Pages

23 October 2010

Kerana Hak Melayu Layu


Perhimpunan UMNO yang berlangsung menyaksikan ikar Perdana Menteri untuk mempertahankan hak Orang Melayu yang dikatakan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kata nama yang lebih tepat menurut pensyarah saya ialah 'Keistimewaan Melayu' dan bukannya 'Hak Melayu' kerana sesuatu yang hak mesti diberikan kepada setiap orang tanpa mengira bangsa.

Daripada sudut ilmu undang-undang perlembagaan, perkara ini disebut sebagai 'positive discrimination' atau 'affirmative action'. Fungsinya adalah untuk memberikan keistimewaan kepada sekelompok manusia melebihi kelompok yang lain sebagai suatu timbal balas atau pampasan kepada penindasan yang telah dikenakan ke atas mereka pada masa lampau.

Dalam konteks negara Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memberi beberapa keistimewaan kepada Orang Melayu sebagai timbal balas atau pampasan di atas kemurahan hati mereka menerima masyarakat bukan pribumi sebagai sebahagian rakyat Malaysia di awal penubuhan negara ini.


Untuk mempersoalkan kewujudan Keistimewaan Melayu ini adalah suatu tindakan yang bodoh meskipun ramai orang yang mendakwa diri mereka pandai mempersoalkannya. 

Dalam post ini saya ingin mebincangkan kewajaran Keistimewaan Melayu ini bukan dalam konteks keadilan tergadap bangsa lain tetapi daripada sudut kebaikan yang diberikan kepada Orang Melayu.

Tidak dinafikan sama sekali betapa Keistimewaan Melayu ini telah memberi manfaat kepada Orang Melayu daripada pelbagai sudut seperti ekonomi dan pendidikan. Namun persoalan yang perlu diajukan ialah adakah keistimewaan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Orang Melayu untuk memacu mereka supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama bangsa lain.

Apa yang ketara ialah majority Orang Melayu mempergunakan Keistimewaan Melayu supaya mereka dapat duduk sambil lewa dan sekadar merasa cukup dengan apa yang ada tanpa ada kesedaran untuk memajukan diri.

Saya beri contoh mudah sekitar apa yang berlaku dipersekitaran saya sebagai seorang pelajar universiti. Saya melihat pelajar Melayu malas belajar, suka ponteng kelas, ada yang sekadar datang kelas untuk menandatangan kehadiran dan kemudiannya duduk melepak di luar kelas dan bersembang. Ramai juga yang tidak datang langsung ke kelas dan hanya menyuruh kawan menandatangan kehadirannya. Apa yang dibuat ialah menonton filem di bilik atau tidur. Bila sampai waktu peperiksaan, fotostat nota kawan ataupun meniru dalam peperiksaan.

Ada pelajar Melayu yang mendapat bantuan kewangan tetapi digunakan untuk membeli gajet-gajet dan barangan yang tidak berfaedah. Bila hendak beli buku berkira. Katanya bukannya pakai semua. Lalu mereka hanya photostat muka surat yang berkaitan. Patutlah tak pandai pandai.

Tetapi bila beli handphone, game atau komputer tidak pula berkira. Mesti dapatkan yang paling canggih meski bukan semua perisian digunakan. Ada yang dapat bantuan kewangan sanggup membeli rokok berkartun-kartun daripada membeli makanan. Sudahnya, makan maggi setiap hari. Tidak kurang juga yang berfoya-foya bersama teman lelaki atau teman wanita.

Kalau di sekolah menengah dahulu, sudah diberi tempat di sekolah berasrama bukannya hendak belajar bersungguh-sungguh sebaliknya lompat pagar di tengah malam dan pergi ke cyber cafe semata-mata untuk bermain game. 

Jadi melihat kepada situasi di atas, wajarkah ada Keistimewaan Melayu dari segi kuota kemasukan ke Sekolah Berasrama atau Institut Pengajian Tinggi Awam dan wajarkah ada bantuan kewangan kepada penuntut Melayu sekiranya maksud yang ingin dicapai tidak tercapai?

Memang ada yang memanfaatkan Keistimewaan Melayu sewajarnya tetapi majoriti mereka adalah sebagaimana yang saya sebutkan di atas.

Jadi tidak salah pendapat sesetengah pihak termasuk mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang bahawasanya Keistimewaan Melayu ini telah mejadikan Orang Melayu layu dan kurang berdaya saing.

Apakah sudah sampai masanya kita menjadikan Keistimewaan Melayu sebagi suatu perkara yang hanya termaktub dalam perlembagaan tetapi tidak diamalkan? Mengapa tidak, seperti saya katakan tadi Keistimewaan Melayu hanya bersifat keistimewaan dan bukannya hak. Maka apabila kita sebut keistimewaan jadi terpulangkah kepada kita sama ada untuk memberikannya atau pun tidak. Lain pula halnya tentang hak kerana tidak dapat tidak kita mesti memberikan hak kepada yang berhak.

No comments: