Pages

24 February 2010

Sekolah Agama

*Sekolah agama yang dimaksudkan dalam tulisan ini termasuk sekolah menengah agama, sekolah tahfiz dan sekolah pondok berserta jenis-jenis sekolah agama yang lain.

Sudah menjadi suatu kegemaran pada masa kini untuk para ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sekolah agama dengan harapan yang tinggi menggunung supaya anak mereka menjadi mahir dalam selok-belok agama ataupun paling tidak, tahu tentang perkara-perkara asas dalam agama.

Kebanyakan ibu bapa sedar yang mereka tidak mampu memberi pengetahuan agama yang cukup kepada mereka sama ada dengan kesibukan mereka mahupun kerana sebab kekurangan ilmu pengetahuan mereka sendiri dalam bab-bab agama. Saya melihat ini sebagai suatu perkara yang positif kerana adanya kesedaran dan tindakan yang diambil oleh ibu bapa.

Pun begitu saya merasa terpanggil untuk memperbetul persepsi masyarakat yang mengatakan sekolah agama mampu menjadikan seseorang itu beragama. Bagi saya sebagai salah-seorang lepasan sekolah agama yang juga bergaul dengan ramai lepasan sekolah agama yang lain, saya merasa amat perlu bagi masyarakat mengetahui bahawa tanggapan mereka berkenaan sekolah agama tidaklah begitu tepat.

Ya benar, sekolah agama memang berfungsi sebagai suatu medan khusus bagi pengajaran agama namun kita harus sedar berjaya atau tidak pengajaran itu bergantung kepada si penerimanya. Sekiranya pelajar tidak mengambil pengajaran agama itu sebagai suatu yang utama lagi penting bagi mereka maka tiada bezanya antara mereka dengan pelajar sekolah biasa. Biasanya apabila masyarakat mengetahui bahawa seseorang itu adalah lepasan sekolah agama. Orang itu akan dipandang tinggi dan menjadi sumber rujukan sekiranya ada kemusykilan dalam soal-soal agama khususnya oleh rakan handai mereka. Persoalannya adakah perkara yang diharapkan ini berlaku?

Produk-produk sekolah agama melambak di Malaysia tetapi adakah mereka berkeadaan sebagaimana yang diharapkan daripada seorang pelajar sekolah agama? Ramai lepasan sekolah agama yang masih tidak mahir tentang asas-asas agama sedangkan sebagai seorang pelajar sekolah agama, mereka sepatutnya memiliki pengatahuan agama yang lebih daripada sekadar perkara-perkara asas. Mereka belajar tentang Aqidah dan Fiqh tetapi malangnya apabila mereka tamat sekolah seolah-olah tidak ada apa yang mereka pelajari. Apabila mereka ditanya tentang agama, mereka tidak mampu menjawabnya sedangkan perkara yang ditanyakan itu adalah perkara pokok kepada agama.

Mereka belajar Al-Qur'an dan ilmu Mustalahul Hadith tetapi apabila tamat sekolah tidak tahu beza Al-Quran, hadith Qudsi dan Hadith Nabawi. Mereka tidak tahu pengertian ayat mutashabihat dan muhkamat, hadith mutawatir dan hadith ahad.

Mereka belajar Bahasa Arab dan Nahu (tatabahasa) Arab tetapi bila tamat persekolahan, mereka lupa semuanya. Ketika membaca Al-Qur'an, sepatah perkataan pun tidak faham walaupun ayat tersebut menggunakan pebendaharaan kata yang ringkas dan mudah. Bila ditanya soalan Nahu Arab dalam Al-Qur'an, mereka tidak mampu menjelaskannya dan tidak tahu sebabnya.

Para hafiz (penghafal Al-Qur'an) pula sekadar menggunakan ayat Al-Qur'an yang dihafal oleh mereka untuk meraih keuntungan. Contohnya memasuki pertandingan, menjadi Imam di bulan Ramadhan dan menduduki ujian setiap tahun. Memang semua itu tiada salahnya dan tiada dosanya, tetapi menjadi jelik apabila nilai Al-Qur'an itu semata-mata materialistik sedangkan apabila dilihat kepada orangnya, tidak pula berkelakuan selayaknya bagi seorang penghafal Al-Qur'an tetapi sekadar mengeksploitasi Al-Qur'an untuk mendapat duit sahaja.

Mungkin para pembaca merasakan saya meletakkan tanggapan yang tinggi kepada pelajar sekolah agama tetapi saya rasa yang tersebut adalah yang paling minimum kerana saya tahu sekadar mana ilmu pengetahuan yang telah diajarkan kepada mereka tetapi telah dipersiakan oleh mereka.

1 comment:

Fazrul Che mat said...

First comment... XD

Assalamualaikum.......

Nice words here my friend. I also came from a religious school. Your friend, Hasziq Hasry knows me. We once entering the same secondary school.

All the things you're saying is kinda true. After leaving school, some of us seems forgot about the teachings that we learn back before. But still, people tend to look high at us.

Culture shock is the most probably the main reason why religion-based student like us tend to forgot what we've learn before.

And lastly, send my regards to my friends there. I hope you can deliver and share more fikrah and ideas here. You got my support, man....