Pages

06 September 2010

Raja Adil Raja disembah, Raja Zalim Raja Disanggah

Ini bukan tulisan untuk mengulas cerita Melayu klasik, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Saya cuma tertarik untuk membahaskan petikan kata-kata Laksamana Bentan lakonan Nordin Ahmad dalam cerita tersebut.

Saya lebih suka menterjemahkan perkataan 'raja' sebagai bermaksud pemerintah atau pemimpin dan bukannya merujuk kepada sistem beraja ataupun raja-raja Melayu manakala perkataan sembah pula bermaksud ketaatan dan bukannya penyembahan berbentuk ibadat. Jadi sekiranya diolah semula, kata-kata tersebut menjadi 'pemerintah adil ditaati manakala pemerintah yang zalim diperangi'. Sabda Rasulullah: 

"Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang kamu sayangi dan dia menyayangi kamu, pemimpin yang kamu doakan dan dia mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin adalam pemimpin yang kamu benci dan dia juga membenci kamu, kamu melaknatnya dan dia melaknat kamu." Para sahabat bertanya adakah harus bagi kami untuk memeranginya? Rasulullah menjawab:"Tidak, selagi mana dia mendirikan solat dan tidak juga harus bagi kamu memutuskan ketaatan kepada mereka apabila mereka menyuruh kepada yang ma'ruf."

Ramadhan kali ini ternyata membawa rahmat kepada Malaysia. Sebabnya, beberapa pihak telah mula sedar betapa Islam itu bukan sekadar Hudud semata-mata dan perlaksaannya perlulah dilakukan dengan hikmah bijaksana dalam pada keinginan kita yang kuat ke arah kewujudan sebuah negara yang Islam keseluruhannya.

Kita harus sedar bahawa situasi semasa menunjukkan betapa kita sekarang berada dalam ikatan perpaduan yang amat rapuh. Umat Islam sendiri tidak sebulu antara satu sama lain, usaha sesetengah pihak yang giat mencetuskan api perkauman dan kebencian, penghinaan terhadap agama ditambah dengan perselisihan faham dengan negara jiran.

Saya tidak bermaksud untuk menakut-nakutkan masyarakat tetapi ingin memberi kesedaran supaya kita semua bersegera ke arah perpaduan dan perdamaian serta berpegang teguh dengan sifat sabar.

Dalam keadaan yang genting sebegini masih banyak pihak yang berusaha gigih untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka beralasan bahawa kerajaan bersifat zalim dan korup menjadikan kerajaan sebegini sebagai kerajaan yang wajib diperangi.

Justeru tulisan ini bertujuan untuk membincangkan apakah benar dakwaan mereka yang tersebut yakni kerajaan yang zalim dan korup wajib diperangi. Saya tidak menulis untuk menyatakan kerajaan yang kita ada sekarang adalah kerajaan yang zalim dan korup. Sebahagian orang mengatakan ya manakala yang lain mengatakan tidak. Lupakan itu untuk sementara waktu dan sila beri perhatian untuk menjawab soalan benarkah kerajaan yang zalim wajib diperangi?

Dalam Islam, kewajipan mentaati pemerintah adalah bersifat umum dan bukannya khusus mentaati pemerintah yang adil sahaja. Maksudnya, selagi mana pemerintah itu tidak menyuruh ke arah melakukan maksiat, pemerintah itu mesti ditaati walaupun mereka bersifat dengan sifat yang zalim. Sabda Rasulullah:

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). [Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469]

Memang benar, terdapat hadith Rasulullah yang menyuruh kita menentang kezaliman menggunakan tangan atau mulut ataupun hati tetapi lain pula perihalnya apabila kezaliman itu dilakukan oleh pemerintah. Ini sesuai dengan hadith Rasulullah yang berbunyi:

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama'ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. 
[Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849]

Kita mesti sentiasa waras dan bersifat bijaksana, hadith ini bukan bermaksud menyuruh kita membiarkan kezaliman berleluasa tetapi untuk menyekat kerosakan yang lebih dahsyat dan sukat diubat akibat daripada memerangi pemerintah. Sabda Rasulullah lagi:

"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang berhati syaitan. Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu." 
[Bukhari dan Muslim]


Disebalik kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah, kita disuruh sentiasa taat kepada mereka untuk perkara yang ma'ruf kerana kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah akan dipertanggungjawabkan ke atas mereka sahaja dan bukannya ke atas rakyat jelata. Ini sesuai dengan hadith Rasulullah:

"Dari Wail r.a. berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan." 
[Muslim]

Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang untuk tidak memerangi pemerintah meskipun mereka bersifat zalim selagimana mereka Islam dan menunaikan solat kecuali sekiranya jelas kekafirannya barulah diharuskan memerangi pemerintah. Ini kerana Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang kepada hadith Rasulullah dan bukannya berpandukan kata hati, kemarahan dan hawa nafsu semata-mata.

Sememangnya jika diikutkan logik akal, kita tidak harus taat kepada pemerintah yang zalim dan mesti memeranginya tetapi sekiranya kita melihat dengan hikmah dan bijaksana, kita akan mendapati hadith Rasulullah tersebut sesuai dengan satu lagi kaedah fiqh yang menyebut apabila kita berhadapan dengan dua mudharat, kita perlu memilih satu yang lebih kecil mudharatnya daripada yang satu lagi.

Sekiranya pemerintah diperangi maka akan hilanglah keamanaan dan keselamatan. Mungkin ada yang tertanya bagaimana boleh wujud keamanan dalam pada pemerintah bersifat zalim. Keamanan yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah bersifat pemeliharaan terhadap kesejahteraan awam (public order) yang paling asas yang menyekat perlakuan jenayah dan mengelakkan kucar-kacir dalam kalangan rakyat. Apabila negara diperangi maka akan hilanglah tampuk yang memelihara keamanan asas ini dan akan timbul suasana kucar-kacir dalam negara.

Seterusnya, perpaduan asas (fundamental unity) yang menjadi akar umbi penubuhan sesebuah negara juga akan lenyap apabila rakyat memerangi pemerintah. Akibatnya, negara akan rosak dan musnah secara keseluruhannya.

Dari sudut ekonomi pula sudah pasti akan menjadi porak-peranda. Para pelabur pastinya tidak berminat melabur dalam negara yang tidak stabil kerana ini pastinya akan memberi risiko yang besar terhadap wang mereka.

Apabila berlaku perang, pastinya akan melibatkan keganasan, kerosakan, kemusnahan, kecederaan dan kematian. Rakyat akan hidup dalam ketakutan. Aktiviti harian tidak dapat dilakukan seperti biasa dan kebebasan akan lenyap.

Tidak cukup dengan itu, apabila kerajaan dijatuhkan maka pertahanan negara juga turut hilang bersamanya. Maka negara akan terdedah kepada serangan musuh

Apabila keamanan, perpaduan, kebebasan, ekonomi dan pertahanan telah lenyap maka tiada apalah yang tinggal untuk dipanggail sebagai sebuah negara lagi dan kita harus ingat, untuk membina perkara tersebut satu demi satu bukanlah perkara yang mudah.

Sekiranya memerangi pemerintah Islam yang zalim itu tidak dibenarkan oleh Rasulullah. Bagaimana kita boleh mendakwa kita menegakkan Islam dalam pada kita berpakat dengan orang bukan Islam untuk menjatuhkan pemerintah Islam?

Wujudkah Islam dalam bentuk lain selain daripada yang dibawakan Rasulullah?

Pautan:

No comments: