Pages

25 June 2010

Sunnah dan Pembahagiannya (Bahagian 1)

Istilah-istilah seperti mutawatir, ahad, sohih, hasan, dhaif dan maudhu' sering kita dengar berkait rapat dengan hadith. Istilah-istilah tersebut memberi peranan yang amat besar dalam pengajian ilmu hadith namun malangnya ramai orang Islam yang tidak endah dan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah tersebut.

Sunnah ertinya kebiasaan manakala hadith pula bermakna baharu. Dalam bidang ilmu hadith, sunnah atau hadith ditafsirkan sebagai segala bentuk perbuatan, perkataan, pengakuan (taqrir), sifat atau khara yang disandarkan kepada baginda Rasulullah. Sesetengah ulama' turut merujuk hadith dengan kata 'athar' namun 'athar' biasanya digunakan untuk merujuk kepada perbuatan dan perkataan para sahabat Rasulullah.

Contoh perkataan Rasulullah adalah ketikamana baginda bersabda:

إنما الأعمال بالنية وإنما لكل امرئ ما نوى
"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan setiap amalan itu dikira mengikut niatnya..."
[Mutafaqqun 'Alayhi]

Contoh perbuatan Rasulullah adalah perbuatan solat sebagaimana sabda Rasulullah:

صلوا كما رأيتمون أصلي
"Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat."
[Riwayat Bukhari]

Contoh pengakuan (taqrir) Rasulullah adalah ketika peristiwa Rasulullah dihidangkan dengan daging dhab (biawak padang pasir). Baginda enggan untuk memakannya tetapi apabila daging tersebut dimakan oleh sahabat baginda, baginda tidak pula melarangnya. Sabda Rasulullah:

كلوا فإنه حلالا ولكنه ليس من طعامي
"Makanlah, sesungguhnya daging itu halal tetapi bukanlah daripada makananku"

Contoh sifat yang disandarkan kepada Rasulullah pula adalah ketika peristima Ummul Mu'minin, A'isyah ditanya tentang sifat Rasulullah maka dia menjawab:

كان خلقه القرءان
"Akhlak baginda adalah Al-Qur'an."
[Riwayat Ahmad]

No comments: