Pages

19 December 2010

Bukan Muslim sebagai Peguam Syar'ie


Tidak lama dahulu timbul isu berkenaan dengan seorang peguam bukan Islam memohon semakan kehakiman di mahkamah selepas permohonannya untuk berkhidmat sebagai peguam syar'ie ditolak. Seorang kenalan meminta saya menulis berkenaan isu ini. Yang berikut adalah pendapat saya. 


Tersebut dalam sejarah ketika mana peristiwa Hijrah Rasulullah di mana baginda telah meminta bantuan seorang penunjuk jalan yang pada ketika itu belum memeluk Islam. Ramai yang menggunakan ini sebagai hujah bahawa kita boleh meminta bantuan daripada orang bukan Islam. Namun saya tidak fikir yang peristiwa ini terpakai dalam isu Peguam Syarie kerana kita bukan sahaja harus melihat pada permukaan sahaja tetapi kita harus menyelami peristiwa tersebut secara lebih mendalam untuk memahami hikmahnya.


Ketika peristiwa Hijrah, bilangan orang Islam masih kecil dan kebanyakan mereka telahpun terlebih dahulu meninggalkan Makkah berhijrah sebelum Rasulullah. Ditambah pula dengan jenis bantuan yang digunakan bukan berupa perkara yang memerlukan si pembantu berhujah menggunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan hadith Rasulullah. Selain itu, si penunjuk jalan tersebut meskipun bukan Islam, tetapi tidak menentang dan berniat jahat terhadap Islam.

Firman Allah Ta’ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَتُرِيدُونَ أَنْ تَجْعَلُوا لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا مُبِينًا
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir sebagai wali dengan meninggalkan orang-orang mu’min. Apakah kamu ingin mengadakan sebab yang nyata bagi bagi Allah (untuk menyiksa kamu)?” 
[An-Nisa’:144]

Daripada ayat yang disebutkan tadi, Allah melarang keras seorang Muslim daripada mengambil seorang kafir sebagai wali. Wali dalam kata lain boleh juga diertikan sebagi pelindung dan boleh juga diertikan sebagai penolong.

Seorang peguam itu bertindak sebagai wakil bagi membantu anak guamnya dalam prosiding mahkamah dengan sebab kurangnya pengetahuan dan kemahiran anak guam tersebut tentang perkara yang diperbalahkan. Tidak ketinggalan, prosedur-prosedur mahkamah.

Dalam realitinya, seseorang yang diwakili peguam itu sebenarnya bergantung harap nasibnya kepada si peguam. Sekiranya peguam itu adalah seorang yang mahir maka berkemungkinan besar si anak guam berjaya memperoleh haknya dan begitu pula sebaliknya. Justeru, dalam konteks ini dapatlah kita memasukkan peguam dalam salah satu pengertian wali.

Memandangkan peguam dikira sebagai wali maka larangan jelas dalam ayat di atas terpakai di mana seorang Islam itu tidak boleh mengambil seorang wali yang bukan Muslim. Lagi firman Allah Ta'ala:

ولن يجعل الله للكافرين على المؤمنين سبيل
"Sesungguhnya Allah tidak akan pernah menjadikan bagi orang-orang kafir jalan ke atas orang-orang mu'min"
[An-Nisa': 141]

Dalam bab-bab lain misalnya pengriwayatan hadith, Ulama’ mensyaratkan kateria ‘adil’ sebagai salah satu syarat penerimaan riwayat. Dalam konteks ilmu fiqh, Islam termasuk dalam erti kata adil. Menjadi seorang peguam syar’ie bermakna seseorang itu perlu berhujah berlandaskan Al-Quran dan sunnah dan dalam masa yang sama menghuraikan aplikasi ayat Al-Quran dan hadtih yang dibaca terhadap perkara yang diperdebatkan. Ini menimbulkan beberapa persoalan.

Persoalan pertama, bagaimana seorang kafir boleh berhujah menggunakan hujah Al-Quran dan sunnah dan bagaimana pula baginya untuk menghuraikan isi kandungan untuk diaplikasikan terhadap kes. Persoalan kedua ialah bagaimana seseorang itu berhujah dengan Al-Quran dan Sunnah dalam pada dia tidak beriman dengannya. Persolan ketiga ialah bagaimana pula hujah tersebut boleh diterima oleh mahkamah memandangkan yang meriwayatkannya itu bukanlah seorang yang adil kerana dia seorang yang kafir ditambah pula dia sendiri berhujah dengan apa yang tidak dipercayainya. Tambahan lagi firman Allah Ta'ala:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا
"Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an (wahai Muhammad), kami jadikan antara kamu dan mereka yang tidak beriman dengan hari akhirat itu hijab yang tak kelihatan (supaya mereka tidak memahaminya)"
[Al-Isra': 17]

Begitu juga dalam bab persaksian dan wakalah (perwakilan) yang mana sebahagian ulama' mensyaratkan si saksi atau wakil mestilah seorang Islam. Jika seorang saksi itu disyaratkan mestilah seorang Islam, maka adalah lebih utama bagi seorang peguam itu dilantik daripada kalangan orang Islam juga. Ini kerana peranan peguam tidak kurang pentingnya daripada seorang saksi bahkan seorang peguam itu sebenarnya bertindak sebagai penasihat kepada qadhi atau hakim dalam memutuskan sesuatu kes.

Memang benar seorang peguam (sebagaimana yang disebut oleh Ustaz Zaharuddin dalam penulisannya) bukanlah pemutus kepada sesuatu kes. Kata beliau:
"Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif sahaja, bukan pemutus. Malah semua hujjahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie. Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas Al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks tersebut, saya melihat tiada masalah bagi seorang peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim."
Namun saya (dengan hormatnya) mengambil untuk tidak bersetuju dengan alasan ini kerana kita harus sedar bahawa seorang hakim itu bukanlah lengkap dari segi ilmu pengetahuannya dan tidak pula terpelihara daripada terpengaruh dengan orang lain. Ini menjadikan penyelewengan nas Al-Quran dan sunnah sebagai sesuatu yang tidak mustahil. Mengambil langkah berjaga-jaga itu adalah lebih molek demi memelihara kesucian agama Islam.

Seterusnya, seseorang yang diwakili peguam selalunya perlu menceritakan banyak perkara kepada peguamnya termasuklah perkara-perkara yang menjadi rahsia bagi membolehkan si peguam memahami situasi sebenar dan memberi nasihat perundangan yang sesuai kepada anak guamnya. Seorang kafir itu tidak kira sebaik mana pun dia tidak boleh dijadikan seorang yang dipercayai untuk memegang rahsia seorang Muslim. Ini kerana seoarang kafir itu secara semulajadinya tidak boleh dipercayai kerana kekafirannya itu pasti menjadikannya bersifat hasad kepada orang Islam. Firman Allah:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Dan seorang Yahudi dan Nasrani itu tidak pernah akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut jejak agama mereka…”
[Al-Baqarah:120]

Sememangnya tujuan utama daripada prosiding mahkamah adalah untuk memperoleh keadilan bagi pihak yang terlibat dalam perbalahan dan keadilan itu tidak mustahil untuk diperoleh daripada orang yang bukan Islam kerana terdapat orang bukan Islam yang lebih kuat pegangannya kepada keadilan berbanding orang Islam sendiri. Namun dalam pada itu saya berpendapat bahawa selagi mana keadilan itu boleh diperoleh dengan jalan menggunakan peguam Muslim maka tidak ada sebab untuk mengharuskan kita menggunakan peguam yang bukan Muslim.

Berpandukan apa yang telah dibincangkan di atas, saya berpendapat bahawa tidak sepatutnya dan tidak selayaknya seorang yang bukan Muslim itu dilantik sebagai peguam syar'ie samaada dari segi hukum mahupun dari segi praktikal.



No comments: