Pages

08 June 2010

Boikot Lagi? ke Tak Payah Boikot?

Setiap kali Zionis laknatullah mengganas, terdengar laungan yang mengajak kita memboikot Israel dan barangannya sebagai suatu bentuk penentangan dan usaha menunjukkan kebencian terhadap keganasan mereka.

Namun dalam pada itu ada juga sekelompok umat Islam yang tidak percaya kepada gerakan boikot ini. Pelbagai bentuk alasan diberikan termasukkan menggunakan hujah-hujah agama untuk mengatakan yang gerakan memboikot ini bukanlah suatu bentuk amalan yang dianjurkan oleh Islam. Salah satu daripada mereka ialah Hizbut Tahrir.

Beberapa hari lepas saya melibatkan diri dalam perdebatan bersama ahli Hizbut Tahrir yang tidak bersetuju dengan gerakan memboikot ini (Anda boleh baca di sini). Antara hujah yang mereka gunakan ialah boikot bukanlah satu bentuk penyelesaian masalah yang dianjurkan oleh syara' kerana kata mereka, ketika zaman Rasulullah, apabila terdapat umat Islam yang dizalimi oleh orang kafir maka baginda akan menghantar bala tentera untuk memerangi kaum kafir tersebut.  

Dengan menggunakan hujah ini, mereka mengatakan bahawa tindakan yang benar adalah dengan menghantar bala tentera untuk memerangi Israel. Disamping itu juga, mereka berhujah bahawa gerakan boikot ini tidak bersumberkan hukum syara' maka dengan sebab itu boikot tidak boleh diguna pakai.

Seterusnya, mereka menafikan bahawa boikot boleh dikategorikan sebagai suatu bentuk jihad melawan kejahatan kerana kata mereka jihad dalam Islam itu hanya satu yakni dalam bentuk peperangan manakala yang selain daripadanya bukanlah jihad.

Justeru mereka mendesak ke arah penubuhan khilafah dan penghantaran bala tentera untuk memerangi Israel dan menolak segala bentuk penyelesaian yang lain.

Saya membalas hujah-hujah mereka dengan berkata, tiada salahnya dengan seruan ke arah penubuhan suatu negara khilafah dan penghantaran bala tentera untuk memerangi Israel. Namun begitu saya melihat seruan itu sebagai suatu bentuk usaha jangka panjang yang sememangnya harus disahut oleh umat Islam. Dalam pada itu kita harus berfikir adakah usaha penubuhan khilafah dan bala tentera Islam untuk memerangi Israel boleh dibentuk dalam masa semalaman? Adakah kita boleh membuat seruan pada hari ini dan esok telah tertubuhnya negara Islam dan sebuah bala tentera yang bersiap sedia untuk dihantar ke Israel untuk berperang?

Saya yakin jika jawapan kepada soalan saya yang di atas adalah ya maka semestinya kita sekalian umat Islam sudah berada dalam naungan negara khilafah dan negara haram Israel telah lama lenyap daripada muka bumi ini. Namun malangnya hakikat tidak membolehkan perkara ini berlaku dalam tempoh semalaman atau dalam tempoh terdekat ini.

Ini berlaku dengan sebab lemahnya umat Islam dari segi pengetahuan ilmu bukan sahaja ilmu pengetahuan agama dan lain-lain bidang lagi. Itu belum ditambah lagi dengan kecenderungan umat Islam lain yang lebih rela bersekutu dengan Israel daripada mengambil berat hal-ehwal orang Islam. Oleh itu, untuk mencapai impian menubuhkan sebuah negara khilafah dan bala tentera Islam akan memakan masa yang tidak diketahui berapa lamanya.

Melihat kepada keadaan umat Islam yang lemah dari sudut perpanduan, saya merasakan pembentukan sebuah negara khilafah dan bala tentera Islam dalam masa terdekat adalah suat perkara yang sangat sukar dan hampir kepada mustahil. Manakan tidak, umat Islam sendiri menindas sesama Islam. Lihat sahaja Mesir yang menutup sempadan ke Gaza yang menjejaskan penghantaran bantuan ke Gaza serta menyukarkan penduduk Gaza untuk mendapatkan bekalan makanan.

Namun ini tidak bermakna kita perlu berdiam diri. Disamping tindakan jangka panjang (perang), kita perlu kepada tindakan jangka masa pendek kerana Israel tidak henti-henti membunuh umat Islam dan umat Islam terutama di POalestin semakin hari semakin kesempitan. Kita harus memikirkan jalan alternatif contohnya sebagaimana yang dilakukan baru-bari ini yakni penghantaran bantuan melalui jalan laut meskipun disekat oleh Zionis laknatullah. 

Oleh sebab itu saya menyeru mereka untuk menjadi realistik dan menerima langkah jangka masa pendek yakni usaha yang boleh kita lakukan dalam masa terdekat sementara menunggu tertubuhnya sebuah negara khilafah dan tentera Islam. Salah satu usaha jangka pendek yang boleh kita lakukan ialah gerakan boikot namu ini tidak bermakna usaha ini terhad kepada boikot sahaja, usaha memahamkan umat Islam dengan ajaran Islam dan usaha mendalami ilmu dalam bidang lain juga adalah langkah-langkah yang boleh kita ambil secara serta merta.

Saya menyoal mereka apakah sementara kita menunggu tertubuhnya negara Islam dan tentera Islam kita hanya perlu tunggu melangut dan tidak berbuat apa-apa? Mereka menjawab yang mereka berdakwah. Saya menjawab dengan berdakwah sahaja tidak cukup kerana dalam pada kita berdakwah, Zionis sedang membenamkan peluru-peluru ke kepala orang Islam. Kita perlu melakukan sesuatu untuk menekan Israel.

