Pages

10 May 2010

Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir (Bahagian 2)

Rami orang berkobar-kobar menuntut kerajaan melaksanakan Hudud. Kata mereka, "kami mahu Hudud". Tetapi entah mereka tahu atau tidak Hudud hanyalah salah satu cabang daripada undang-undang jenayah Islam. Mengaplikasikan Hudud semata-mata tidak akan menjadika Malaysia sebuah negara Islam yang sempurna bahkan pincang agamanya kerana hanya mempraktikkan satu cabang sahaja daripada undang-undang jenayah Islam.

Ini jelas menunjukkan ramai dalam kalangan mereka yang menuntut Hudud itu sendiri tidak faham dengan apa yang mereka tuntut bahkan hanyalah melaungkan tuntutan mereka sebagai satu slogan politik semata-mata yakni memperjudikan nama Islam demi meraih undi dan mendapatkan kuasa.

Setelah memahami setiap istilah Hudud, Qisos and Ta'zir dalam Bahagian 1 tajuk yang sama, mari kita melanjutkan pula pemahaman kita dengan sedikit dalam lagi. Hudud, Qisos dan Ta'zir dikategorikan di bawah bab Fiqh Jinayat. Sebabnya, Fiqh berkaitan dengan hukum-hukum perbuatan mukallaf manakala Jinayat pula berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang disyariatkan oleh Allah baginya hukuman sewaktu di atas muka bumi lagi.

Justeru, Hudud, Qisos dan Ta'zir hanyalah berkisar tentang segala kesalahan yang ditetapkan baginya hukuman di atas muka bumi ini manakala bagi kesalahan yang tidak disyariatkan hukuman sewaktu di bumi tetapi hukumannya menanti di akhirat tidaklah tergolong dalam perbincangan ilmu ini.

Qisos

Seterusnya mari kita lihat jenis-jenis jenayah yang termasuk di bawah kategori Qisos. Sebagaimana yang telah kita bincang sebelum ini, Qisos dalam erti kasarnya ialah memberi balasan serupa dengan kesalahan yang telah di buat. Terdapat 3 jenis kesalahan yang dikategorikan sebagai Jenayah Qisos yakni:

1. Membunuh sebagaimana firman Allah:

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ
"Dan telah kami tetapkan ke atas mereka bahawa nyawa itu dibalas dengan nyawa."
[Al-Maidah: 45]

2. Memukul atau mencederakan

وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ
"dan mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka dibalas dengan seimbang."
[Al-Maidah:45]

3. Membunuh janin (diasingkan daripada jenayah membunuh kerana janin tidak dianggap sebagai manusia yang sempurna kerana ia masih berada dalam kandungan ibunya)

Hudud

Bagi jenayah Hudud pula, hukuman dilaksanakan sebagaiman yang telah diperintahkan oleh Allah sesudah si tertuduh disabitkan dengan jenayah Hudud. Jenayah Hudud sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama' adalah 7 jenis kesemuanya:

1. Zina (persetubuhan antara lelaki dan perempuan di luar pernikahan yang sah)

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ
"Penzina perempuan dan penzina lelaki maka sebatlah setiap seorang daripada mereka 100 kali sebatan."
[An-Nur: 2]

2. Qazaf (menuduh perempuan yang baik melakukan zina tanpa mengemukakan 4 orang saksi yang adil)

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً
"dan mereka yang menuduh perempuan tetapi tidak mengemukakan 4 orang saksi maka sebatlah mereka 80 kali sebatan."
[An-Nur: 23]

3. Hirabah (merompak yakni mengambil harta orang lain dengan kekerasan dan paksaan )

إِنَّمَا جَزَاء الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُواْ أَوْ يُصَلَّبُواْ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلافٍ أَوْ يُنفَوْاْ مِنَ الأَرْضِ
"Sesungguhnya balasan bagi mereka yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta membuat kerosakan di muka bumi ialah dengan dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang dan dibuang negeri."
[Al-Maidah: 32]

4. Sariqah (mencuri yakni mengambil harta orang lain tanpa kebenaran secara sembunyi / rahsia)

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا جَزَاء بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللّهِ
"Dan pencuri lelaki dan pencuri wanita itu maka potonglah tangan mereka sebagai balasan kepada perbuatan mereka, hukuman daripada Allah."
[Al-Maidah: 38]

5. Minum arak. Sabda Rasulullah:

من شرب الخمر فاجلدوه
"Barangsiapa yang meminum arak maka sebatlah ia."

6. Murtad (keluar daripada Islam). Sabda Rasulullah:

من بدل دينه فاقتلوه
"Barangsiapa yang menukar agama maka bunuhlah ia."

7. Baghyu (memberontak)

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ
"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah."
[Al-Hujrat: 9]

Ta'zir

Seterusnya bagi jenayah Ta'zir, skopnya luas merangkumi segala jenis jenayah selain daripada jenayah yang dikategorikan di bawah jenayah Qisos dan Hudud. Dalam erti kata lain, Semua kesalahan yang ditetapkan baginya hukuman di atas muka bumi adalah jenayah Ta'zir kecuali jenayah Qisos dan Hudud.

Jenis-jenis jenayah Ta'zir tidak ditetapkan dengan terperinci oleh Syara' tetapi pemerintah diberi kuasa untuk mengkategorikan sesuatu kesalahan itu sebagai jenayah Ta'zir dan mengenakan hukuman yang setimpal bagi jenayah tersebut.

Bersambung...

No comments: