Pages

06 March 2010

Kes Kartika, Hukum Allah Bukan Permainan

Pada 4/3/10, akhbar Utusan Melayu melaporkan berita bertajuk Kartika disebat atau diampun? Laporan tersebut menyebut Kartika yang telah disabitkan dengan kesalahan minum arak boleh terlepas daripada hukuman sebat yang ditetapkan ke atasnya sekiranya dia menerima pengampunan daripada Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam di Negeri Pahang di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002.

Saya jadi bingung, selama saya belajar tentang undang-undang jenayah dalam Islam, saya belum pernah diajar yang kesalahan hudud itu boleh diampunkan. Jenayah Hudud adalah jenayah yang dikategorikan oleh Fuqaha' sebagai pencabulan terhadap hak Allah yang mana tidak harus bagi hakim atau pemerintah untuk menjatuhkan hukuman selain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

Apabila sabit kesalahan, seorang hakim atau pemertintah bukan sahaja tidak mempunyai hak untuk memberi pengampunan malah dia tidak berhak menjatuhkan hukuman melainkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah bagi jenayah tersebut kerana kesalahan tersebut adalah pencabulan terhadap hak Allah. Sekiranya hakim atau pemerintah memberi pengampunan maka pengampunan tersebut dianggap sebagai sia-sia dan tiada kesan apa sekalipun di sisi syara' dan hukuman yang ditetapkan mestilah dilaksanakan.

Sekiranya hukuman tidak dilaksanakan dengan sebab pengampunan yang diberikan oleh hakim atau pemerintah, maka hakim atau pemerinntah tersebut bolehlah dianggap sebagai seorang yang zalim kerana telah menderhakai perintah Allah.

Barangkali ada orang yang akan berkata di Malaysia kita tidak melaksanakan hukum hudud tetapi ta'zir maka dengan sebab itu pengampunan daripada pemerintah adalah harus.

Kesalahan minum arak itu adalah kesalahan hudud yang dita'zirkan oleh pemerintah di Malaysia. Ini adalah penderhakaan terhadap hukum Allah. Ketetapan Allah itu tidak sekali-kali akan berubah kerana arahan daripada pemerintah. Maka kesalahan Hudud tidak sekali-kali akan berubah menjadi kesalahan Ta'zir meskipun pemerintah tidak menjalankan hukum asalnya dan menggantikannya dengan hukum ta'zir. Firman Allah:

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا
"Maka tiadalah pilihan bagi seorang Mu'min lelaki atau wanita apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatumelainkan untutk taat dengan perintah tersebut) barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." 
[Al-Ahzab: 36]

Dan firman Allah lagi:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka merekalah orang-orang yang kafir"
[Al-Maidah: 44]

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka merekalah orang-orang yang zalim."
[Al-Maidah: 45] 

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka merekalah orang-orang yang fasik (berlebihan melakukan dosa)"
[Al-Maidah: 47]

Soalan saya, adakah kita ingin menambah lagi penderhakaan tersebut dengan memberikan pengampunan kepada kesalahan yang ditetapkan oleh Allah sebagai tidak boleh diampunkan oleh pemerintah? Adakah kita ingin menggandakan penderhakaan kita terhadap Allah atau kita dengan sedaya-upaya mengelakkan penderhakaan terhadap Allah?

Saya percaya anda ada jawapannya.

2 comments:

ila said...

sy stju...hukum allah mne blh nk men tkr2 cam2 je......slma sy bljr pon...hkm allah xley nk tkr ganti....

Anonymous said...

Yes, really. So happens.