Pages

26 April 2010

Politik Masjid

Saya agak terkejut melihat keputusan pilihanraya Hulu Selangor kerana BN hanya menang dengan majoriti 1725 undi sahaja. Saya sangkakan dengan bantuan tidak berbelah bahagi daripada pihak media ditambah lagi dengan pelbagai nikmat yang dijanjikan, BN dapat menang besar tetapi ternyata sangkaan saya meleset. 

Sehari dua sebelum pilihanraya, timbul isu Nik Aziz tidak bersetuju dengan titah Sultan Selangor yang melarang masjid digunakan sebagai tempat ceramah politik. Seperti biasa media mengapi-apikan isu ini menjadi batu api kepada rakyat. Orang-orang yang tidak berapa arif dalam beragama tiba-tiba jadi arif untuk memberi komen tentang perihal ini. Nik Aziz dihebohkan sebagai penderhaka titah Sultan Selangor.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Nik Aziz itu. Beliau mengatakan ajaran mengasingkan politik daripada Islam itu adalah ajaran penjajah yakni ideologi sekular. Apa yang beliau katakan karut itu ialah ideologi sekular tersebut. Media sengaja menggambarkan kenyataan beliau sebagai sesuatu yang negatif tapi jelas ini tidak berjaya kerana jika ya, pasti BN dapat menang dengan majoriti yang besar.

Benar juga tindakan Sultan Selangor melarang aktiviti ceramah politik di dalam masjid demi mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Maklum sahaja orang sekarang tidak kira dari parti Islam mahupun parti bangsa tidak reti berpolitik dengan cara Islam. Mereka berpolitik dengan cara menyemai kebencian terhadap lawan mereka. Mereka berpolitik dengan cara membuat fitnah, membuka aib, memaki hamun dan memburuk-burukkan lawan mereka. Memang sepatutnya perkara seperti ini dilarang bahkan haram dalam Islam.

Meski begitu, kita tidak boleh mengambil kata-kata keduanya sebagai benar seperti Al-Qur'an dan Sunnah. Contohnya mengambil kata-kata Nik Aziz atas kredibilitinya sebagai ulama ataupun mengambil kata-kata Sultan Selangor atas kredibilitinya sebagai ketua agama Islam. Sebaliknya kita mesti mengharmonikan kedua-dua kenyataan selari dengan kehendak Al-Qur'an dan Sunnah.

Justeru, pengharaman politik dalam masjid tidak boleh diambil secara mutlak dan pengharusan berpolitik dalam masjid juga tidak boleh diambil secara mutlak. Rasulullah sendiri berpolitik di dalam masjid sebagaimana yang kita maklum yang masjid ketika zaman Rasulullah menjadi pusat kepada segala aktiviti umat Islam termasuklah politik. Maka berpolitik di dalam masjid mestilah mengikut lunas-lunas agama dan bebas daripada perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

Jika kita melihat daripada sudut ini, barulah kita dapat masyarakat yang harmoni dan politik yang suci. Malangnya ramai orang yang sengaja tidak mahu melihat daripada sudut ini. Mereka suka melihat orang Islam bermusuhan sesama sendiri asalkan kepentingan mereka terpelihara. Sesungguhnya orang-orang politik sebeginilah yang mesti kita jauhi.

No comments: