Pages

01 March 2010

Sembelihan Halal

Semalam saya dan rakan saya mengikuti Kursus Sembelihan Halal. Alhamdulillah dapat juga menyegarkan kembali ilmu yang pernah dipelajari di sekolah dahulu. Kini saya ingin pula berkongsi ilmu tersebut bersama para pembaca kerana apalah gunanya ilmu kalau tidak memberi manfaat. Lebih baik tiada ilmu kerana apabila seseorang itu memiliki ilmu, dia dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengamalkan ilmu tersebut dan menyebarkannya kepada orang lain.

Terlebih dahulu mari kita melihat kepada kepentingan sembelih. Sembelihan dalam Islam bertujuan mematikan haiwan dan menghalalkan dagingnya untuk dimakan. Ini berbeza debgan sembelihan dalam agama lain. Sembelihan mereka juga bertujuan untuk mematikan haiwan tetapi tidak menghalalkan dagingnya. Firman Allah:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala..."
[Al-Maidah: 3]


Sembelihan daripada segi syara' boleh dita'rifkan sebagai melukakan anggota tertentu daripada haiwan yang halal dimakan dengan alat yang tertentu oleh orang yang tertentu. Daripada ta'rif ini kita akan syarahkan satu persatu istilah yang digunakan sehinggalah sampai kepada bentuk sembelihan yang dituntut oleh syara'. 

Jika dilihat dalam ta'rif tersebut, kita dapat membahagikannya kepada 4 perkara utama yang juga merupakan rukun sembelihan:

1. Melukakan anggota tertentu: Ulama membahagikan rukun ini kepada 2 mengikut jenis haiwan yang ingin disembelih. Sekiranya haiwan tersebut mampu ditundukkan oleh tenaga manusia seperti lembu, kerbau, ayam dan unta, maka wajib bagi si penyembelih menyembelih di bahagian leher haiwan dengan memutuskan kedua-dua urat halqum (salur nafas) dan urat mari' (salur pemakanan) cara ini dinamakan Ikhtiyari. Bagi haiwan yang tidak mampu ditundukkan oleh manusia seperti haiwan liar seperti burung, rusa dan kijang maka harus disembelih dengan cara melukakan mana-mana anggota haiwan tersebut yang boleh mematikannya. Cara ini turut digunakan untuk haiwan yang terjatuh di dalam lubang dan tidak dapt disembelih di lehernya maka memadai dengan dilukakan haiwan itu dengan luka yang membawa maut. Cara ini dinamakan Idtirari. 

2. Haiwan yang halal dimakan: Saya percaya yang para pembaca sekalian sedia maklum jenis-jenis haiwan yang halal dimakan. Haiwan yang haram dimakan seperti babi dan haiwan beracun tidak akan berubah menjadi halal walaupun disembelih. Setiap haiwan perlu disembelih kecuali ikan dan belalang. Maka termasuklah dalam kategori ikan di sini, haiwan-haiwan akuatik yang lain seperti sotong, ketam, udang, kerang dan lain-lain haiwan akuatik dikecualikan daripada kewajipan sembelihan.

3. Alat yang tertentu: Apa yang dimaksudkan ialah alat yang tajam tidak kira pisau, pedang, parang, buluh mahupun kaca. Tetapi sembelihan menggunakan gigi, kuku dan tulang adalah tidak halal. Daripada Rafi' bin Khudij, aku bertanya kepada RAsulullah sesungguhnya kami bertemu binatang yang berlati kemarin dan tiada senjata bersama-sama kami, lalu baginda bersabda:

"Apa sahaja yang dapat digunakan untuk mengalirkan darah dan disebut nama Allah makanlah (tetapi) bukan disembelih dengan gigi atau kuku dan aku akan jelaskan perkara tersebut. Adapun gigi itu adalah tulang dan kuku itu adalah senjata orang Habsyi". [Mutafaqqun 'Alayhi]

4. Oleh orang yang tertentu: Tidak halal sembelihan seseorang itu melainkan dia adalah seorang Islam atau setidak-tidaknya Ahli Kitab dan semestinya berakal. Tidak disyaratkan seseorang itu lelaki atau baligh maka harus bagi perempuan dan kanak-kanak mumayyiz untuk menyembelih. Persoalan yang timbul ialah siapakah mereka yang digelar Ahli Kitab? Adakah orang-orang Kristian dan Yahudi pada hari ini masih lagi dianggap Ahli Kitab. Persoalan ini memerlukan perbincangan panjang lebar dan sekiranya ada kesempatan insyaallah akan dibincangkan dalam suatu post khusus berkenaan dengannya. Maka cukuplah sekiranya saya terangkan di sini bahawa Ahli Kitab itu adalah mereka yang beriman kepada Kitab-kitab terdahulu yakni Injil dan Taurat. Firman Allah:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ
"...Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka..."
[Al-Maidah:5]

Seterusnya kita lihat pula syarat-syarat sembelihan sepertimana yang berikut:

1. Niat kerana Allah: Tidak halal binatang yang sembelihan kecuali yang diniatkan kerana Allah. Justeru binatang yang disembelih untuk berhala dan dibunuh dengan tidak sengaja hukumnya haram dimakan. Berkaitan soal menzahirkan sebutan nama Allah, Imam Syafie berpendapat menzahirkan sebutan nama Allah seperti membaca Basmalah hukumnya sunat tetapi jika ditinggalkan sembelihan itu tetap halal dimakan. Bagi sesetengah mazhab lain, menzahirkan sebutan nama Allah adalah wajib yang maka jika ditinggalkan maka haramlah haiwan tersebut untuk dimakan.

2. Putus urat Halqum dan Mari' sekiranya disembelih dengan cara Ikhtiyari.

3. Haiwan tersebut masih dalam hayat Mustaqirrah: Tanda-tandanya ialah darah memancut keluar selepas disembelih dan masih dapat meronta dengan kuat selepas disembelih.

4. Haiwan yang halal dimakan

5. Alatan yang tajam. Daripada Syaddad bin 'Aus katanya, sabda Rasulullah:

"Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik ke atas setiap sesuatu, apabila kamu mebunuh, bunuhlah dengan baik dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik dan hendaklah seseorang di antara kamu menajamkan pisaunya dan berilah kerehatan pada binatang sembelihannya."
[Riwayat Muslim]

6. Sembelihan dengan sekali potong: Yakni melalukan pisau di tempat sembelihan sehingga putus bahagian yang diwajibkan tanpa menanggkat pisau.

7. Penyembelih tidak berada dalam ihram.

8. Penyembelih seorang Islam atau sekurang-kurangnya Ahli Kitab. Kata Ibnu Abbas:

"Sesungguhnya dihalalkan sembelihan Yahudi dan Nasrani dipihak mana mereka beriman dengan Taurat dan Injil."

Nah, begitulah sahaja rukun-rukun dan syarat-syarat sah sembelihan. Apabila semua rukun-rukun dan syarat-syarat itu dipatuhi maka sahlah sembelihan dan halallah daging haiwan tersebut untuk dimakan. Akhir kata, selamat mencuba!

4 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum.klu waktu menyembelih..penyembelih tu rasa kasihan kat haiwan sembelihan ape hukumnye??

syfadh said...

Salam,

Sepanjang pengetahuan saya Islam menyuruh kita supaya mempunyai perasaan belas kasihan kepada haiwan sembelih. Sabda Rsulullah:

"Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan."

Maka dengan sebab itu Islam meggariskan beberapa panduan ketika menyembelih haiwan antaranya:

1) Memberi minuman kepada haiwan sebelum disembelih

2) menajamkan pisau supaya haiwan tersebut tidak mati dengan siksa.

3) menjalankan sembelihan dengan segera yakni sekali harung bukannya menoreh leher haiwan tersebut dengan lambat

4) tidak menyembelih haiwan di depan haiwan lain supaya tidak membangkitkan perasaan takut kepada haiwan yang melihat sembelihan itu.

semoga jawapan ini boleh memberi jawapan kepada persoalan anda.

mky.com said...

salam, apa yang dimaksudkan syarat sah sembelihan iaitu binatang mati dengan sekali sembelihan?

syfadh said...

salam, maksudnya mati dengan sekali sembelihan ialah sewaktu kita memotong leher haiwan tersebut kita tidak mengangkat pisau selagimana belum putus urat halqum dan mari'.

tetapi sekiranya kita mengangkat pisau sebelum kedua urat itu putus dan kemudian menyambungnya kembali, ini bermakna syarat 'mati dengan sekali sembelihan' itu tidak dipenuhi.