Pages

23 May 2010

Rukun vs Syarat

Seringkali ketika kita belajar ilmu fiqh tidak kira sama ada fiqh ibadah (seperti solat dan puasa), fiqh munakahat (kekeluargaan), fiqh jinayat (jenayah) atau fiqh muamalat (jual-beli), kita akan bertemu dengan dua istilah fiqh yang disebut sebagai syarat dan rukun.

Meskipun begitu saya yakin ramai antara kita yang masih tidak faham apakah yang dikatakan syarat dan rukun itu, apakah persamaan antara keduanya dan apa pula perbezaannya.

Rukun dita’rifkan sebagai “sesuatu yang merupakan sebahagian daripada suatu perkara yang kerana wujudnya maka wujudlah perkara itu manakala sekiranya tidak wujud, maka tidak wujudlah perkara itu”.

Contohnya, perbuatan sujud dalam solat. Jadi sekiranya kita ganti ta’rif di atas dengan memasukkan perkataan sujud dan solat maka ta’rif tersebut akan berbunyi begini: kerana wujudnya sujud maka wujudlah solat manakala sekiranya tidak wujud sujud maka tidak wujudlah solat. Dalam kata lain, solat yang tidak wujud padanya perbuatan sujud maka solat itu bukanlah solat pada hakikatnya kerana tidak menepati rukun solat.

Syarat pula dita’rifkan sebagai "sesuatu yang asing (bukan sebahagian) daripada suatu perkara yang mana sekiranya tidak wujud maka tidak wujudlah sesuatu perkara tetapi sekiranya wujud tidak semestinya mewujudkan suatu perkara”.

Contohnya wudhuk sebagai syarat solat. Jadi sekiranya kita ganti ta’rif di atas dengan memasukkan perkataan wuduk maka ta’rif tersebut akan berbunyi begini: sekiranya tidak wujud wudhuk maka tidak wujudlah solat tetapi sekiranya wujud wudhuk tidak semestinya wujud solat. Dalam kata lain solat yang dikerjakan bukan dalam keadaan berwudhuk maka bukanlah solat pada hakikatnya.

Persamaan antara rukun dan syarat ialah sekiranya kedua-duanya tidak wujud maka tidak wujudlah sesuatu. Ini bermakna kewujudan keduanya mempengaruhi kewujudan sesuatu perkara.

Perbezaan antara rukun dan syarat ialah rukun merupakan sebahagian daripada perkara manakala syarat adalah perkara yang asing dan bukannya sebahagian daripada perkara tersebut. Contoh bagi rukun solat ialah perbuatan ruku', i'tidal dan sujud yang mana kesemuanya adalah sebahagian daripada pergerakan solat. Contoh bagi syarat pula ialah wuduk sebagai syarat solat dan dua orang saksi sebagai syarat nikah. Wuduk bukanlah sebahagian daripada pergerakan solat sebagaimana dua orang saksi bukanlah sebahagian daripada nikah.

Selain itu kita juga selalu diajar tentang syarat wajid dan syarat sah. Syarat wajib ialah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu dibebankan dengan suatu tanggungjawab ibadah. Dalam kata lain, selagi syarat-syarat wajib belum dipenuhi maka seseorang itu tidak diwajibkan untuk melakukan suatu ibadah. Syarat wajib mungkin berbeza bergantung kepada jenis ibadah tetapi terdapat syarat wajib yang biasanya sama untuk semua jenis ibadah yakni Islam, berakal dan baligh.

Syarat sah pula ialah syarat yang mempengaruhi keesahan sesuatu ibadah. Sah dalam kata mudah ialah apabila sesuatu ibadah itu dilakukan memenuhi rukun dan syaratnya yang membolehkannya menjadi suatu ibadah yang diterima oleh Allah. Justeru, untuk menjadika suatu ibadah itu diterima oleh Allah, selain memenuhi segala rukunnya, semua syarat sah perlu juga dipenuhi.

No comments: