Pages

16 May 2010

Guru Formal dan Guru Tak Formal

Pernahkan anda meluangkan masa untuk berfikir siapakah yang mengajar manusia bernafas, makan, tidur, menangis, merangkak dan berjalan. Siapa pula yang mengajar manusia tentang perasaan gembira, marah, sedih dan cemburu. Barangkali ramai antara kita yang tidak endah dan memikirkan yang semua perkara itu tidak perlu diajar kerana kita belajar dengan sendirinya. Namun persoalannya adalah bagaimana kita boleh tahu sekiranya kita tidak diajar?  Jawapannya mudah tetapi malangnya ramai yang tidak tahu. Yang mengajar kita tentang itu semua ialah Allah sebagaimana yang disebutkan dala Al-Qur'an:

"Bacalah dan tuhanmu yang Maha Mulia. Yang mengajarkan dengan qalam."
[Al-Iqra':]

Ramai yang tidak sedar kerana Allah tidak mengajar menggunakan papan putih mahupun paparan slide show. Allah mengajar manusia melalui naluri manusia itu sendiri dan melalui ilham-ilham yang diberikan kepada manusia. Begitu jugalah yang berlaku kepada sekalian makhluk Allah yang lain. Allah mengajar haiwan untuk terbang, berburu dan mengawan.

Kita terlepas pandang semua itu kerana kita mendefinasikan guru sebagai mereka yang mengajar di sekolah, universiti dan majlis-majlis ilmu yang formal. Justeru kita lupa yang skop guru adalah lebih daripada itu. Guru yang kita kenal sekarang adalah guru formal, satu jenis profesion yakni mereka yang bekerja sebagai guru dan mereka yang diberi gaji untuk mengajar. Walhal ilmu yang kita perolehi bukanlah bersumberkan mereka sahaja bahkan majoriti ilmu yang kita gunakan sehari-hari datangnya daripada guru kita yang tidak formal.

Guru tak formal, guru yang mengajar disebabkan naluri mereka sebagai pengajar. Guru yang mengajar tanpa perlu dibayar. Guru yang mengajar tanpa perlu mereka digelar guru. Guru yang mengajar tanpa meminta balasan terhadap usaha mereka atau layanan istimewa. Mereka ialah ibubapa, adik beradik, rakan-rakan dan mereka yang berada disekeliling kita.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya lebih banyak belajar dan lebih selesa belajar dengan guru yang tidak formal sehingga membawa ke tahap yang kita tidak sedar sebenarnya yang mereka telah memberi ilmu kepada kita. Manakan tidak, dalam kita bergelak ketawa di kedai mamak kita dapat belajar daripada mereka. Ketika kita bersantai, bersukan dipadang atau duduk berehat, kita belajar daripada mereka.

Mereka yang boleh duduk bersama kita sebagai kawan, mereka yang boleh kita bertepuk-tampar, mengejek mengata juga mereka yang terkadang kita bercakap kasar. Perkara yang tidak kita buat bersama guru formal kita tetapi masih mereka setia mengajar kita dan biasanya mereka tidak sedar yang mereka mengajar kita. Bayangkan jika perkara sama anda lakukan bersama guru formal anda pastinya anda akan dianggap sebagai seorang yang kurang ajar.

Malangnya bila tiba Hari Guru hanya guru-guru yang formal diberi penghargaan manakala guru tak formal dilupakan. Maka tulisan kali ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada sekalian guru tidak kira formal atau tidak formal. Selamat Hari Guru semoga Allah memberi ganajaran yang setimpal untuk segala jasa dan pengorbanan kalian.

2 comments:

blitzbug_bahari said...

terima kasih di atas penghargaan yg tidak terhingga!

muhammadthoriq said...

aku penah jg guru bukan formal ko x?
pape pon,terima kasih.haha...;p