Pages

09 February 2010

Pengenalan kepada Ilmu Kalam (Bahagian 3)

Dalam post yang lalu, saya telah menerangkan serba sedikit latar belakang setiap kelompok daripada kelompok-kelompok Ilmu Kalam. Tulisan kali ini bertujuan menerangkan fahaman dan pegangan yang dibawa oleh setiap kumpulan yang telah di sebut sebelum ini.

Antara perselisihan yang ketara antara kelompok-kelompok Ilmu Kalam ini adalah berkenaan soal Qada’ dan Qadar, soal kedudukan Muslim yang melakukan dosa besar dan juga kedudukan Al-Qur’an.

Ahli Sunnah wal Jamaah: Dalam soal Qada’ dan Qadar, kelompok ini berpegang kepada fahaman bahawa setiap yang berlaku itu di atas kehendak dan kemahuan Allah berdasarkan ikhtiar dan usaha yang dilakukan oleh manusia. Dalam soal kedudukan Al-Qur’an, mereka berpendapat Al-‘Quran itu adalah Kalamullah yang bersifat Qadim (bukan baharu) dan bukannya makhluk sebagaimana yang dipegang oleh sesetengah kumpulan yang lain. Mereka juga berpendapat bahawa seorang muslim yang melakukan dosa besar, mereka masih lagi dianggap muslim tetapi akan di azab terlebih dahulu sebelum di masukkan ke dalam syurga.

Mu’tazilah: Setiap sesuatu yang berlaku adalah atas daya dan usaha manusia sendiri dan tiada hubung kait dengan Allah. Penentu kepada baik dan buruknya sesuatu amal itu adalah akal. Al-Qur’an itu bersifat baharu yakni mahluk. Allah tidak mempunyai sifat tetapi hanya memiliki zat. Dan muslim yang melakukan dosa besar dianggap bukan muslim dan juga bukan kafir, tetapi diletakkan diantara dua tempat yakni syurga dan neraka. Ketika zaman Abbasiyyah, Khalifah dikuasai oleh fahaman Mu’tazilah. Imam Ahmad Ibn Hanbal yang tidak bersetuju dengan fahaman yang mengatakan Al-Qur’an itu bersifat baharu telah ditangkap, dipenjarakan dan disiksa oleh khalifah.

Qadariyyah: Pandangan mereka berkaitan ilmu kalam adalah sama sebagaimana kelompok Mu’tazilah melihatnya. Mereka juga berpendapat bahawa Allah tidak berkuasa menentukan nasib manusia.

Jabariyyah: Setiap yang berlaku itu adalah atas dasar paksaan. Manusia tiada kuasa dalam menentukan suatu amal kerana setiap yang berlaku semata-mata atas kehendak Allah. Allah-Qur’an bersifat baharu yakni makhluk. Allah tidak mempunyai sifat dan hanyalah zat semata-mata. Syurga dan neraka bukanlah destinasi yang kekal.

Murjiah: Iman adalah mengenal Allah dan Rasul-Nya semata-mata dan ini sudah cukup untuk menjadi muslim. Segala kesalahan makhluk mesti ditangguhkan hukumannya sehingga hari Kiamat dan tiada hukuman yang bersifat duniawi meskipun Al-Qur’an telah menetapkan hukuman bagi sesetengah perbuatan.

Nah yang tiggal sekarang adalah persoalan yang mana satukah antara kelompok yang telah dibincangkan di atas berjalan atas dasar kebenaran. Dalam menentukan kebenaran dan kebatilan sesuatu kita perlu memahami bahawa kebenaran yang hakiki itu hanyalah ada pada Allah dan kita manusia tidak berdaya untuk mengetahui secara tepat apakah sebenar-benarnya kehendak Allah. Namun apa yang mampu kita lakukan ialah membuat penilaian yang seadil mungkin berdasarkan setiap perkara yang telah dibentangkan dihadapan kita. Justeru, Allah mengurniakan manusia dengan akal, supaya manusia dapat membuat penilaian dan perbezaan.

Apakah kita meletakkan kebenaran pada kelompok yang menyifatkan Allah dengan sifat yang tidak selayaknya bagi-Nya yakni sifat-sifat yang lemah lagi tidak sempurna? Apakah kita meletakkan kebenaran pada kelompok yang mengkafirkan para sahabat Rasulullah yang telah dijamin oleh baginda sebagai ahli-ahli syurga? Apakah kebenaran itu berada pada mereka yang menganggap Islam itu semata-mata mengenal Allah tanpa perlu mengamalkan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya? Adakah kebenaran itu pada yang berlebih-lebihan atau yang mengambil ringan agama dalam pada petunjuk daripada agama itu jelas bahawa mereka yang benar adalah mereka yang bersederhana.

Kebenaran itu adalah sangat berat lagi sukar dan menyeksakan bagi orang yang tidak mahu menerimanya.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum.

Despite your clarification, I still believe that the changing of your blog's name would be 'more helpful, secure and proper'.

Do not mix falsehood (batil) with truth (haq).

Are you sure with certainty (yakin) that 'Tukang Karut' NEVER talk crap?

May ALLAH blesses your good efforts. Amiiin.

p.s. I think is good, perhaps, for us to study the 'Origin of Wayang Kulit.'