiap minggu daripada kita menderma sekali banyak RM100 kemudian terus tidak menderma lagi. Atau contoh lain lebih baik kita mengerjakan solat sonat 2 raakaat setiap malam daripada kita solah 20 rakaat satu malam dan kemudiannya terus tidak solat sunat lagi.

Antara hikmah kita dianjurkan untuk mengerjakan ibadah secara sedikit tetapi berterusan disebut dalam sebuah hadith di mana Rasulullah menyebut bahawa Allah itu tidak pernah jemu dengan ibadah hamba-Nya tetapi kita sebagai manusia yang cepat bosan dan jemu. Sekiranya kita beribadah sekali banyak maka kecenderungan untuk kita merasa letih, bosan dan jemu itu adalah tinggi termasuklah kualiti ibadah tersebut akan merosot.

Sesudah kita memahami konsep kesederhanaan kita akan dapat melihat betapa Islam itu adalah agama fitrah maka Islam selari dengan fitrah manusia. Tidak menyusahkan dan tidak memudharatkan. Lantas dengan itu kita akan menyedari bahawa Islam itu sememangnya indah.

No comments: