Pages

17 July 2010

Hadith Nabawi vs Qudsi vs Al-Qur'an

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Al-Qur'an dan Hadith merupakan dua sumber perundangan Islam yang utama. Meskipun begitu, masih ramai yang tidak tahu bezanya antara Al-Qur'an dan Hadith terutama mereka yang tidak berpeluang menjalani kelas agama. Ramai pula yang tidak tahu yang Hadith, berdasarkan sumbernya, terbahagi kepada dua; Hadith Nabawi dan Hadith Qudsi.

Sepertimana secara tradisinya, mari kita mulakan dengan melihat pengertian Hadith Nabawi, Hadith Qudsi dan Al-Qur'an. Hadith daripada pengertian bahasa bermaksud 'baharu' manakala Al-Qur'an bermaksud 'bacaan'.

Hadith Nabawi ialah setiap perkataan, perbuatan, pengakuan (taqrir) dan sifat yang disandarkan kepada Rasulullah. Maka dengan sebab itu hadith ini dinamakan Nabawi kerana disandarkan bulat-bulat kepada baginda Rasulullah.

Hadith Qudsi pula ialah khabar yang diilhamkan oleh Allah kepada Rasulullah melalui ilham atau mimpi dan kemudiannya disampaikan oleh Rasulullah melalui perkataan baginda sendiri.

Al-Qur'an ialah kalamullah (kata-kata Allah) yang diwahyukan kepada Muhammad, Rasulullah melalui Jibril dalam bahasa Arab dan diriwayatkan secara tawatur.

Persamaan antara ketiganya adalah ketiga-tiganya merupakan sumber perundangan dalam Islam. Meskipun begitu, terdapat banyak perbezaan antara ketiga-tiganya.

Perbezaan pertama adalah dari segi sumber dan bentuknya. Hadith Nabawi bersumberkan Rasulullah dan disampaikan dalam bentuk lafaz yang datang daripada baginda sendiri. Hadith qudsi pula bersumberkan Allah tetapi disampaikan dalam bentuk lafaz oleh Rasulullah. Sedangkan Al-Qur'an bersumberkan Allah dan disampaikan dalam bentuk kata-kata Allah yang asli sepatah demi sepatah tanpa sebarang bentuk ubah-suai oleh baginda Rasulullah.

Perbezaan kedua adalah daripada segi kaedah pengriwayatan. Hadith Nabawi mahupun Hadith Qudsi diriwayatkan dengan dua jalan yakni mutawatir atau ahad manakala Al-Qur'an hanya diriwayatkan melalui satu jalan sahaja yakni mutawatir.

Perbezaan ketiga adalah daripada segi dilalah. Hadith Nabawi dan hadith Qudsi adalah sabit melalui dua cara samaada secara Qat'ie ataupun Dzanni manakala Al-Qur'an semestinya hanya sabit secara Qat'ie.

Perbezaan keempat adalah daripda segi jaminan ketulinannya. Hadith sama ada Nabawi atau Qudsi tidak terpelihara daripada diubah suai tetapi Al-Qur'an dijamin ketulinannya oleh Allah sendiri dan terpelihara daripad ubah-suai sebagaimana firman Allah:

إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan (Al-Qur'an) dan Kami jugalah yang yang memeliharanya (daripada sebarang ubah-suai)"

Contoh Hadith Nabawi:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه
"Aku tinggalkan kamu semua dengan dua perkara, kamu tidaka akan sesat selama mana kamu mengikuti keduanya, Al-Qur'an dan Sunnah."
[Riwayat Malik]

Contoh Hadith Qudsi, Rasulullah bersabda:

إن الله تعالى قال إذا ابتليت عبدي بحبيبتيه فصبر عوضته منها الجنة
"Sesungguhnya Allah berfirman, apabila Aku menguji hamba-Ku dengan dua orang anak perempuan kesayangannya maka dia tetap bersabar, aku akan gantikannya dengan syurga"
[Riwayat Bukhari]

Contoh kalamullah (Al-Qur'an):

وما ينطق عن الهوى إن هو إلا وحى يوحى
"Dan dia (Muhammad) tidak berkata-kata mengikut hawa nafsunya. Segala yang diperkatakan tidak lain hanyalah wahyu daripada Allah"
[An-Najm: 3-4]

No comments: