Pages

21 August 2010

Ramadhan dan Al-Qur'an

Selamat menyambut Ramadhan, selamat berpuasa dan selamat merebut rahmat Allah yang melimpah-ruah di bulan ini. Diharapkan ucapan ini tidak terlalu lewat meski satu pertiga Ramadhan telah melewati kita. Puas saya memikirkan tajuk yang sesuai untuk dipadankan dengan bulan mulia ini sehinggalah saya mendengar khutbah Jumaat di UIA semalam.

Bulan Ramadhan memang sangat berkait rapat dengan Al-Quran. Manakan tidak, di dalam bulan yang penuh barakah inilah diturunkan Al-Qur'an sebagaimana yang disebut sendiri dalam Al-Qur'an. Namun dalam khutbah Jumaat, khatib menimbulkan persoalan yang agak menarik. 


Menurut Al-Qur'an sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Baqarah, Al-Qur'an itu diturunkan dalan bulan Ramadhan. 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي اُنزِلَ فِيهِ الْقُرءْانُ
"Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an..."
[Al-Baqarah: 185]

Surah Al-Qadr kemudian memberi perincian lagi dengan menyebut bahwa Al-Qur'an itu diturunkan dalam satu malam yakni malam Al-Qadr. 

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
"Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur'an) dalam malam Al-Qadr."
[Al-Qadr:1]

Meskipun begitu, menurut sejarah, Al-Qur'an itu tidak turun dalam satu bulan apatah lagi dalam tempoh satu malam tetapi sebaliknya Al-Qur'an itu turun secara berperingkat selama lebih kurang 23 tahun. Apakah ini menunjukkan terdapat perselisihan antara Al-Qur'an dan sejarah dan sekiranya tidak bagaimanakah kita mengharmonikan antara Al-Qur'an dan sejarah?

Jawapannya, ini bukanlah satu kesilapan, perselisihan apatah lagi kelemahan. Sebaliknya semuanya ini disengajakan oleh Allah yang Maha Luas Pengetahuan-Nya supaya hamba-hamba-Nya berfikir. 

Khatib kemudian memulakan penjelasan yang Al-Qur'an itu diturunkan dalam 3 peringkat. Peringkat pertama di mana Allah meletakkannya di Luh Mahfuz di atas langit ketujuh. Sebagaimana disebut dalam Surah Al-Buruj 

 بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَجِيدٌ فِي لَوْحٍ مَحْفُوظٍ
"Bahkan ialah Qur'an yang tinggi kemuliaannya. Di Luh Mahfuz."
[Al-Buruj: 21-22]

Peringkat kedua ialah di mana Allah menurunkan Al-Qur'an daripada Luh Mahfuz ke Baytul Izzah di langit pertama. Sebagaimana yang disebut oleh Sang khatib, Baytul Izzah ini adalah Kaabah kepada para Malaikat. Baytul Izzah terletak tepat di atas Kaabah. Manusia bertawaf di Kaabah manakala para Malaikat pula bertawaf di Baytul Izzah.

Penurunan peringkat kedua inilah yang disebut oleh Allah dalam Al-Qur'an sebagai berlaku dalam tempoh satu malam di Bulan Ramadhan yakni malan Al-Qadr. Pada malam tersebut Al-Qur'an diturunkan secara jumlah (keseluruhan) daripada Luh Mahfuz ke Baytul Izzah.

Peringkat terakhir ialah penurunan Al-Qur'an daripada Baytul Izzah kepada Rasulullah. pada peringkat ini, Al-Qur'an itu dipecah-pecahkan dan kemudian diturunkan secara berperingkat sepanjang tempoh 23 tahun sama ada dalam bentuk syariat atau jawapan kepada soalan supaya mudah dihafal dan difahami oleh manusia.

وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا
“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia Dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”
[Al-Isra':106]

Begitulah penjelasan untuk menerangkan bahwa Al-Qur'an dan sejarah itu tidak bersalahan antara satu sama yang lain. Semoga bermanfaat.

No comments: