Pages

29 July 2010

Tahun Kedua, dalam Proses Tumbesaran

Post ini sepatutnya disiarkan pada 27 Julai 2010 bersempena ulang tahun kedua blog ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga saat ini saya dipinjamkan nikmat sihat akal dan tubuh badan berserta sedikit ilmu. Dengan kurniaan-Nya ini saya dapat menulis sedikit sebanyak ilmu yang saya pelajari beserta dengan pendapat-pendapat saya supaya dapat dikongsi dan sama-sama difikirkan oleh para pembaca sekalian.

Saya sangat berharap apa yang telah saya tulis sebelum ini juga yang akan saya tulis di masa hadapan dapat memberi manfaat kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca blog saya. Kalau tidak banyak sekalipun sedikit pun jadilah supaya kalian semua dapat menjadi saksi kelak apabila saya ditanya oleh Allah tentang apa yang telah saya lakukan dengan nikmat sihat akal dan tubuh badan serta ilmu yang Allah pinjamkan kepada saya.



Ramai orang yang tidak sedar akan hakikat ini.Saya sendiri pun selalu lupa. Kita lupa setiap nikmat yang Allah berikan itu akan disoal di kemudian hari tentang bagaimana kita menggayakan nikmat tersebut. Maka dengan sebab itu wujudnya blog-blog yang diisi dengan cerita-cerita bodoh lagi tidak bermanfaat (Hari ini aku makan ayam dengan mee goreng...). Cerita soal-soal peribadi yang membuka pekung di dada yakni membuka aib sendiri. Tidak kurang juga cerita-cerita membangga diri di sebalik maksiat yang mereka lakukan (Hari ini saya keluar dengan si dia. Tengok wayang, karaoke, bergambar bersama ...).

Pernah sekali ada seorang kenalan berkata kepada saya, "biarkanlah mereka itu hak mereka". Lantas saya bertanya kembali kepada kenalan saya itu, "sejak bila seorang Islam diberi hak untuk melakukan kerja-kerja tidak berfaedah? Sejak bila seorang Islam diberi hak untuk membangga diri dengan maksiat yang mereka lakukan? Dia terdiam membisu.

Sepanjang tempoh dua tahun ini juga saya telah menerima banyak galakan daripada pembaca. Tidak kurang juga kutukan dan caci-maki. Terima kasih di atas keprihatinan anda semua. Segala bentuk komen sama ada yang baik ataupun tidak adalah sangat dihargai dan dialu-alukan tetapi anda tidak boleh berfikir yang saya akan berdiam diri dengan komen anda.

Dukacita dimaklumkan, saya tidak sedikitpun tertarik untuk memberi respon terhadap komen-komen seumpama mengetuk tin yang kosong. Bunyinya sangat bingit tetapi ternyata isinya kosong. Ada pembaca yang memberi komen: "kami ada nas kami", "kami ada dalil kami", 'kami ada hujah kami". Semua orang boleh membuat kenyataan seperti ini tetapi entah ke mana nas, hujah dan dalil yang dikatakannya tidak pula kelihatan.

Kita menurut bukan kerana takut atau taksub (sepertimana yang ramai orang lakukan) tetapi kita menurut atas dasar ilmu. Orang boleh berkata yang saya menulis tanpa ilmu atau tidak cukup dalil dan saya menulis untuk mendapat peminat dalam pada saya menyertakan ayat Al-Qur'an, Hadith, pendapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan ulama'-ulama' lain. Sekiranya anda mempunyai pemahaman agama yang lebih mendalam, saya amat berbesar hati sekiranya anda dapat mengajarkannya kepada saya.Saya bersedia mengakui kesalahan saya sekiranya anda dapat membuktikan saya salah. Tepai pembuktian perlulah dibuat dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang benar dan bukannya tuduhan dan omongan kosong.

Malangnya sekiranya anda tidak suka kepada tulisan saya hanya sekadar saya tidak bersetuju dengan pendapat anda, lebih-lebih lagi pendapat anda yang sebenarnya pendapat orang lain yang hanya anda ikut secara membuta tuli, saya dengan senang hati meminta anda meminggirkan diri daripada blog ini saya saya tidak sedikitpun terjejas dengan pekikan anda yang tersebut.

Kalaupun saya adalah seorang yang kemaruk mencari peminat, saya tidak memerlukan peminat yang sebegini. Kalaulah saya seorang yang kemaruk peminat saya mahukan peminat yang berilmu yang boleh mengajar saya atau boleh mengkritik saya atas dasar keilmuan bukanya peminat yang cuma tahu bertempik, terpekik terlolong seperti yang berlau di konsert liar.

Saya tidak mempunyai masalah sekiranya orang tidak bersetuju dengan saya. Saya telah menghadapi ramai orang yang tidak bersetuju dengan saya dan saya juga telah tidak bersetuju dengan lebih ramai orang. apa yang penting ialah sebab disebalik tindakan kita yang tidak bersetuju dengan orang lain, apakah kita tidak bersetuju kerana kita mempunyai hujah-hujah yang baik atau kita tidak bersetuju dengan sebab kebodohan kita sendiri. Ramai saja orang bodoh yang tidak bersetuju dengan orang lain sebabnya mereka mahu orang lain turut sama menjadi bodoh seperti mereka.

Terlalu kolot pemikiran seseorang yang berkata kita tidak perlu mengambil tahu sesuatu hanya dengan sebab kita tidak berkaitan dengan hal tersebut. Jika inilah yang anda dapat daripada pengajian Islam yang anda lalui sepanjang hidup anda, saya secara peribadi meratapi nasib anda sedang Rasulullah bersabda barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal-hal umat Islam maka dia bukanlah sebahagian daripada umat ini.

Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada para pembaca dan saya berharap para pembaca akan setia mengikuti perkembangan blog ini. Di samping itu anda semua dapat menjadi mata-mata dalam memastikan penulisan saya tidak terpesong daripada laluan yang sebenarnya yakni kebenaran. Sekian.

-Syed Fadhil Hanafi aka Sang Pendeta syfadh-

1 comment:

drama queen said...

"....saya dengan senang hati meminta anda meminggirkan diri daripada blog ini saya saya tidak sedikitpun terjejas..."

saya nak reply :

hehe..wlu pn saya meminggirkan diri drpd blog anda,saya akan membaca blog anda di waktu lapang kerana saya suka membaca blog dan melihat blog yg cantik2..

have a nice day.. (^^,)v