Pages

25 November 2010

Peperiksaan & Ujian


Selama lebih setengah bulan blog ini saya tinggalkan tanpa dikemaskini. Sebabnya, saya sibuk menumpukan perhatian untuk peperiksaan akhir semester yang berakhir minggu lepas. Hampir separuh gila juga menjalani setiap hari dengan menghafal prinsip-prinsip undang-undang dengan segala macam kes. Ditambah dengan stress, makan tak menentu, tidur pun tak tenang semuanya kerana risaukan peperiksaan yang mendatang.

Selesai peperiksaan, tuhan saja yang tahu betapa leganya rasa hati. Hilangnya segala tekanan yang menghempap minda. Riangnya selepas terlepas daripada belengu peperiksaan. Namun bila difikirkan kembali, sedar tidak sedar sebenarnya kita lebih memberi tumpuan kepada peperiksaan dunia walhal hakikatnya kita sentiasa dalam ujian. Ujian Allah sebagaimana firman-Nya:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji yang mana satukan di antara kalian yang sebaik-baik amalannya dan Dialah yang Maha Perkasa dan Pengampun"
[Al-Mulk: 2]



Tapi persoalannya mengapa kita tidak merasa risau dan gelisah sebagaimana kita menghadapi peperiksaan di sekolah mahupun di universiti. Mengapa pula kita tidak membuat persiapan sebagaimana kita bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan di sekolah mahupun di universiti?

Jawapannya mungkin kerana keputusan peperiksaan atau ujian yang Allah berikan setiap hari itu jauh daripada jangkauan minda kita yakni di akhirat nanti. Atau mungkin kita belum pernah melihat akibat daripada kegagalan menghadapi ujian Allah tersebut kerana akibatnya hanya akan kita ketahui di akhirat ini sedangkan akibat daripada kegagalan peperiksaan di dunia ini kita telah lihat sendiri dengan mata kasar kita.

Kegagalan peperiksaan dunia bermakna peluang untuk berjaya di masa hadapan agak pudar terutama daripada segi mendapatkan pekerjaan yang baik dan bergaji lumayan. Ini yang kita semua takutkan dalam pada kehidupan zaman moden yang mana status, kerjaya dan kekayaan menjadi idaman setiap orang.

Kegagalan ujian Allah bermakna kita akan ke neraka. Namun neraka itu kita kurang takut kerana kita tidak melihat sendiri betapa dahsyat dan azabnya siksaan di neraka itu. Kita hanya mendengar khabar gambaran tentang siksaan yang disediakan Allah di neraka. Barangkali sekiranya kita berpeluang merasa sendiri betapa dahsyat dan azabnya siksaan neraka itu barulah kita akan benar-benar takut, berhati-hati dan sentiasa bersedia menghadapi ujian Allah.

Tetapi kita harus sedar terdapat hikmah disebalik Allah menangguhkan siksaan neraka itu sehingga Hari Kiamat. Antaranya supaya kita berpeluang bertaubat selagi mana kita hidup di dunia ini. Itu juga menunjukkan betapa Allah itu kasih kepada kita dan memberi peluang yang tak terkira kepada kita untuk berubah dan berusaha merebut keredhaan-Nya.

Cuma kita yang sombong, bodoh, masih mengejar dunia yang sementara. Bertuahlah orang yang berusaha mengejar keredhaan Allah.
  

No comments: