Pages

09 September 2010

'Aidulfitri 1431H @ 2010

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dengan nikmat-Nya kita masih lagi dipanjangkan usia untuk menjalani sebulan Ramadhan dan kini berada di satu Syawal.

Saya mengambil kesempatan ini dengan rendah hati memohon maaf kepada para pembaca dan sekalian yang mengenali diri saya di atas segala kesalahan yang telah saya lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Saya akui bahawa banyak tulisan-tulisan saya di dalam blog ini yang berupa kritikan tajam dan pedas dibaca tetapi tiadalah niat saya melainkan untuk mengutuk kemaksiatan dan keburukan serta sedikit sebanyak berkongsi pengetahuan dan pendapat dengan anda sekalian. Di setiap kali saya menulis blog ini, saya berusaha dan berharap semoga saya dapat memberi manfaat kepada para pembaca.


Apa yang saya lihat sebagai benar barangkali pada hakikatnya adalah salah dan begitu juga sebaliknya. Saya mengalu-alukan sebarang pembetulan dan teguran yang dilakukan dengan jalan yang baik dan bukannya dengan cara menuduh saya cuba menyebarkan fahaman songsang dan menyesatkan masyarakat. 

Ketahuilah tidak pernah sedikitpun terlintas di hati saya ini untuk menyesatkan pembaca sekalian tetapi sekiranya ada kesalahan dalam tulisan saya, itu tidak lain adalah kesilapan yang dilakukan tanpa disengajakan.

Namun saya merasa sedih dalam pada saya menyeru para pembaca supaya menghormati kepelbagaian tafsiran dalam nas-nas zhanni (samar), masih lagi ramai yang tegar menghukum orang lain sebagai sesat semata-mata kerana orang tersebut tidak sependapat dengan mereka.

Lebih menyedihkan lagi mereka ini tegar menyesatkan orang lain yang tidak sependapat dengan mereka dalam pada mereka sendiri tidak arif dengan pendapat yang mereka pegang. Kalau ditanya kembali kepada mereka tentang kaedah istinbath hukum belum tentu mereka arif tentangnya tetapi dengan sewenang-wenangnya mengishtiharkan pendapat mereka sebagai yang hak dan menempelak orang lain sebagai sesat. Kalaulah para ulama' terdahulu bersifat begini nescaya Islam telah lama lenyap daripada muka bumi.

Sesungguhnya hanya Allah sahajalah mengetahui yang hak sedangkan kita hanya mampu berusaha sehabis baik untuk mencapai yang hak.

Orang-orang seperti ini adalah orang-orang yang merasakan diri mereka terlebih hebat dalam beragama dan mereka fikir hanya mereka sahaja yang faham tentang Islam sedangkan orang lain tidak tahu apa-apa tentang Islam. Maka dengan sebab itu mereka merasakan pendapat mereka sahaja yang betul manakala pendapat lain semuanya salah.

Saya berdoa semoga mereka mendapat petunjuk daripada Allah dan kembali kepada jalan sederhana dan sejahtera yang dianjurkan Islam.

Akhir kata semoga lebaram ini membuka lembaran baru perhubungan kita semua sebagai saudara seislam dengan saling hormat-menghormati dan maaf-memaafi. 

Selamat Hari Raya 'Aidulfitri, Maaf Zahir dan Batin.

-Syed Fadhil 


1 comment:

Ir A.Aziz said...

keep on writing. kadang-kadang, kritikan pedas tu yang kita cari.