Pages

01 January 2010

Bid’ah, antara Pemelihara Keaslian Agama dan Penyekat Kemajuan Tamadun Manusia (Bahagian 1)

Sabda Rasulullah:
كل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار

“Setiap bid’ah itu adalah sesat dan setiap yang sesat itu tempatnya di neraka.”
[Riwayat An-Nasai]

من أحدث في ديننا ما ليس منه فهو رد

“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami (Islam), yang mana bukan sebahagian daripadanya maka perkara tersebut adalah tertolak.”

Dalam riwayat lain,

من عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد

“Barangsiapa yang beramal dengan suatu amalan yang mana tiada perintah kami ke atasnya maka amalan tersebut adalah tertolak.”

من سن سنة حسنة فله أجرها واجر من عمل بها إلى يرم القيامة من سن سنة سيئة فله أجرها واجر من عمل بها إلى يوم القيامة

“Barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah yang baik maka baginya pahala dan pahala orang-orang yang beramal dengannya sehingga ke hari kiamat, dan barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah yang buruk maka baginya dosa dan dosa mereka yang beramal dengannya sehingga ke hari kiamat.”

من كذب عليا متعمدا فلينبوء مقعده من النار

“Barangsiapa yang menipu atas namaku dengan sengaja maka tempahlah tempat duduknya di neraka.”
[Mutafaqqun 'alaihi]

Daripada Abdullah ibn Umar: “Setiap bid’ah itu adalah sesat meskipun orang melihatnya sebagai baik.”

Bid’ah, suatu perkara yang menghantui umat Islam dari dahulu hingga kini. Suatu perkara yang telah dianggap sebagai penyekat kepada kemajuan tamadun umat Islam. Suatu perkara yang telah menjadikan Islam suatu agama yang jumud dan tidak berkembang. Suatu perkara yang telah memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Begitulah dahsyatnya penangan perkara yang dinamakan bid’ah ini. Sungguhpun begitu, saya melihat hal-hal di atas sebagai kesan kegagalan umat Islam dalam memahami konsep Bid’ah sebagai suatu instrumen yang memelihara keaslian agama dan menyekat sebarang bentuk ancaman yang menggugat keasliannya. Justeru, saya akan berusaha sedaya upaya untuk merungkai kekeliruan ini menerusi tulisan saya kali ini. Sebelum itu saya berharap, dalam usaha para pembaca untuk menghayati tulisan ini, anda dapatlah kiranya mengulang baca tulisan ini beberapa kali demi mendapat maksud sebenar yang ingin saya sampaikan kerana tulisan ini panjang dan sedikit rumit. Dalam pada itu, saya akan berusaha sedaya upaya, menggunakan bahasa yang ringkas untuk memudahkan lagi pemahaman para pembaca.

Bid’ah ialah perkara baru yang mana tidak pernah disunnahkan oleh Rasulullah semasa hayat baginda atau dalam kata lain perkara yang baru yang tiada dalil pensyariatannya. Imam Asy-Syathibi  mendefinisikan bid’ah sebagai cara baru dalam agama yang dibuat menyerupai syari’at dengan maksud untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah

Dalam memahami fungsi Bid’ah sebagai pemelihara agama dan bila disalah ertikan menjadi penyekat kepada ketamadunan manusia, tidak dapat tidak kita mesti melihat kepada firman Allah dalam Surah Al-Baqarah yang berbunyi:

هو الذي جعل لكم ما في الأرض جميعا

“dan Dialah (Allah) yang menjadikan bagi kamu segala sesuatu yang ada di atas muka bumi…”

Dalam ayat lain Allah berfirman:

ليس عليكم جناح أن تبتغوا فضلا من ربكم

“Tidaklah menjadi dosa ke atas kamu sekiranya kamu menggunakan kemudahan yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu.”

Daripada ayat di atas, para fuqaha telah mengeluarkan suatu kaedah fiqh yang sangat terkenal dan meluas penggunaanya yakni:

“Hukum asal kepada sesuatu perkara itu adalah harus, selagimana tiada dalil yang mengisyaratkan pengharamannya”.

