Pages

30 August 2010

Makanan Halal & Doa

Saad ibn Abi Waqos adalah antara salah seorang sahabat Rasulullah yang disegani dan ditakuti mereka yang sezaman dengannya. Namun Saad bukanlah ditakuti dengan sebab garang, tegas dan gagahnya sebagaimana Umar ibn Al-Khottob digeruni oleh orang ramai tetapi Saad digeruni dengan sebab mustajabnya dan makbulnya doa beliau. Setiap kali beliau menadah tangannya memohon kehadrat Allah, pastinya doa beliau dimakbulkan Allah.

Sebabnya, Saad pernah meminta Rasulullah supaya berdoa kepada Allah agar doanya makbul lantas Rasulullah bersabda:

"Jagalah permakananmu nescaya akan mustajab doa kamu. Demi Allah yang nyawa Muhammad di tangan-Nya, jika seseorang lelaki memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, doanya tidak akan diterima selama 40 hari."


Daripada hadith di atas dapat kita mengetahui betapa makanan yang baik lagi halal sangat berkait rapat dengan doa. 

Malangnya pada masa kini terlalu ramai orang Islam yang tidak menjaga makanan mereka terutama daripada segi soal halal dan haramnya. Saya jadi terkejut melihat kerenah manusia bila berhadapan dengan makanan. mereka seolah-olah jadi tidak keruan seperti orang yang kebuluran. Ini terjadi tidak kiralah kepada ustaz, hafiz Al-Qur'an apatah lagi orang biasa terutama apabila makanan tersebut diberikan percuma.

Mana yang halal mana yang haram tidak lagi diendahkan. Mana yang hak mana yang bukan, tidak lagi menjadi perhatian. Semua mahu dibolotnya, semua mahu disumbatkan kemulutnya. Adab makan sememangnya hilang entah kemana.

Ada beberapa pengalaman yang ingin saya ceritakan. Pertama ketika saya menjadi urus setia program barbeque bersama beberapa kenalan saya yang lain untuk blok asrama kami. Semasa sesi penyediaan seperti membeli barang, membuat iklan dan membuat persiapan memasak kebanyakan mereka liat untuk membantu. Semasa saya dan beberapa yang lain sibuk membasuh dan memerap ayam, mereka dengan selamba berlalu dan pergi bermain futsal sedangkan mereka adalah sebahagian daripada ahli urusetia.

Tiba-tiba ketika sesi memasak, ramai yang turun. Mereka yang bukan urus setia juga turun. Rupa-rupanya kerana mereka boleh menjamah dahulu makanan tersebut sementara memasak. Sudahlah begitu, semasa sesi makan, mereka ambil 3-4 ketul ayam seorang sehinggakan ramai peserta yang lain tidak dapat makan. Kalau nak diikutkan dengan kuantiti kerja yang mereka lakukan sememangnya tidak setaraf dan kalau nak dibandingkan dengan hak mereka sebagai ahli blok juga tidak setaraf.

Belum berhenti setakat itu, tiba-tiba saya ternampak beberapa orang yang bukannya ahli blok kami tetapi dengan selamba beratur dan mengambil makanan sedangkan banner yang terpampang sudah jelas lagi bersuluh menyatakan program tersebut khusus untuk ahli blok kami sahaja.

Itu cerita orang tempatan, orang luar lebih teruk daripada itu. Minggu lepas saya dan rakan saya dijemput untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama Pengarah UIA. Rencananya, para tetamu akan berbukan puasa ringan terlebih dahulu, kemudian solat dan barulah makan seperti biasa sesudah solat. Usai menjamah tamr dan beberapa biji kuih kami langsung mengerjakan solat Maghrib. 

Sesudah solat maghrib kami kembali ke meja namun malangnya mendapati meja kami dipenuhi oleh tetamu tidak diundang yang sedang asyik berebut-rebut mengambil makanan. Kalau cerita sebelum ini tentang orang kita tetapi kali ini oleh orang luar yang majoritynya orang-orang Afrika. Saya amat yakin yang mereka tidak menerima jemputan kerana majlis ini hanya untuk pelajar yang memegang jawatan dalam persatuan ataupun majlis pelajar. 

Dalam hati jahat saya berkata barangkali di negara mereka tiada majlis seumpama ini maka kerana itu mereka berebut-rebut mengambil makanan yang bukan hak mereka. Gayanya tak ubah seperti pengemis di dalam televisyen yang berebut-rebut apabila disedekahkan makanan. Maka kami dengan hati yang sakit lagi kecewa pun pergi makan di kedai.

Itu baru sedikit dalam pengalaman saya melihat kerenah manusia apabila berdepan dengan makanan. Yang beragama jadi hilang agamanya yang tidak beragama apatah lagi. Kita harus ingat bahawa setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram maka nerakalah tempat yang selayaknya untuk kita. Justeru saya mengingatkan diri saya sendiri serta para pembaca sekalian supaya memelihara dan teliti dalam soal pemakanan. Pastikan kita tidak makan melainkan yang menjadi hak kita dan kita tidak makan melainkan yang halal tidak kiralah makanan yang kita beli mahupun makanan yang diberi percuma.

No comments: