Pages

14 September 2010

Iklan Raya Ala Krismas

Saya membaca sebuah blog yang mengatakan bahawa semasa bulan Ramadhan yang lepas, TV3 ada menayangkan iklan raya tetapi iklan itu kini telah ditarik balik kerana dikatakan menggambarkan Aidilfitri seperti Hari Krismas. Sebabnya, dalam iklan tersebut terdapat beca terbang seolah-olah kenderaan rusa terbang yang dinaiki oleh Santa Klaus. Selepas mendapat bantahan orang ramai TV 3 segera menarik balik iklan tersebut dan memohon maaf  di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.


Saya melihat isu iklan raya ala krismas ini sebagai isu remeh. Remeh-temeh kalau dibandingkan dengan beberapa filem dan drama yang ditayangkan di televisyen yang lebih jelas unsur syirik dan khurafatnya jika dibandingkan dengan iklan tersebut (walaupun sesetengah orang yang terlebih rajin berusaha keras menterjemahkannya supaya berkaitan dengan gerakan illuminati dan kemudiannya dikaitkan pula dengan politik. Kasihan orang tersebut, dia terlebih mahir dengan Illuminati agaknya sehingga semua perkara pun dia kaitkan dengan Illuminati).

Contoh jelas seperti drama bersiri Arjuna yang bagi saya sangatlah mengarut. Manusia berkuasa sakti, boleh ghaib, pedang sakti, batu permata sakti dan segala macam alat sakti semuanya berunsur syirik kerana mempercayai kuasa selain Allah. Ini sangatlah bertentangan dengan Islam.

Kalau filem pula lagilah banyak tidak terkira terutama filem-filem berunsur mistik dan cerita-cerita hantu. Contohnya, filem susuk yang mengetengahkan amalan pemakaian susuk yang mana sudah terang lagi bersuluh sebagai amalan syirik yang melibatkan jin dan syaitan. Filem lain seperti Rasukan Ablasa yang menceritakan kisah sekumpulan manusia yang dirasuk makhluk halus, filem Momok, Congkak, Cermin, Susuk dalan lain-lain lagi.

Saya tidak sama sekali dapat menerima alasan kononnya filem-filem sebegini dibuat untuk mendidik masyarakat supaya menjauhi amalan yang bersangkut paut dengan jin dan syaitan. Di awal filem atau drama terpampang ayat Al-Qur'an mengatakan perbuatan berdampingan dengan jin dan syaitan adalah syirik tapi dalam masa yang sama mereka yang mengajar masyarakat bagaimana untuk syirik. Mereka bukan mendidik masyarakat tetapi menjahanamkan dan membawa masyarakat kepada amalan syirik.

Hakikatnya mereka adalah mata duitan yang hanya ingin membuat duit memenuhkan poket mereka tanpa mengira kesan filem atau drama tersebut kepada masyarakat. Syarikat televisyen pula berebut-rebut menjadikan filem-filem syirik ini sebagai hidangan di Aidulfitri.

Tidak dinafikan perkara-perkara ghaib itu memang wujud tetapi mereka bukan orang yang layak untuk bercerita soal perkara ghaib. Siapa yang mengajarkan mereka hal-hal ghaib menjadikan mereka begitu arif sekali sehingga ke tahap boleh mendidik masyarakat soal perkara ghaib? Sedangkan Al-Qur'an sendiri merakamkan betapa ilmu berkaitan perkara ghaib itu adalah sangat sedikit didedahkan kepada manusia.

Pendidikan jenis apa yang menjadikan gurunya kaya-raya dalam masa yang sama menyesatkan muridnya?

No comments: