Pages

01 June 2010

Islam yang Susah

Berkali-kali ditekankan dalam Al-Qur'an juga Sunnah betapa Islam itu adalah agama yang mudah. Namun disebalik penekanan yang diberi oleh Al-Qur'an dan Sunnah, masih ramai lagi orang Islam menghadapi kesukaran dalam mengamalkan Islam. Setelah difikirkan saya mendapati terdapat beberapa faktor penyumbang yang menyebabkan seseorang itu merasakan Islam sebagai suatu agama yang rumit.

Faktor utama ialah kejahilan seseorang Muslim itu sendiri dan kegagalan mereka dalam memahami cara yang sebenar sesuatu ibadah itu dilaksanakan. Contoh paling mudah dan paling kerap kita lihat adalah solat terutama ketika takbiratul ihram. Masalah kebayakkan daripada umat Islam ialah dalam memahami konsep niat pada solat. Mereka gagal memahami yang niat solat itu tidak perlu kepada susunan ayat yang khusus dan teratur seperti pada lafaz niat solat. Justeru, dek sebab kejahilan mereka ini mereka bersusah payah memasang niat ketika melakukan takbiratul ihram. Walhal apa yang diperlukan sebenarnya adalah lintasan hati sahaja.

Faktor seterusnya ialah khabar-khabar angin yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat, dipraktikkan secara meluas dan akhirnya dianggap sebagai tuntutan agama. Yang peliknya, betapa besar pengaruh khabar-khabar ini sehingga ramai mereka yang berpengetahuan agama sendiri menganggap khabar tersebut sebagai sebahagian daripada tuntutan agama.

Contoh mudah yang boleh saya berikan ialah ketika upacara ijab qabul dalam akad nikah. Ada khabar yang mengatakan si pengantin lelaki mesti melaksanakan qabul dalam satu nafas sahaja. Sekiranya tidak, qabul adalah tidak sah. Lihat betapa pengaruh khabar angin ini telah menjadikan Islam sebagai suatu agama yang rumit. Maka si pengantin lelaki pun bersusah payah menahan nafas ketika qabul. Tambah merumitkan lagi apabila terdapat khabar angin lain yang mengatakan pengantin lelaki mesti mengulang sepatah demi sepatah perkataan ijab yang dibuat oleh qadi. Sekiranya ditambah atau dikurangkan maka qabul tidak sah.

Islam tidak menuntut qabul dilakukan dalam satu nafas. Yang dituntut ialah antara ijab dan qabul itu tidak berlaku jarak masa yang lama contohnya selepas qadi menyebut ijab si pengantin lelaki kemudiannya melakukan pekerjaan lain sebelum kembali menjawab dengan qabul. Namun ini sekali-kali tidak bermakna yang ijab mesti dilakukan dengan satu nafas yang mana akan bertambah sukar lagi dek sebab nama pengantin perempuan yang semakin lama-semakin pelik juga jumlah mahar (mas kahwin) yang semakin lama semakin sukar disebut.

Faktor selanjutnya ialah kegagalan umat Islam dalam memahami konsep Sunnah dan bid'ah. Terdapat sesetengah umat Islam yang merasakan seorang Islam itu tidak mempunyai pilihan melainkan menjalani hidup seratus peratus sepertimana Rasulullah menjalani kehidupan baginda. Faktor ini telah saya bincangkan secara panjang lebar dalam post Sunnah Ibadah dan Sunnah A'dah serta post Bid'ah antara Pemelihara Keaslian agama dan Penyekat Kemajuan Tamadun Manusia Bahagian 1 dan Bahagian 2.
 
Memang benar Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik tetapi baginda tidak menyuruh kita menjalani hidup seratus-peratus sebagaimana baginda menjalani hidup baginda. Contohnya, Rasulullah ketika hayatnya tidak menggunakan komputer, kereta, handphone dan lain-lain alat teknologi sebagaimana yang terdapat pada zaman kita tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh menggunakan teknologi tersebut. Kita perlu sedar yang kita tidak perlu mengikut seratus-peratus cara Rasulullah menjalani hidup tetapi apa yang perlu kita ikut adalah Akhlak, keperibadian dan ajaran Rasulullah berkaitan dengan perkara-perkara keagaaman.
 
Ini terkandung dalam sabda Rasulullah ketika peristiwa di mana baginda melarang petani mengacukkan tanaman mereka tetapi kemudian cara yang dianjurkan oleh Rasulullah itu tidak membuahkan hasil sepertimana yang biasa mereka perolehi maka Rasulullah seraya bersabda:
 
"Kamu lebih mengetahui tentang urusan duniamu."
 
Bahkan dalam sesetengah perkara, haram bagi kita untuk mengikut Rasulullah kerana syariat tersebut khusus bagi baginda sahaja. Contoh mudah adalah dalam soal poligami di mana Rasulullah dibenarkan berkahwin lebih daripada 4 orang isteri pada satu-satu masa. Selain itu juga Rasulullah dan keluarga baginda (Ahlul Bait) diharamkan daripada menerima harta zakat atau sedekah. Syariat tersebut hanyalah khusus untuk Rasulullah dan tidak terguna pakai kepada orang Islam yang lain.
 
Selain itu, kegagalan umat Islam dalam memahami konsep rukhsoh (keringanan) yang diberikan olah Islam dalam keadaan tertentu. Pernah dirakamkan dalam suatu peristiwa di zaman Rasulullah ketika umat Islam keluar di bulan Ramadhan untuk berperang (kalau tidak silap saya). Lalu seorang sahabat melihat umat Islam begitu bersusah payah dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadhan lantas mengadu kepada baginda. Baginda lantas meminta segelas air lalu diminumnya. Perbuatan ini ditiru oleh sebahagian yang lain manakala sebahagian lagi meneruskan puasa. Berita tersebut datang ke pengetahuan Rasulullah yang seraya bersabda yang perbuatan mereka adalah dosa.
 
Kesimpulannya, kesusahan yang ditemukan oleh umat Islam itu bukanlah kesusahan yang dibawa oleh Islam tetapi kesusahan yang direka dan didatangkan oleh kelemahan mereka sendiri. Oleh itu, setiap umat Islam haruslah mengambil langkah untuk lebih mendalami agama Islam kerana hanya kefahaman yang mendalam akan dapat membawa mereka menikmati kemudahan dan rahmat yang dibawa oleh Islam.

3 comments:

nadyacheryl said...

Huaaa aku tatau plak niat tu bleh jadi lintasan hati je time solat :)

Anonymous said...

nama pun "niyat"...

oleole2u.blogspot.com said...

Yang disebut adalah lafaz niat, Niat cuma lintasan hati aje