Pages

31 December 2010

Ada Apa dengan Tahun Baru

Post ini ditulis sempena tahun baru, perayaan yang ditunggu dan diagung-agungkan oleh segenap manusia tanpa mengira agama. Bahkan menjadikan orang yang beragama seolah-olah tidak beragama.

Persoalan yang saya utarakan melalui tajuk post ini ialah ada apa dengan tahun baru yang menjadikannya ditunggu-tunggu dan dibesar-besarkan oleh orang ramai.

Jawapannya mudah. Apa yang ada adalah kemungkaran dan dosa. Kerana di dalam dosa dan kemungkaran itulah terdapat keseronokan yang tidak terhingga. Manakan tidak, hiburan berlebihan, minum arak, berzina dan pergaulan bebas semuanya menyeronokkan dan semua ini wujud dan berleluasa di malam tahun baru ini.
Lebih menyedihkan, banyak pihak yang menggalakkan kemungkaran ini. Salah-satunya adalah dengan cara menganjurkan konsert dan parti tahun baru.

Jika difikirkan secara logik akal (bagi mereka yang berakal), tidak ada satu sebab rasional yang boleh difikirkan untuk menjadi sebab mengapa kita perlu merayakan tahun baru. Sebaliknya kita seharusnya sedar yang tahun baru itu bermakna telah berlalunya setahun daripada umur kita dan semakin hampirnya kita kepada mati. 

Lantas seharusnya kita berfikir tentang tempoh setahun yang telah kita habiskan apakah boleh dijadikan bekalan untuk meraih rahmat dan belas Allah diakhirat kelak. Seterusnya kita harus merancang rencana yang perlu kita laksanakan dalam masa setahun yang akan datang sebagai persediaan untuk mengadap Allah sekiranya kita masih diberi peluang untuk hidup setahun lagi.  

Perayaan tahun baru tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Islam. Tidak cukup dengan itu, Islam bahkan mengharamkan sambutan tahun baru ini apabila perayaan ini disambut sebagaimana yang disambut oleh masyarakat pada masa kini.

Ketikamana saya menulis post ini, entah berapa ramai remaja Islam yang berpelukan dengan yang bukan mahram, yang minum arak dan terkinja-kinja dengan hiburan dan entah berapa ramai pula yang melakukan zina.

Namun, ideologi yang ditanam oleh orang kafir yang mempromosikan perayaan ini telah berjaya menyelinap ke hati orang Islam sehingga menjadikan mereka teruja sekali untuk merayakannya bahkan melebihkannya berbanding dengan perayaan yang dianjurkan oleh Islam. 

Sebagai contoh, apabila tiba tahun baru, dia merasakan wajib baginya untuk merayakannya dengan menghadirkan diri ke konsert atau parti tahun baru tetapi ketika hari raya puasa atau hari raya korban tidak pula dia merasakan perlu baginya untuk menghadiri solat hari raya atau mengerjakan ibadah korban.

Tidak ada dolak-dalih lagi yang boleh menghalalkan sambutan tahun baru ini. Kaedahnya mudah sahaja, setiap yang membawa kepada yang haram itu adalah haram. Kaedah ini, dalam ilmu usul fiqh dinamakan Sadduzzarai' yakni menyekat jalan yang membawa kepada kemungkaran. Maka mereka yang menganjurkan, yang meluluskan penganjurannya, yang turut serta menjayakannya, yang menghadirinya bahkan yang redha dengannya mendapat saham dosa dan kemurkaan Allah. 

Mereka yang melakukan kemungkaran ini bukannya tidak tahu apa yang mereka buat itu merupakan dosa. Tetapi mereka tetap meneruskan hasrat mereka kerana tidak takut kepada azab Allah atau mungkin mereka merasakan mereka mempunyai banyak masa lagi tuntuk hidup. 

Kita yang terpelihara daripada kemungkaran ini seharusnya bersyukur kepada Allah kerana kita semua telah diselamatkan daripada dosa dan kemurkaan Allah.

1 comment:

Nadia Hanim Nasser said...

Aku rasa macam sesak je nak kena celebrate new year dekat luar.mesti jam.eiwwww.duk dgn family or kawan2 terdekat kau lagi bagus.buat lah mende yg berfaedah,main chess ke dinner sama2 ke..:)