Jika dilihat secara kasar, firman Allah beserta kaedah fiqh tadi bertentangan dengan hadith Rasulullah yang telah saya sertakan di permulaan tulisan ini. Firman Allah dan kaedah fiqh tersebut menyatakan segala perkara itu hukumnya harus termasuklah perkara-perkara baru yang tiada dalil pensyariatannya sedangkan hadith-hadith di atas pula menyatakan segala bid'ah adalah sesat. Oleh itu, dalam merungkaikan kekusutan ini, kita harus memahami skop penggunaan kaedah fiqh yang tersebut. Kaedah fiqh tersebut dapat digambarkan melalui contoh yang berikut:

Hukum asal meminum arak adalah harus tetapi dengan sebab turunnya ayat pengharaman arak maka jadilah hukum arak itu haram. Hikmah disebalik kaedah ini adalah untuk menunjukkan betapa perkara yang haram itu adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan perkara yang harus. Maka dengan sebab itu dalil yang datang mengisyaratkan pengharaman sesuatu perkara kerana jika perkara yang sebaliknya berlaku, maka mustahillah Al-Qur’an itu hanya setebal 600++ muka surat dan akan jadilah Al-Qur’an itu berpuluh-puluh ribu muka surat agaknya.

Dalam situasi lain yang menggambarkan hikmah di atas, Rasulullah dalam suatu peristiwa, ketika baginda ditanya oleh sahabat berkenaan perkara-perkara yang halal dilakukan ketika dalam ihram maka Rasulullah menjawab, “perkara yang diharamkan ialah …”. Adakah Rasulullah tidak faham bahasa kerana lain yang ditanya lain yang dijawab oleh baginda? Sahabat bertanya tentang perkara yang dihalalkan tetapi baginda menjawab perkara yang diharamkan. Jawapannya pasti tidak. Sebaliknya ini menunjukkan betapa Rasulullah itu seorang yang sangat bijaksana. Memandangkan perkara yang haram itu sedikit berbanding perkara yang halal maka sebab itulah Rasulullah menerangkan perkara yang haram. Jika Rasulullah menerangkan perkara yang halal, maka pastinya penerangan baginda akan menjadi panjang lebar dan tidak berkesudahan.

Berbalik kepada tajuk asal, seorang yang teliti pengamatannya pasti dapat mengesan keganjilan pada kaedah tersebut. Kaedah fiqh tersebut berbunyi, “Hukum asal kepada sesuatu itu adalah harus selagimana tiada dalil yang mengisyaratkan pengharamannya”. Kaedah ini hanya menyebut tentang pengharaman suatu perkara. Bagaimana pula denagn perkara-perkara wajib? Apakah kaedahnya? Mengapa kaedah tersebut tidak berbunyi sebegini: Hukum asal kepada sesuatu itu adalah harus selagimana tiada dalil yang mengisyaratkan kepada pengwajibannya atau pengharamannya”.

Jawapannya tersembunyi dalam hadith yang telah disebutkan tadi dan yang telah dilihat sebagai bertentangan dengan firman Allah yang di atas oleh mereka yang tidak memahaminya. Kaedah fiqh yang di atas tidak terpakai dalam perkara-perkara ibadah. Dalam perkara-perkara ibadah, hadith yang telah saya sebutkan tadi mesti digunapakai. Maka suatu lagi kaedah yang lahir daripadanya, khusus untuk digunakan untuk hal-hal ibadah ialah;

“Hukum asal kepada suatu ibadah itu adalah haram selagimana tiada dalil yang mengisyaratkan pengsyariatannya.”

Kaedah ini pula dapat digambarkan melalui contoh berikut: Hukum asal kepada solat itu adalah haram tetapi dengan sebab turunya dalil yang mengisyaratkan pensyariatannya, maka jadilah hukum solat itu samaada wajib atau mandub (sunat)”. Hikmah wujudnya kaedah ini adalah untuk menunjukkan betapa seorang muslim itu tidak boleh beribadah melainkan dengan cara yang telah diisyaratkan melalui nas-nas agama samaada melaui Al-Qur’an ataupun Sunnah.

Inilah kepentingan konsep bid’ah sebagai suatu instrumen yang memelihara keaslian agama. Inilah fungsi konsep bid’ah sebagai penghalang kerosakan kepada agama. Maka jika datang seorang manusia yang cuba membuat inovasi (ubahsuai) atau penambahan kepada agama dengan lagak seorang alim-ulama’ mengajarkan kaedah baru untuk beribadah sedangkan kaedah itu tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah, jelaslah bahawa orang tersebut adalah sesat lagi menyesatkan dan ajarannya haram untuk diamalkan. Justeru membakar colok dengan niat menyembah Allah hukumnya haram, membaca mantera meskipun dengan niat ibadah hukumnya haram dan lain-lain kaedah selain daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah, meskipun diniatkan dengan niat ibadah, hukumnya tetap haram dan pengajar serta pengamalnya adalah sesat lagi menyesatkan.

Bersambung di bahagian 2...

No comments: