Pages

26 February 2010

Sambutan Maulidurrasul

Setiap tahun ketika Maulidurrasul tiba, umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan dalam pelbagai cara yang tersendiri. Ada yang membuat kenduri, ada yang menganjurkan forum dan ceramah tidak kurang juga majlis-majlis selawat di masjid dan surau.

Antara banyak-banyak sambutan yang dilakukan, acara popular dalam kalangan masyarakat kita adalah perarakan Maulidurrasul yakni segerombolan manusia berarak bersama pelbagai sepanduk sambil berselawat dan sebagainya. Malangnya, saya setakat ini masih tidak berdaya memikirkan rasional atau kaitan Maulidurrasul dengan perarakan. Apakah mesej yang cuba disampaikan melalui perarakan tersebut dan apa pula faedahnya kepada para peserta perarakan itu.  

Kalau kenduri kita dapat makan, kalau forum dan ceramah pula kita dapat ilmu. Bagaimana pula dengan berarak? Saya pernah juga terlibat dalam perarakan Maulidurrasul ketika di bangku sekolah dahulu. Maklum sahaja pihak sekolah menjadikannya acara tahunan yang wajib dilaksanakan setiap tahun meski faedahnya entah apa. Saya tidak tahu kalau-kalau anda dapat memikirkan faedahnya. Mungkin anda boleh memaklumkan kepada saya sekiranya ada.

Kita tinggalkan soal itu dan pergi pula kepada gaya baru masa kini, sambutan Maulidurrasul dengan konsert. Wah, sangat mengagumkan, perkara yang dianggap oleh rata-rata ulama' sebagai melalaikan (musik) boleh dijadikan salah-satu kaedah untuk memperingati Rasul. Ya, tidak kiralah konsert Amal, konsert nasyid dan pelbagai jenis konsert lagi.

Saya secara peribadi tidak pernah percaya dan sukar untuk percaya lagu-laguan atau secara khususnya nasyid boleh menjadi kaedah yang berkesan dalam mengingatkan manusia kepada Allah dan Rasul-Nya. Justeru, selain daripada nasyid kumpulan Raihan, saya sangat tidak suka mendengar nasyid.

Bukannya apa, lihat sahaja lagu nasyid sekarang, bukan main berbunga-bunga ayatnya, bukan main dahsyat musiknya tetapi baguskah kesannya? Berapa ramai orang yang mendengar nasyid kerana mesejnya dan berapa ramai pula mendengar nasyid hanya kerana nasyid sedap didengar musiknya? Ditambah pula dengan kepelbagaian genre musik nasyid masa kini. Orang buat rap dia pun nak rap sama. Orang nyanyi rock dia pun ikut rock sama.

Itu belum tengok lagi kepada si penyanyi nasyid. Bila ditanya jawabnya konon nak berdakwah. Tetapi  di kemudian hari apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dulu nyanyi nasyid sekarang nyanyi lagu rock. Dulu nyanyi nasyid sekarang nyanyi lagu cinta. Dulu kumpulan nasyid kemudian masuk program realiti tv jadi penyanyi lagu cinta. Tak dapat menang program realiti nyanyi masuk pula program realiti lakonan. 

Kemudian lihat pula liriknya. Adakah boleh difahami atau sekadar puisi-puisi indah yang entah apa maksudnya. Salah satu yang boleh saya beri contoh adalah seperti berikut:

"Kerana peribadinya aku terpesona,
kerna budinya aku jatuh cinta,
 rinduku padanya tiada terkata,
nantikanlah daku di taman syurga..."

Sungguh biadap sekali liriknya, sekali dengar memang indah tetapi difikirkan kembali adakah layak kita mengatakan kepada Rasulullah "nantikanlah aku di taman syurga". Siapa kita dan siapa Rasulullah? Belum tentu masuk syurga ada hati mengarahkan Rasulullah menunggu kita di syurga.

Kumpulan nasyid makin banyak tetapi umat Islam makin rosak. Mungkin ada yang akan memberi alasan bahawa kumpulan yang rosak itu tidak dengar nasyid. Benarkah pelajar-pelajar sekolah agama yang setiap hari didendangkan dengan lagu nasyid tidak rosak.

Walaubagaimanapun itu sekadar pandangan peribadi saya. Saya tidak melarang anda mendengar nasyid, saya tidak mengatakan nasyid itu dosa. Saya sekadar tidak suka kepada nasyid khususnya nasyid-nasyid kontemporari yang musiknya begitu berat sekali dengan instrumen-instrumen musik yang tiada bezanya dengan lagu-lagu biasa kerana saya tidak dapat melihat faedahnya kecuali amatlah sedikit. Jika anda masih percaya dan yakin  kepada nasyid sebagai salah satu kaedah dakwah, jika anda percaya nasyi memberi faedah yang banyak kepada anda, maka dengan segala hormat saya mempersilakannya.

1 comment:

Ayin Yusof said...

perarakan sempena sambutan maulidur rasul menggambarkan bagaimana penghijrahan nabi ke kota madinah. perarakan umpama penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w.