Senjata itu datang dalam pelbagai bentuk. Jika kita tidak mampu menyerang dengan senjata perang kita serang dengan senjata-senjata yang lain.
Gerakan boikot sangat berkait rapat dengan soal ekonomi. Kita semua sedia maklum bahawa Israeal dan sekutunya menguasai dunia dengan cara menguasai ekonomi dunia. Jadi apa salahnya kita menggunakan jalan yang sama untuk memerangi mereka? Israel mendapat dana untuk menaja gerakan ketenteraan melalui keuntungan daripada produk-produk mereka yang dipasarkan diseluruh dunia disamping dana yang disumbangkan oleh sekutu-sekutunya. Dengan cara memboikot barangan Israel bermakna kita mengurangkan keuntungan mereka sekaligus mengurangkan dana yang dapat mereka gunakan untuk menaja pasukan tentera mereka.

Disamping itu juga, negara-negara Islam juga boleh memboikot Israel dengan memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan degan Israel. Israel bukanlah suatu negara yang kebal dan boleh berdiri dengan sendiri. Mereka juga seperti negara-negara lain yang memerlukan sumber-sumber asli daripada negara luar. Dengan memutuskan hubungan perdangangan bermakna Israel akan keputusan bekalan sumber asli dan menjadi tertekan.

Namun malangnya Hizbut Tahrir dan mereka yang sependapat dengan mereka tidak ingin memahami hakikat ini. Gerakan boikot ini ditolak bulat-bulat kerana boikot tidak disebut dalam Al-Qur'an dan Sunnah. Saya menjawab bahawa sekiranya sesuatu itu tidak disebut dalam Al-Qur'an atau Sunnah tidak bermaksud perkara itu tidak dibenarkan dalam Islam sebaliknya setiap perkara yang tidak ditegah oleh Islam itu adalah Islamik. Kemudian mereka menjawab di dalam Islam tiada istilah islamik yang ada cuma wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Saya tergelak membaca kebodohan mereka dalam memahami ajaran Islam. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan islamik ialah perkara yang bersifat Islam yakni yang diterima Islam. Segala perkara yang tidak dilarang oleh Islam adalah Islamik kerana perkara-perkara itu diterima oleh Islam. Kalaulah setiap perkara itu perlu disebut dalam Al-Qur'an dan Sunnah sebelum perkara tersebut diterima oleh Islam maka penurunan ayat Al-Qur'an itu tiada penghujungnya dan Rasulullah pula tidak akan wafat sehingga keakhir zaman.

Kemudian saya berkata bahawa boikot itu juga boleh dikategorikan sebagai suatu bentuk jihad melawan kejahatan. Mereka membalas dengan mengatakan jihad dalam Islam itu hanyalah satu yakni perang. Saya rasa tidak perlu saya terangkan bahawa jihad dalam Islam itu bukan semata-mata dalam bentuk perang. Anda boleh baca mengenai konsep Jihad dalam pautan yang telah saya berikan di akhir post ini.

Tidak cukup dengan itu, saya dituduh sebagai tidak mempercayai janji Allah yang bahawa suatu hari nanti Islam akan menang kerana saya tidak bersetuju dengan mereka (Anda boleh baca di sini).

Janji Allah sememangnya benar. Yang tidak benar adalah mereka, mereka fikir mereka yang orang-orang yang sependapat dengan mereka sahaja yang memahami Islam dan dengan sebab itu mereka memaksa orang lain setuju dengan mereka. Mereka mengkritik usaha yang dilakukan oleh orang lain dan menggelar usaha orang lain sebagai tidak bertepatan dengan Islam sedangkan mereka tidak sedar yang usaha mereka belum pun ada kejayaan.

Kita mahukan sebuah negara khilafah dan kita mahu Islam mempunyai bala tentera yang kuat yang mampu menghancurkan Israel dan sekutunya tetapi itu tidak bermakna kita berdiam diri menunggu sebaliknya kita perlu mengambil tindakan sekadar mampu untuk menekan Israel dan sekutunya dan bukannya mengutuk usaha orang lain sebagai tidak bertepatan dengan Islam.

Pautan:


7 comments:

MUHAMMAD NAQUIB BIN MOKHDZIR said...

hizbut tahrir nih berasal dari mane ye ?...sgt angkuh nak terima pendapat org..

izzatghazali said...

syed.. aku selalu sokong ko ;p

syfadh said...

utk mengenali hizbut tahrir dgn lebih dekat sila ke www.mykhilafah.com

MUHAMMAD NAQUIB BIN MOKHDZIR said...

o..tq syfadh

ManJa said...

aku setuju boycott!!!
nk perang x mampu, pegang snapang pon x pernah...

dis is d least that we can do...

yg nk bentok khilafah tu. kite serahkan pada yg ahli...pemimpin2 Islam arif akn tindakan mereka...

p/s; syed ko ni mmg power r bab debat2 ni...:)

can ili be akmal? said...

i am your new follower.dpat dari umma united.saya boikot mana yg mampu.apa pun islam pasti menang

Marwan Abdullah said...

Teringat kata seorang Tokoh Aktivis isu Palestin negara, Dr. Hafidzi Mohd Noor yang merupakan pengarah Palestine Centre of Excellence (PACE) dan juga ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif Bhd,
"Kalau tak nak boikot, tak yah lah boikot, kat akhirat nanti pandai-pandailah jawab dengan Tuhan"....