Pages

06 January 2010

Bid’ah, Antara Pemelihara Keaslian Agama dan Penyekat Kemajuan Tamadun Manusia (Bahagian 2)

Sesetangah ulama’ membahagikan bid’ah kepada dua bahagian, bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah sayyiah (buruk). Walaubagaimanapun, tanpa sebarang niat untuk merendahkan tahap keilmuan para ulama’ tersebut, saya tidak dapat bersetuju dengan pembahagian yang telah mereka buat. Sebabnya, pembahagian yang tersebut bertentangan dengan hadith Rasulullah yang menyebut setiap bid’ah itu dalah sesat meskipun manusia melihatnya sebagai baik. Kedua, pembahagian tersebut membuka ruang kepada manusia untuk menyelitkan perkara yang akan mencemar keaslian agama atas nama keharusan bid’ah hasanah.

Saya memahami betapa ulama’-ulama’ tersebut cuba menghapuskan tanggapan umat Islam terhadap kekeliruan mereka dalam bab bid’ah yang mana telah menjadi duri dalam daging yang menyekat perkembangan tamadun Islam. Lantas mereka cuba menanamkan bahawa bukan semua perkara baru itu haram sehingga umat Islam tidak dapat bergerak maju kehadapan dan hanya perlu menjalani hidup sebagai mana Rasulullah menjalani hidup baginda yakni dengan kekurangan teknologi.

Orang-orang yang singkat pemikirannya memahami dan hanya ingin memahami konsep bid’ah ini daripada permukaannya sahaja tanpa ingin menyelami hikmah dan kepentingannya terhadap agama. Lantas mereka menghukum segala senis pembaharuan sebagai haram dan apa yang harus dan mesti bagi setiap muslim itu adalah menjalani kehidupan sebagaimana yang dijalani oleh Rasulullah. Maka mereka yang singkat pemikiran ini menghukum pembangunan dan teknologi sebagai haram. Maka kereta itu haram, telefon haram, komputer haram, televisyen haram, radio haram dan segala macam benda yang tidak wujud di zaman Rasulullah tetapi wujud pada zaman ini hukumnya haram. Maka jadilah umat Islam umat yang terkebelakang, umat yang kuno, umat yang jumud dek kerana kegagalan dan ketidakinginan mereka memahami konsep bid’ah dengan sesungguhnya.

Dalam pada saya tidak bersetuju dengan pembahagian bid’ah sebagaimana yang disebutkan di atas, saya lebih suka untuk mengambil pendekatan yang berbeza yakni dengan melihat Bid’ah sebagai perkara yang sesat dan tidak ada baiknya meski manusia melihatnya sebagai baik. Meskipun begitu, bid’ah dalam pandangan saya mesti disesuaikan dengan makna yang telah saya jelaskan di atas yakni melibatkan hal-hal ibadah sesuai sebagaimana yang ingin disampaikan oleh Rasulullah manakala hal-hal pembangunan dan teknologi tidak boleh dan tidak seharusnya dimasukkan dalam makna bid’ah kerana hal-hal ini tidak termasuk dalam makna yang ingin disampaikan oleh Rasulullah.

Saya tidak bermaksud yang saya lebih faham dan arif tentang maksud yang ingin disampaikan oleh Rasulullah berbanding sesetengah ulama’ tetapi ini sekadar perbezaan pendekatan yang diambil oleh saya dan para ulama’ tersebut dan saya percaya ini bukanlah suatu perkara besar yang perlu diperdebatkan dan bukanlah suatu penghinaan terhadap keilmuan mereka.

Kesimpulannya, kedua-dua kaedah yang telah saya sebutkan mesti diseimbangkan dan digunakan dalam situasi yang betul. Dalam soal ibadah, hadith Rasulullah yang telah saya sebutkan mesti dijadikan panduan berserta dengan kaedah: hukum asal bagi sesuatu ibadah itu adalah haram melainkan datang dalil yang mensyariatkannya. Dalam soal selain daripada ibadah, firman Allah yang disebutkan tadi beserta kaedah: “hukum asal kepada sesuatu perkara adalah harus melainkan datang dalil yang menunjukkan pengharamannya” mesti digunapakai.

Dengan memahami prinsip ini, kita dapat melihat betapa Islam tidak pernah melarang kemajuan tamadun manusia bahkan Islam menggalakkan umatnya supaya maju kehadapan dan meneroka ilmu pengetahuan. Walaubagaimanapun, dalam kesibukan kita mengejar kemajuan dalam masa yang sama kita harus memelihara keaslian agama dan kesuciannya memandangkan agama itu bersumberkan Allah dan tidak boleh dicemarkan dengan unsur-unsur kemanusiaan. Firman Allah:

اليوم أكملت لكم دينكم وأتممـت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا

“Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku lengkapkan bagi kamu nikmat-Ku dan Aku redha bagi kamu, Islam sebagai agama (bagi kamu)…”
[Surah Al-Maidah: 3]

No comments: