Pages

21 September 2010

Memberi Tanpa Terlalu Berhati-hati

Rakyat Malaysia rata-ratanya memang pemurah. Barangkali dengan sebab itu negara kita dikurniakan Allah dengan kemewahan dan jika dibandingkan dengan negara luar, memang sangat sukar mendengar kes mati kebuluran di Malaysia. 

Namun malangnya segelintir manusia durjana cuba mengambil kesempatan di atas kemurahan dan sikap suka menderma dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai cara digunakan antaranya sindiket peminta sedekah di mana perbuatan mengemis dijadikan suatu bisnes yang menguntungkan. Mereka menggajikan orang untuk mengemis di jalanan dengan pelbagai cara untuk meraih simpati termasuklah dengan memperalatkan anak kecil. 

Ada yang menghantar peminta sedekah ke kedai-kedai makan dan ada yang menghantar ke rumah-rumah. Ada yang mendakwa mereka mewakili pertubuhan kebajikan, rumah anak yatim, madrasah, surau, masjid dan lain-lain lagi. 

Bagi yang pemalas dan berat tulang, mereka mengambil kesempatan dengan tidak bekerja dan sekadar duduk atau berbaring di tepi jalan atau kaki lima mengemis simpati dan duit orang ramai yang lalu lalang meskipun mereka pada hakikatnya adalah manusia sempurna, tidak mempunyai apa-apa kekurangan dan mampu bekerja seperti orang lain. 

Mereka yang berbuat sedemikian ternyata adalah manusia yang tidak bermaruah dan tidak lebih daripada sampah masyarakat. Sebabnya, mereka tiada bezanya dengan orang lain dari segi tubuh badan, kemampuan dan kesihatan tetapi sengaja mensia-siakan nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan lebih suka mencari jalan mudah dengan mengemis.

Kehadiran sampah masyarakat yang durjana ini sedikit sebanyak telah memberi impak negatif terhadap masyarakat. Mereka menjadi ragu-ragu apabila ingin menderma kerana takut tertipu dan tersalah memberi kepada mereka yang sebenarnya tidak memerlukan. Mereka yang pernah tertipu pula menjadi fobia untuk menderma. 

Jangan katakan anda, saya juga menghadapi dilema yang sama. Kadang-kala berfikir dua-tiga kali untuk bersedekah. Betulkah orang betul-betul memerlukan? Bolehkan orang ini dipercayai? Itu antara soalan-soalan yang bermain di minda.

Namun disebalik semua itu, saya ingin mengesyorkan kepada diri saya dan anda semua supaya tidak terlalu berhati-hati ketika memberi tidak kira sama ada sedekah ataupun hadiah. Ini kerana Allah menilai niat kita ketikamana kita melaksanakan sesuatu perbuatan itu. Sabda Rasulullah:

إنما الأعمال بالنية وإنما لكل امرئ ما نوى
"Sesungguhnya setiap amal itu dinilai dengan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap individu apa yang diniatkannya..."

اليد العليا خير من اليد السفلا
"Tangan yang di atas (memberi) itu lebih baik daripada yang di bawah (menerima)."

Sekiranya kita berniat ikhlas untuk bersedekah maka tidak kira apa yang dilakukan oleh si penerima selepas itu adalah terlepas daripada tanggungjawab kita kerana apa yang berlaku seterusnya adalah di luar daripada pengetahuan kita. Tambahan pula, Islam mengajar kita supaya sentiasa husnuzzhan (bersangka baik) yakni memikirkan yang mereka yang meinta itu benar-benar memerlukan melainkan sekiranya kita benar-benar pasti yang si peminta sedekah itu adalah penipu.

Jika kita tidak mahu bersedekah maka apa yang kita perlu lakukan hanyalah berlalu atau meninggalkan orang tersebut. Jangan pula dimaki hamun orang tersebut kerana kita tidak tahu barangkali orang tersebut sememangnya dalam kesempitan.

Sekiranya kita terlalu berhati-hati dan berkira-kira maka ini akan menjejaskan keikhlasan kita atau lebih buruk lagi menjadikan kita tidak bersedekah. Orang yang benar-benar memerlukan bantuan pula akan menjadi mangsa apabila kita terlalu berhati-hati untuk menghulurkan bantuan.

Kalaupun benar kita telah diperdaya oleh si peminta sedekah tersebut, ganjaran amal kebajikan kita tidak berkurang dan kita tidak perlu bimbang kerana si penipu tersebut tidak akan terlepas daripada siksaan Allah.

No comments: