Pages

31 December 2010

Ada Apa dengan Tahun Baru

Post ini ditulis sempena tahun baru, perayaan yang ditunggu dan diagung-agungkan oleh segenap manusia tanpa mengira agama. Bahkan menjadikan orang yang beragama seolah-olah tidak beragama.

Persoalan yang saya utarakan melalui tajuk post ini ialah ada apa dengan tahun baru yang menjadikannya ditunggu-tunggu dan dibesar-besarkan oleh orang ramai.

Jawapannya mudah. Apa yang ada adalah kemungkaran dan dosa. Kerana di dalam dosa dan kemungkaran itulah terdapat keseronokan yang tidak terhingga. Manakan tidak, hiburan berlebihan, minum arak, berzina dan pergaulan bebas semuanya menyeronokkan dan semua ini wujud dan berleluasa di malam tahun baru ini.

19 December 2010

Bukan Muslim sebagai Peguam Syar'ie


Tidak lama dahulu timbul isu berkenaan dengan seorang peguam bukan Islam memohon semakan kehakiman di mahkamah selepas permohonannya untuk berkhidmat sebagai peguam syar'ie ditolak. Seorang kenalan meminta saya menulis berkenaan isu ini. Yang berikut adalah pendapat saya. 


Tersebut dalam sejarah ketika mana peristiwa Hijrah Rasulullah di mana baginda telah meminta bantuan seorang penunjuk jalan yang pada ketika itu belum memeluk Islam. Ramai yang menggunakan ini sebagai hujah bahawa kita boleh meminta bantuan daripada orang bukan Islam. Namun saya tidak fikir yang peristiwa ini terpakai dalam isu Peguam Syarie kerana kita bukan sahaja harus melihat pada permukaan sahaja tetapi kita harus menyelami peristiwa tersebut secara lebih mendalam untuk memahami hikmahnya.

04 December 2010

Kesederhanaan dalam Islam bukannya Separuh atau Setengah Islam

Ada dalam kalangan umat Islam, termasuk antaranya cerdik pandai serta sesetengah daripada mereka dipandang sebagai ulama oleh sesetengah yang lain menyebut bersederhana dalam Islam itu sebagai pertengahan, separuh atau setengah.

Hasil daripada itu mereka berfahaman demi menjadi seorang yang sederhana dalam beragama maka solat yang lima itu 'disetengahkan' menjadi tiga. Puasa Ramadhan yang tiga puluh itu 'disetengahkan' kepada lima belas. Menutup aurat itu hanya perlu dalam majlis-majlis agama sahaja. Melakukan dosa sekali sekala itu tidak mengapa kerana dosa yang sedikit itu tidak menjejaskan pahala yang banyak.

Lantas dengan sebab itu, barangkali sesetengah kelompok umat Islam menolak bulat-bulat konsep kesederhanaan dalam agama dan menyatakan konsep ini tidak wujud dalam Islam.

30 November 2010

Electrical Usage at Home


I got this from an email. Below is a short table of common electrical appliances and a rough estimate on how much they cost to run for every hour. (The cost may seem low, but remember, even using 3 sen/hour means that you will be paying about RM 20 per month if you leave it on for 24 hours a day) 


Appliance
Estimated cost (sen/hour)
Fluorescent lights
1 sen
Wireless Router
1 sen
ASTRO decoder + dish
2 sen
Table Fan
2 sen
Incandescent lights
3 sen
Ceiling Fan
3 sen
Computer (laptop)
5 sen
CRT (normal) TV (21 inch)
3 sen
LCD TV (32 inch)
7 sen
Computer (desktop)
9 sen
Plasma TV (42 inch)
10 sen
Washing Machine
15 sen
Vaccuum Cleaner
17 sen
Electrical Clothes Iron
33 sen
Electric Hot Plate
46 sen
Air Conditioning
46 sen
Electric Water Kettle
50 sen

25 November 2010

Peperiksaan & Ujian


Selama lebih setengah bulan blog ini saya tinggalkan tanpa dikemaskini. Sebabnya, saya sibuk menumpukan perhatian untuk peperiksaan akhir semester yang berakhir minggu lepas. Hampir separuh gila juga menjalani setiap hari dengan menghafal prinsip-prinsip undang-undang dengan segala macam kes. Ditambah dengan stress, makan tak menentu, tidur pun tak tenang semuanya kerana risaukan peperiksaan yang mendatang.

Selesai peperiksaan, tuhan saja yang tahu betapa leganya rasa hati. Hilangnya segala tekanan yang menghempap minda. Riangnya selepas terlepas daripada belengu peperiksaan. Namun bila difikirkan kembali, sedar tidak sedar sebenarnya kita lebih memberi tumpuan kepada peperiksaan dunia walhal hakikatnya kita sentiasa dalam ujian. Ujian Allah sebagaimana firman-Nya:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji yang mana satukan di antara kalian yang sebaik-baik amalannya dan Dialah yang Maha Perkasa dan Pengampun"
[Al-Mulk: 2]

16 November 2010

Aiduladha 1431H/2010


Assalamualaikum,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd...

Dikesempatan ini saya menugucapkan selamat menyambut Aiduladha 1431 Hijrah. Semoga di Hari Raya Korban ini kita dapat menghayati hikmah disebalik pensyari'atan korban sekaligus menjadikan kita seorang Muslim sejati. Firman Allah:

“Daging dan darah binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu”.
[Al-Haj: 37]

Dalam khutbah Jumaat yang lalu, khatib menerangkan hikmah disebalik sejarah ibadah korban. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail adalah untuk menguji sejauh mana Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan segala benda yang dimilikinya di muka bumi ini demi kecintaannya kepada Allah. Ternyata cinta Nabi Ibrahim kepada Allah mengatasi kecintaannya terhadap dunia sehingga dia sanggup mengorbankan Nabi Ismail sekaligus berjaya mengharungi dugaan daripada Allah.

23 October 2010

Kerana Hak Melayu Layu


Perhimpunan UMNO yang berlangsung menyaksikan ikar Perdana Menteri untuk mempertahankan hak Orang Melayu yang dikatakan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kata nama yang lebih tepat menurut pensyarah saya ialah 'Keistimewaan Melayu' dan bukannya 'Hak Melayu' kerana sesuatu yang hak mesti diberikan kepada setiap orang tanpa mengira bangsa.

Daripada sudut ilmu undang-undang perlembagaan, perkara ini disebut sebagai 'positive discrimination' atau 'affirmative action'. Fungsinya adalah untuk memberikan keistimewaan kepada sekelompok manusia melebihi kelompok yang lain sebagai suatu timbal balas atau pampasan kepada penindasan yang telah dikenakan ke atas mereka pada masa lampau.

Dalam konteks negara Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memberi beberapa keistimewaan kepada Orang Melayu sebagai timbal balas atau pampasan di atas kemurahan hati mereka menerima masyarakat bukan pribumi sebagai sebahagian rakyat Malaysia di awal penubuhan negara ini.

10 October 2010

Aku Juga Manusia

Aku Juga Manusia

Engkau lihat aku kasar,
Engkau dengar lidahku lancar,
Maka kaufikir aku gasar,
Tak pernah gusar,

Engkau lihat aku ceria,
Engkau dengar aku gembira,
Maka kaufikir aku tak rasa,
Tak cara,

Engkau lihat aku x kesah,
Engkau dengar aku x endah,
Maka kaufikir aku betah,
Tak mudah patah,

Engkau lihat aku tak perhati,
Engkau dengar aku tak peduli,
Maka kaufikir aku lali,
Tak berasa hati,

Lihatlah apa kau suka,
Dengar apa kau percaya,
Fikirlah apa kau suka,
Tapi mengapa kau tak rasa,
Aku juga manusia,
Yang punya rasa,
Punya jiwa...

-syfadh-

02 October 2010

Over Protective, Underestimate

These are 2 important elements that ensure the ignorance and stupidity of Muslim Malay youth. I still remember when I was form 3 there was this controversial article written by Astora Jabat in Al-Islam on the topic of "Rambut Wanita Bukan Aurat". I took that article and pasted in on the softboard in my class. My intention was that not to actually mislead my friend into believing that women's hair is not aurah but for them to read, open their mind and think.

Controversial issues for me are sometimes good as they attract the curiosity of the people to know and actually think and discuss about it. But some people think that they have the role of protecting the society from it. Among this people is one of my ustaz. He entered my class and saw that article. He asked me to remove it on the spot and give the article to him which I did with my heart saying, "what is the problem with this man?".

21 September 2010

Memberi Tanpa Terlalu Berhati-hati

Rakyat Malaysia rata-ratanya memang pemurah. Barangkali dengan sebab itu negara kita dikurniakan Allah dengan kemewahan dan jika dibandingkan dengan negara luar, memang sangat sukar mendengar kes mati kebuluran di Malaysia. 

Namun malangnya segelintir manusia durjana cuba mengambil kesempatan di atas kemurahan dan sikap suka menderma dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai cara digunakan antaranya sindiket peminta sedekah di mana perbuatan mengemis dijadikan suatu bisnes yang menguntungkan. Mereka menggajikan orang untuk mengemis di jalanan dengan pelbagai cara untuk meraih simpati termasuklah dengan memperalatkan anak kecil. 

Ada yang menghantar peminta sedekah ke kedai-kedai makan dan ada yang menghantar ke rumah-rumah. Ada yang mendakwa mereka mewakili pertubuhan kebajikan, rumah anak yatim, madrasah, surau, masjid dan lain-lain lagi. 

14 September 2010

Iklan Raya Ala Krismas

Saya membaca sebuah blog yang mengatakan bahawa semasa bulan Ramadhan yang lepas, TV3 ada menayangkan iklan raya tetapi iklan itu kini telah ditarik balik kerana dikatakan menggambarkan Aidilfitri seperti Hari Krismas. Sebabnya, dalam iklan tersebut terdapat beca terbang seolah-olah kenderaan rusa terbang yang dinaiki oleh Santa Klaus. Selepas mendapat bantahan orang ramai TV 3 segera menarik balik iklan tersebut dan memohon maaf  di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

09 September 2010

'Aidulfitri 1431H @ 2010

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dengan nikmat-Nya kita masih lagi dipanjangkan usia untuk menjalani sebulan Ramadhan dan kini berada di satu Syawal.

Saya mengambil kesempatan ini dengan rendah hati memohon maaf kepada para pembaca dan sekalian yang mengenali diri saya di atas segala kesalahan yang telah saya lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Saya akui bahawa banyak tulisan-tulisan saya di dalam blog ini yang berupa kritikan tajam dan pedas dibaca tetapi tiadalah niat saya melainkan untuk mengutuk kemaksiatan dan keburukan serta sedikit sebanyak berkongsi pengetahuan dan pendapat dengan anda sekalian. Di setiap kali saya menulis blog ini, saya berusaha dan berharap semoga saya dapat memberi manfaat kepada para pembaca.

06 September 2010

Raja Adil Raja disembah, Raja Zalim Raja Disanggah

Ini bukan tulisan untuk mengulas cerita Melayu klasik, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Saya cuma tertarik untuk membahaskan petikan kata-kata Laksamana Bentan lakonan Nordin Ahmad dalam cerita tersebut.

Saya lebih suka menterjemahkan perkataan 'raja' sebagai bermaksud pemerintah atau pemimpin dan bukannya merujuk kepada sistem beraja ataupun raja-raja Melayu manakala perkataan sembah pula bermaksud ketaatan dan bukannya penyembahan berbentuk ibadat. Jadi sekiranya diolah semula, kata-kata tersebut menjadi 'pemerintah adil ditaati manakala pemerintah yang zalim diperangi'. Sabda Rasulullah: 

"Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang kamu sayangi dan dia menyayangi kamu, pemimpin yang kamu doakan dan dia mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin adalam pemimpin yang kamu benci dan dia juga membenci kamu, kamu melaknatnya dan dia melaknat kamu." Para sahabat bertanya adakah harus bagi kami untuk memeranginya? Rasulullah menjawab:"Tidak, selagi mana dia mendirikan solat dan tidak juga harus bagi kamu memutuskan ketaatan kepada mereka apabila mereka menyuruh kepada yang ma'ruf."

02 September 2010

53 Tahun Merdeka

Negara kita, Malaysia baru 53 tahun merdeka. Kalau dari sudut temph masa sememangnya kita kalah dengan beberapa jiran terdekat kita. Meski begitu saya amat berbangga kerana ada negara yang lebih dahulu merdekanya daripada kita tetapi sayang rakyatnya masih berfikiran jauh ke belakang.

Pantang dicuit sedikit dia mula meroyan. Tak ada sifat sabar, tak ada jalan rundingan, tak mahu dengar penjelasan. Bakar sana bakar sini, rosak sana rosak sini, merusuh sana merusuh sini. Tapi, itu sajalah yang mereka pandai pun. Sebab itu negara mereka belum mampu menandingi Malaysia daripada segala sudut. Baik pentadbiran, ekonomi apatah lagi pembangunan. Manakan tidak, pemimpinnya mahu maju tetapi rakyatnya mahu terus mundur. Sikit-sikit mahu bergaduh. Mahu tunjuk hebat agaknya dalam pada makan mereka kita yang suap.

Mujur saja rakyat Malaysia tenang, berfikiran waras dan mempunyai sifat sabar yang tinggi. Kita tidak layan bukan sebab kita kurang semangat patriotik tetapi secara logiknya, buat apa dilayan anjing yang menyalak bukit. Bukannya bukit akan runtuh.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-53. Semoga Malaysia sentiasa aman, damai dan makmur. Kaya dan pesat membangun berlandaskan dasar-dasar Islam. 

30 August 2010

Makanan Halal & Doa

Saad ibn Abi Waqos adalah antara salah seorang sahabat Rasulullah yang disegani dan ditakuti mereka yang sezaman dengannya. Namun Saad bukanlah ditakuti dengan sebab garang, tegas dan gagahnya sebagaimana Umar ibn Al-Khottob digeruni oleh orang ramai tetapi Saad digeruni dengan sebab mustajabnya dan makbulnya doa beliau. Setiap kali beliau menadah tangannya memohon kehadrat Allah, pastinya doa beliau dimakbulkan Allah.

Sebabnya, Saad pernah meminta Rasulullah supaya berdoa kepada Allah agar doanya makbul lantas Rasulullah bersabda:

"Jagalah permakananmu nescaya akan mustajab doa kamu. Demi Allah yang nyawa Muhammad di tangan-Nya, jika seseorang lelaki memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, doanya tidak akan diterima selama 40 hari."

21 August 2010

Ramadhan dan Al-Qur'an

Selamat menyambut Ramadhan, selamat berpuasa dan selamat merebut rahmat Allah yang melimpah-ruah di bulan ini. Diharapkan ucapan ini tidak terlalu lewat meski satu pertiga Ramadhan telah melewati kita. Puas saya memikirkan tajuk yang sesuai untuk dipadankan dengan bulan mulia ini sehinggalah saya mendengar khutbah Jumaat di UIA semalam.

Bulan Ramadhan memang sangat berkait rapat dengan Al-Quran. Manakan tidak, di dalam bulan yang penuh barakah inilah diturunkan Al-Qur'an sebagaimana yang disebut sendiri dalam Al-Qur'an. Namun dalam khutbah Jumaat, khatib menimbulkan persoalan yang agak menarik. 

04 August 2010

Why Malaysian Constitution Must be Secular

The topic of this post is purposely made without question mark because it is a statement and not a question. Have you ever wonder why Karpal Singh and the other non-muslims politicians are trying very hard to establish that Malaysian Constitution as a secular one?

Malaysian Constitution, a document which creates Malaysia, lays down the very basic principles with which this federation shall be governed. However, nowhere in this constitution states that it is secular in nature as claimed by Karpal Singh as his colleages.

Constitution shall be understood with its own wordings and according to the history of the development of this country. However, it is very unfortunate that there are some people who put themselves prevail over the constitution by referring the constitution with something which did not even exist in the constitution. For instance, the constitution is said to be secular which nowhere to be found in it.

29 July 2010

Tahun Kedua, dalam Proses Tumbesaran

Post ini sepatutnya disiarkan pada 27 Julai 2010 bersempena ulang tahun kedua blog ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga saat ini saya dipinjamkan nikmat sihat akal dan tubuh badan berserta sedikit ilmu. Dengan kurniaan-Nya ini saya dapat menulis sedikit sebanyak ilmu yang saya pelajari beserta dengan pendapat-pendapat saya supaya dapat dikongsi dan sama-sama difikirkan oleh para pembaca sekalian.

Saya sangat berharap apa yang telah saya tulis sebelum ini juga yang akan saya tulis di masa hadapan dapat memberi manfaat kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca blog saya. Kalau tidak banyak sekalipun sedikit pun jadilah supaya kalian semua dapat menjadi saksi kelak apabila saya ditanya oleh Allah tentang apa yang telah saya lakukan dengan nikmat sihat akal dan tubuh badan serta ilmu yang Allah pinjamkan kepada saya.

23 July 2010

As-Sukut ‘Alamat Ar-Redho

Tajuk di atas sebenarnya merupakan salah-satu kaedah yang digunakan dalam fiqh munakahat (perkahwinan) dalam mengenalpasti persetujuan seseorang anak dara terhadap perkahwinannya. Kaedah tersebut boleh diterjemahkan sebagai; “Diam adalah tanda persetujuan”. Persoalan mengapa diam diambil sebagai tanda persetujuan adalah kerana seorang perempuan secara fitrahnya bersifat dengan sifat malu apatah lagi apabila dia adalah seorang anak dara.

Meskipun begitu, bukanlah fiqh munakahat yang ingin saya bincangkan dalam post kali ini tetapi tentang betapa kaedah tersebut tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan pada masa kini. Manakan tidak? Illah (sebab) disebalik penggunaan kaedah ini tidak lagi wujud. Sebabnya, perempuan atau lebih spesifik, anak dara pada masa kini telah hilang sifat malunya atau lebih tepat semakin hilang maruah. Semakin parah.

Kalau dahulu, anak dara apabila ditanya adakah bersetuju untuk berkahwin, dia tersipu-sipu malu dan tidak menjawab. Tapi kini tidak lagi, mereka lebih ‘berani’ daripada lelaki. ‘Berani’ yang dimaksudkan bukanlah berani yang positif tetapi tidak reti malu. Bukan kata kahwin, belum berkahwin pun merata-rata di blog mahupun laman sosial, mereka sibuk mengishtiharkan kepada dunia yang dia kini sedang bercinta. Gambar si lelaki pujaan pun ditayangkan ditambah kisah-kisah cinta yang kononnya romantik pada mereka.

17 July 2010

Hadith Nabawi vs Qudsi vs Al-Qur'an

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Al-Qur'an dan Hadith merupakan dua sumber perundangan Islam yang utama. Meskipun begitu, masih ramai yang tidak tahu bezanya antara Al-Qur'an dan Hadith terutama mereka yang tidak berpeluang menjalani kelas agama. Ramai pula yang tidak tahu yang Hadith, berdasarkan sumbernya, terbahagi kepada dua; Hadith Nabawi dan Hadith Qudsi.

Sepertimana secara tradisinya, mari kita mulakan dengan melihat pengertian Hadith Nabawi, Hadith Qudsi dan Al-Qur'an. Hadith daripada pengertian bahasa bermaksud 'baharu' manakala Al-Qur'an bermaksud 'bacaan'.

Hadith Nabawi ialah setiap perkataan, perbuatan, pengakuan (taqrir) dan sifat yang disandarkan kepada Rasulullah. Maka dengan sebab itu hadith ini dinamakan Nabawi kerana disandarkan bulat-bulat kepada baginda Rasulullah.

Hadith Qudsi pula ialah khabar yang diilhamkan oleh Allah kepada Rasulullah melalui ilham atau mimpi dan kemudiannya disampaikan oleh Rasulullah melalui perkataan baginda sendiri.

Al-Qur'an ialah kalamullah (kata-kata Allah) yang diwahyukan kepada Muhammad, Rasulullah melalui Jibril dalam bahasa Arab dan diriwayatkan secara tawatur.

06 July 2010

Malaysia Negara Sekular?

Karpal Singh mengulang lagi pendiriannya yang menolak negara Islam Malaysia. Dia berkeras mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Sekali lagi Karpal Singh memberi penampar ke pipi parti PAS. PAS yang mendakwa mereka telah berjaya mengubah tanggapan golongan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat supaya menghormati Islam rupa-rupanya masih belum berjaya meyakinkan Pengerusi DAP untuk menghormati Islam.

Nik Aziz menganggap kenyataan yang dibuat oleh Karpal Singh adalah pendapat peribadinya sahaja dan bukannya pendirian DAP. Saya sangat berharap yang anggapan Nik Aziz adalah benar. Saya cuba-cuba juga melihat laman web DAP untuk melihat sama ada DAP ada menyatakan yang kenyataan Karpal Singh itu hanya bersifat peribadi sahaja namun malangnya tidak ada. Biasanya, jika benar itu hanyalah pendapat peribadi, pastinya parti akan menyatakan kenyataan itu hanya bersifat peribadi sahaja. Malangnya tidak. Adakah in bermakna yang tersebut adalah pendirian Parti DAP juga? 

01 July 2010

Rahasia Dosa Ghaib Pahala

Rahasia Dosa Ghaib Pahala

Aku yang belum pernah merasa siksa,
Lantas tak upaya membayangkan peritnya,
Tambahan pula tak telus mata,
Untuk melihat rahasia dosa,

Aku yang tidak pernah mengecap syurga,
Masih tak tergambar betapa nikmatnya,
Ditambah diri yang tak cukup peka,
Menangkap hikmah ghaibnya pahala,

Justeru aku lena leka,
Mengejar isi dunia,
Harta, wanita, kuasa,
Tak pernah lupa,

Entah bila aku akan terjaga,
Untuk sedar aku ini hamba,
Kalau bukan di samping Tuannya,
Tidaklah tentu ke mana hala,
Langsung binasa...

-syfadh-
30/6/10, 8.40pm
Kg Baru


25 June 2010

Sunnah dan Pembahagiannya (Bahagian 1)

Istilah-istilah seperti mutawatir, ahad, sohih, hasan, dhaif dan maudhu' sering kita dengar berkait rapat dengan hadith. Istilah-istilah tersebut memberi peranan yang amat besar dalam pengajian ilmu hadith namun malangnya ramai orang Islam yang tidak endah dan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah tersebut.

Sunnah ertinya kebiasaan manakala hadith pula bermakna baharu. Dalam bidang ilmu hadith, sunnah atau hadith ditafsirkan sebagai segala bentuk perbuatan, perkataan, pengakuan (taqrir), sifat atau khara yang disandarkan kepada baginda Rasulullah. Sesetengah ulama' turut merujuk hadith dengan kata 'athar' namun 'athar' biasanya digunakan untuk merujuk kepada perbuatan dan perkataan para sahabat Rasulullah.

20 June 2010

Coretan 20 Jun 2010: Ikon Belia Perak & Judi Bola

Ikon Belia Perak
Bodoh benar kerajaan negeri Perak. Adakah layak seorang lulusan Akademi Fantasia diangkat sebagai Ikon Belia Negeri Perak? Adakah negeri Perak mengalami ketandusan belia yang bijak pandai, ketandusan belia yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara sehingga seorang penyanyi yang baru habis belajar di akademi nyanyian dijadikan Ikon Belia. 

Saya sangat simpati kepada para remaja negeri Perak. Mereka disuruh untuk mencontohi orang yang tak sepatutnya dicontohi. Sepatutnya lantiklah tokoh pelajar di universiti atau qari atau mungkin atlet sukan. Ini tidak. Penyanyi yang dilantiknya. Kasihan belia Perak.

08 June 2010

Boikot Lagi? ke Tak Payah Boikot?

Setiap kali Zionis laknatullah mengganas, terdengar laungan yang mengajak kita memboikot Israel dan barangannya sebagai suatu bentuk penentangan dan usaha menunjukkan kebencian terhadap keganasan mereka.

Namun dalam pada itu ada juga sekelompok umat Islam yang tidak percaya kepada gerakan boikot ini. Pelbagai bentuk alasan diberikan termasukkan menggunakan hujah-hujah agama untuk mengatakan yang gerakan memboikot ini bukanlah suatu bentuk amalan yang dianjurkan oleh Islam. Salah satu daripada mereka ialah Hizbut Tahrir.

Beberapa hari lepas saya melibatkan diri dalam perdebatan bersama ahli Hizbut Tahrir yang tidak bersetuju dengan gerakan memboikot ini (Anda boleh baca di sini). Antara hujah yang mereka gunakan ialah boikot bukanlah satu bentuk penyelesaian masalah yang dianjurkan oleh syara' kerana kata mereka, ketika zaman Rasulullah, apabila terdapat umat Islam yang dizalimi oleh orang kafir maka baginda akan menghantar bala tentera untuk memerangi kaum kafir tersebut.  

04 June 2010

Siapa Kata Kita Tidak Peduli

 Kuala Lumpur 4 Jun 2010 - Ribuan masyarakat berkumpul di Masjid Kampung Baru selepas Solat Jumaat bagi menyatakan keprihatinan mereka terhadap nasib rakyat Palestin dan anggota sukarelawan misi bantuan ke Gaza sekaligus menyuarakan kebencian terhadap sikap angkuh dan kebinatangan rejim Zionis yang tidak pernah berhenti menyakiti umat Islam di Palestin serta menyekat bantuan kemanusiaan ke sana.

Kumpulan tersebur seterusnya berarak ke kedutaan Amerika Syarikat. Berikut adalah antara gambar-gambar yang berjaya saya ambil.




Di pintu masuk Masjid Jamek Kg Baru

01 June 2010

Islam yang Susah

Berkali-kali ditekankan dalam Al-Qur'an juga Sunnah betapa Islam itu adalah agama yang mudah. Namun disebalik penekanan yang diberi oleh Al-Qur'an dan Sunnah, masih ramai lagi orang Islam menghadapi kesukaran dalam mengamalkan Islam. Setelah difikirkan saya mendapati terdapat beberapa faktor penyumbang yang menyebabkan seseorang itu merasakan Islam sebagai suatu agama yang rumit.

Faktor utama ialah kejahilan seseorang Muslim itu sendiri dan kegagalan mereka dalam memahami cara yang sebenar sesuatu ibadah itu dilaksanakan. Contoh paling mudah dan paling kerap kita lihat adalah solat terutama ketika takbiratul ihram. Masalah kebayakkan daripada umat Islam ialah dalam memahami konsep niat pada solat. Mereka gagal memahami yang niat solat itu tidak perlu kepada susunan ayat yang khusus dan teratur seperti pada lafaz niat solat. Justeru, dek sebab kejahilan mereka ini mereka bersusah payah memasang niat ketika melakukan takbiratul ihram. Walhal apa yang diperlukan sebenarnya adalah lintasan hati sahaja.

23 May 2010

Rukun vs Syarat

Seringkali ketika kita belajar ilmu fiqh tidak kira sama ada fiqh ibadah (seperti solat dan puasa), fiqh munakahat (kekeluargaan), fiqh jinayat (jenayah) atau fiqh muamalat (jual-beli), kita akan bertemu dengan dua istilah fiqh yang disebut sebagai syarat dan rukun.

Meskipun begitu saya yakin ramai antara kita yang masih tidak faham apakah yang dikatakan syarat dan rukun itu, apakah persamaan antara keduanya dan apa pula perbezaannya.

Rukun dita’rifkan sebagai “sesuatu yang merupakan sebahagian daripada suatu perkara yang kerana wujudnya maka wujudlah perkara itu manakala sekiranya tidak wujud, maka tidak wujudlah perkara itu”.

Contohnya, perbuatan sujud dalam solat. Jadi sekiranya kita ganti ta’rif di atas dengan memasukkan perkataan sujud dan solat maka ta’rif tersebut akan berbunyi begini: kerana wujudnya sujud maka wujudlah solat manakala sekiranya tidak wujud sujud maka tidak wujudlah solat. Dalam kata lain, solat yang tidak wujud padanya perbuatan sujud maka solat itu bukanlah solat pada hakikatnya kerana tidak menepati rukun solat.

16 May 2010

Guru Formal dan Guru Tak Formal

Pernahkan anda meluangkan masa untuk berfikir siapakah yang mengajar manusia bernafas, makan, tidur, menangis, merangkak dan berjalan. Siapa pula yang mengajar manusia tentang perasaan gembira, marah, sedih dan cemburu. Barangkali ramai antara kita yang tidak endah dan memikirkan yang semua perkara itu tidak perlu diajar kerana kita belajar dengan sendirinya. Namun persoalannya adalah bagaimana kita boleh tahu sekiranya kita tidak diajar?  Jawapannya mudah tetapi malangnya ramai yang tidak tahu. Yang mengajar kita tentang itu semua ialah Allah sebagaimana yang disebutkan dala Al-Qur'an:

"Bacalah dan tuhanmu yang Maha Mulia. Yang mengajarkan dengan qalam."
[Al-Iqra':]

Ramai yang tidak sedar kerana Allah tidak mengajar menggunakan papan putih mahupun paparan slide show. Allah mengajar manusia melalui naluri manusia itu sendiri dan melalui ilham-ilham yang diberikan kepada manusia. Begitu jugalah yang berlaku kepada sekalian makhluk Allah yang lain. Allah mengajar haiwan untuk terbang, berburu dan mengawan.

10 May 2010

Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir (Bahagian 2)

Rami orang berkobar-kobar menuntut kerajaan melaksanakan Hudud. Kata mereka, "kami mahu Hudud". Tetapi entah mereka tahu atau tidak Hudud hanyalah salah satu cabang daripada undang-undang jenayah Islam. Mengaplikasikan Hudud semata-mata tidak akan menjadika Malaysia sebuah negara Islam yang sempurna bahkan pincang agamanya kerana hanya mempraktikkan satu cabang sahaja daripada undang-undang jenayah Islam.

Ini jelas menunjukkan ramai dalam kalangan mereka yang menuntut Hudud itu sendiri tidak faham dengan apa yang mereka tuntut bahkan hanyalah melaungkan tuntutan mereka sebagai satu slogan politik semata-mata yakni memperjudikan nama Islam demi meraih undi dan mendapatkan kuasa.

Setelah memahami setiap istilah Hudud, Qisos and Ta'zir dalam Bahagian 1 tajuk yang sama, mari kita melanjutkan pula pemahaman kita dengan sedikit dalam lagi. Hudud, Qisos dan Ta'zir dikategorikan di bawah bab Fiqh Jinayat. Sebabnya, Fiqh berkaitan dengan hukum-hukum perbuatan mukallaf manakala Jinayat pula berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang disyariatkan oleh Allah baginya hukuman sewaktu di atas muka bumi lagi.

Justeru, Hudud, Qisos dan Ta'zir hanyalah berkisar tentang segala kesalahan yang ditetapkan baginya hukuman di atas muka bumi ini manakala bagi kesalahan yang tidak disyariatkan hukuman sewaktu di bumi tetapi hukumannya menanti di akhirat tidaklah tergolong dalam perbincangan ilmu ini.

06 May 2010

Hanya kerana Cinta

Hanya Kerana Aku Cinta

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku mencintai dia,
Hingga bilamana ia rasa cukup cinta,
Dia pergi begitu sahaja,

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku memeliharanya,
Sampai masa ia merasa cukup dijaga,
Aku dibiarkan hidup merana,

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku setia,
Hingga ketika dia merasa gembira,
Dia lenyap tanpa berita,

Entah apa yang engkau rasa,
Tapi berbaloi bagiku iya,
Bukannya apa,
Hanya kerana aku cinta…

-syfadh-
20/4/2010

01 May 2010

Eksploitasi Wanita, Kenapa Tiada yang Bising?

Beberapa minggu lepas saya ke PC Fair yang bertempat di Pusat Konvension KLCC. Seperti mana-mana PC Fair yang pernah dianjurkan sebelum ini, anda dapat melihat promoter-promoter terutamanya wanita memakai pelbagai kostum yang pelik-pelik untuk menarik perhatian orang ramai supaya membeli produk yang mereka jual.

Boleh dikatakan keseluruhan promoter wanita memakai pakaian yang singkat, ketat lagi seksi. Ada yang mendedahkan dada, perut ada pula yang mendedahkan peha disamping mekap tebal dengan segala macam warna. Perkara ini bukannya suatu yang asing dan bukan sahaja boleh ditemui di PC Fair malah di mana-mana tempat yang mempromosikan barangan. Tidak ketinggalan di iklan.

26 April 2010

Politik Masjid

Saya agak terkejut melihat keputusan pilihanraya Hulu Selangor kerana BN hanya menang dengan majoriti 1725 undi sahaja. Saya sangkakan dengan bantuan tidak berbelah bahagi daripada pihak media ditambah lagi dengan pelbagai nikmat yang dijanjikan, BN dapat menang besar tetapi ternyata sangkaan saya meleset. 

Sehari dua sebelum pilihanraya, timbul isu Nik Aziz tidak bersetuju dengan titah Sultan Selangor yang melarang masjid digunakan sebagai tempat ceramah politik. Seperti biasa media mengapi-apikan isu ini menjadi batu api kepada rakyat. Orang-orang yang tidak berapa arif dalam beragama tiba-tiba jadi arif untuk memberi komen tentang perihal ini. Nik Aziz dihebohkan sebagai penderhaka titah Sultan Selangor.

23 April 2010

Pilihanraya Hulu Selangor

Pilihanraya Hulu Selangor akan berlangsung pada hari Ahad ini. Meskipun begitu rata-rata media massa melaporkan seolah-olah calon Barisan Nasional telah pun menang pilihanraya tersebut. Ini memang sudah dijangkakan kerana media massa di Malaysia memang berat sebelah. Calon pilihanraya yang mewakili Barisan Nasional juga kelihatan agak yakin yang dia akan menang.

Ini mungkin kerana kontroversi demi kontroversi yang didedahkan mengenai calon pilihanraya daripada Pakatan Rakyat ditambah lagi dengan berita ramai ahli Parti Keadilan Rakyat yang rata-ratanya berjawatan keluar daripada parti dan ada pula yang menyertai UMNO.

Ada desas-desus mengatakan mereka yang keluar parti ini dibayar untuk keluar parti. Jika ini benar, banyak betul duit yang dimiliki oleh UMNO. Bayangkan untuk menyogok seseorang yang berjawatan pastinya memerlukan lebih daripada sekadar seribu dua didarab pula dengan bilangan mereka yang keluar parti agak ramai juga.

19 April 2010

Peranan Wali dalam Perkahwinan, Kahwin Lari vs Kahwin Koboi

Istilah kahwin lari tidak asing lagi dalam masyarakat kita namun istilah kahwin koboi barangkali agak baru dan asing. Kedua-duanya ada persamaan juga perbezaan namun puncanya satu yakni perkahwinan tidak dipersetujui oleh wali pengantin perempuan tidak kira dengan sebab apa sekalipun.

Persamaan antara keduanya ialah peranan wali dibelakangkan dalam perkahwinan. Wali, biasanya bapa kepada pengantin perempuan dibelakangkan dan digantikan dengan wali hakim meskipun si wali masih lagi hidup dan berkuasa (mampu) menjadi wali.

Perbezaan antara keduanya ialah kahwin lari dibuat dalam jarak jauh daripada wali yakni lebih dua marhalah (kira-kira 92km) manakala kahwin koboi dibuat dalam lingkungan 'kuasa' wali.

15 April 2010

Cintamu Bila Ada, Lafazkanlah...


Tulisan ini telah saya tulis lebih setahun yang lalu. Meskipun begitu saya tidak pasti apakah patut bagi saya menjadikan post ini sebagai suatu bacaan di blog saya. Namun demi mengelakkan usaha saya dipersiakan begitu sahaja maka hari ini saya memaparkan juga tulisan ini. Tambahan pula, saya rasa post-post yang serius perlu diselang selikan dengan post-post yang santai seperti ini supaya tidak terlalu berat kandungan blog ini. Lagipun, manusia memang mudah tertarik dengan cinta.

Izinkan saya menjadi Dr. Cinta sebentar untuk menyampaikan pendapat saya sungguhpun saya tidak begitu arif dalam bidang ini. Seorang kawan bertanya kepada saya, "Mengapakah lelaki sukar untuk meluahkan kepada wanita yang dia cinta kepada wanita tersebut?". Lalu saya menbalas dengan soalan, "Mengapa wanita sukar untuk meluahkan kepada lelaki yang dia cinta kepada lelaki tersebut?".

11 April 2010

Hantu Komersial yang Memurtadkan Masyarakat

Dahulu, masyarakat cukup takut dengan hantu. Bila maghrib, semua orang masuk ke dalam rumah. Pintu dan tingkap dikunci rapat-rapat. Katanya di kala itu hantu syaitan sedang berkeliaran. Bila malam, setiap ahli keluarga duduk tidur di rumah dan tidak keluar merayau-rayau.

Bila zaman berubah, pandangan masyrakat terhdap hantu turut berubah sama. Hantu bukan lagi sesuatu yang digeruni bahkan dikomersialkan menjadi hiburan dan sebutan setiap hari. Pelbagai jenis hiburan baik rumah hantu sehinggalah drama dan filem yang mengeksploitasi hantu sebagai instrumen untuk memberi hiburan kepada masyarakat kini.

Persoalan awal adakah hantu itu wujud? Maka jawapan mudahnya adalah tidak. Sebabnya tidak pernah disebut dalam mana-mana ayat Al-Qur'an atau Hadith tentang kewujudan hantu. Ketahuilah sesungguhnya perkara-perkara ghaib itu hanya boleh disahkan kebenarannya dengan Al-Qur'an dan Hadith manakala yang selain daripada keduanya adalah karut belaka.

03 April 2010

Hudud = Khidmat Komunit?

Sebelum ini saya ada menulis perihal hukuman sebat yang dikenakan ke atas Kartika kerana disabitkan bersalah atas kesalahan minum arak. Akhbar Utusan Melayu hari ini bertajuk Kartika Jalani Khidmat Komuniti melaporkan bahawa Sultan Pahang memperkenankan untuk mengurangkan hukuman sebat kepada hukuman khidmat komuniti. 

Saya merasa maha dukacita betapa hukum hudud diambil mudah dan diperkecilkan. Sudahlah jenayah hudud tidak dilaksanakan dengan betul, pengampunan pula diharuskan bagi jenayah hudud. Saya tidak tahu apakah tindakan mufti dan pegawai agama Islam Negeri Pahang dalam hal ini.

29 March 2010

If the Death Cannot Remind You of Your God, then Nothing Can

Verily, the death is sure, Barzakh is confirmed and Mahsyar is a truth .


In the memory of Mohd Firdaus Ismail
(1989-2010)
May Allah bless you and your family, ameen.

25 March 2010

Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir (Bahagian 1)

Ramai orang Islam beranggapan tanpa Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir sebuah negara itu tidak boleh diiktiraf sebagai negara Islam. Tetapi sekiranya kita bertanya kepada mereka apakah itu Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir belum tentu mereka boleh jawab dan kebanyakan mereka sememangnya tidak boleh menjawab. Ada orang sibuk melaungkan kehendak mereka untuk melaksanakan Hudud dan Qisos tetapi tidak kelihatan pula usaha mereka untuk memahamkan masyarakat tentang apa itu Hudud dan Qisos.

Cakap memang mudah. Kita cuma bermodalkan air liur, menggerakkan lidah dan menggerakkan mulut. Tanpa pemahaman yang betul tentang Hudud dan Qisos, jangan katakan orang kafir, orang Islam sendiri menolaknya dan inilah yang berlaku sekarang ini yakni orang Islam sendiri menolak perlaksanaan Hudud dan Qisos di Malaysia. Orang-orang yang saya sebut di atas pula cuma pandai berpidato, berapi-api, kutuk kerajaan kerana kegagalan mereka melaksanakan Hudud dan Qisos tetapi mereka sendiri tidak mengambil langkah untuk memahamkan masyarakat tentang hakikat Hudud dan Qisos.

13 March 2010

Apa Adanya Aku

Apa Adanya Aku

Apa adanya aku,
Adakah ruang dirindu?
Masihkah lagi ditunggu?
Cukupkah apa kau perlu?

Serba kurangnya aku,
Adakah singgah dikalbu?
Masihkah ada yang mahu?
Cukupkah untuk dirimu?

Cinta,
Aku hanya ingin merasa,
Biar sepicing cuma,
Asalkan upaya…

-syfadh-
6.50pm, 9/2/10
Bilal, E 1.3
IIUM

06 March 2010

Kes Kartika, Hukum Allah Bukan Permainan

Pada 4/3/10, akhbar Utusan Melayu melaporkan berita bertajuk Kartika disebat atau diampun? Laporan tersebut menyebut Kartika yang telah disabitkan dengan kesalahan minum arak boleh terlepas daripada hukuman sebat yang ditetapkan ke atasnya sekiranya dia menerima pengampunan daripada Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam di Negeri Pahang di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002.

Saya jadi bingung, selama saya belajar tentang undang-undang jenayah dalam Islam, saya belum pernah diajar yang kesalahan hudud itu boleh diampunkan. Jenayah Hudud adalah jenayah yang dikategorikan oleh Fuqaha' sebagai pencabulan terhadap hak Allah yang mana tidak harus bagi hakim atau pemerintah untuk menjatuhkan hukuman selain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

01 March 2010

Sembelihan Halal

Semalam saya dan rakan saya mengikuti Kursus Sembelihan Halal. Alhamdulillah dapat juga menyegarkan kembali ilmu yang pernah dipelajari di sekolah dahulu. Kini saya ingin pula berkongsi ilmu tersebut bersama para pembaca kerana apalah gunanya ilmu kalau tidak memberi manfaat. Lebih baik tiada ilmu kerana apabila seseorang itu memiliki ilmu, dia dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengamalkan ilmu tersebut dan menyebarkannya kepada orang lain.

Terlebih dahulu mari kita melihat kepada kepentingan sembelih. Sembelihan dalam Islam bertujuan mematikan haiwan dan menghalalkan dagingnya untuk dimakan. Ini berbeza debgan sembelihan dalam agama lain. Sembelihan mereka juga bertujuan untuk mematikan haiwan tetapi tidak menghalalkan dagingnya. Firman Allah:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala..."
[Al-Maidah: 3]

26 February 2010

Sambutan Maulidurrasul

Setiap tahun ketika Maulidurrasul tiba, umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan dalam pelbagai cara yang tersendiri. Ada yang membuat kenduri, ada yang menganjurkan forum dan ceramah tidak kurang juga majlis-majlis selawat di masjid dan surau.

Antara banyak-banyak sambutan yang dilakukan, acara popular dalam kalangan masyarakat kita adalah perarakan Maulidurrasul yakni segerombolan manusia berarak bersama pelbagai sepanduk sambil berselawat dan sebagainya. Malangnya, saya setakat ini masih tidak berdaya memikirkan rasional atau kaitan Maulidurrasul dengan perarakan. Apakah mesej yang cuba disampaikan melalui perarakan tersebut dan apa pula faedahnya kepada para peserta perarakan itu.  

24 February 2010

Sekolah Agama

*Sekolah agama yang dimaksudkan dalam tulisan ini termasuk sekolah menengah agama, sekolah tahfiz dan sekolah pondok berserta jenis-jenis sekolah agama yang lain.

Sudah menjadi suatu kegemaran pada masa kini untuk para ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sekolah agama dengan harapan yang tinggi menggunung supaya anak mereka menjadi mahir dalam selok-belok agama ataupun paling tidak, tahu tentang perkara-perkara asas dalam agama.

Kebanyakan ibu bapa sedar yang mereka tidak mampu memberi pengetahuan agama yang cukup kepada mereka sama ada dengan kesibukan mereka mahupun kerana sebab kekurangan ilmu pengetahuan mereka sendiri dalam bab-bab agama. Saya melihat ini sebagai suatu perkara yang positif kerana adanya kesedaran dan tindakan yang diambil oleh ibu bapa.

13 February 2010

The Perak Dilemma

I realise that I’m not the right person to give comment on this issue. Regardless of that, I still want to give my comment. Plus, I have the benefit of listening to the opinion of a very distinguish scholar on Malaysian Constitution, Prof. Dr Abd Aziz Bari.

The Federal Court 5-0 decision in favour of Datuk Zambry has been responded in many ways. For sure, the opposition party namely Pakatan Rakyat will see this as defying justice. That is certain due to the reason that they always see everything that is not parallel with their views and stand as injustice, contradict to constitution, undemocratic, the law has been compromised bla bla bla. Let them be since their opinion is immaterial, expected and boring.

09 February 2010

Pengenalan kepada Ilmu Kalam (Bahagian 3)

Dalam post yang lalu, saya telah menerangkan serba sedikit latar belakang setiap kelompok daripada kelompok-kelompok Ilmu Kalam. Tulisan kali ini bertujuan menerangkan fahaman dan pegangan yang dibawa oleh setiap kumpulan yang telah di sebut sebelum ini.

Antara perselisihan yang ketara antara kelompok-kelompok Ilmu Kalam ini adalah berkenaan soal Qada’ dan Qadar, soal kedudukan Muslim yang melakukan dosa besar dan juga kedudukan Al-Qur’an.

Ahli Sunnah wal Jamaah: Dalam soal Qada’ dan Qadar, kelompok ini berpegang kepada fahaman bahawa setiap yang berlaku itu di atas kehendak dan kemahuan Allah berdasarkan ikhtiar dan usaha yang dilakukan oleh manusia. Dalam soal kedudukan Al-Qur’an, mereka berpendapat Al-‘Quran itu adalah Kalamullah yang bersifat Qadim (bukan baharu) dan bukannya makhluk sebagaimana yang dipegang oleh sesetengah kumpulan yang lain. Mereka juga berpendapat bahawa seorang muslim yang melakukan dosa besar, mereka masih lagi dianggap muslim tetapi akan di azab terlebih dahulu sebelum di masukkan ke dalam syurga.

29 January 2010

Siapa Aduka Taruna, Ulama' ke?

Sebelum ini saya ada membicarakan perihal suatu blog yang menghina Rasulullah. Kali ini saya menulis perihal sebuah blog yang menghina keluarga Rasulullah, sahabat dan para ulama'. Entah apa masalah dengan penulis blog ini. Mungkin dia rasa dia terlalu arif dalam beragama melebihi kearifan isteri Rasulullah, para sahabat dan ulama'.

Tapi bila saya baca tulisannya, tidaklah sehebat mana. Tidak pula kelihatan ilmu agamanya. Tiada pula ayat Al-Qur'an atau hadith yang disyarahkannya. Hanya berlandaskan akal dan nafsu yang telah jauh sesat lagi menyesatkan. Tapi yang pelik blog tersebut ramai pengikut. Mungkin pengikutnya terpesona dengan kata-kata 'indah' yang disusun oleh penulis blog tersebut.

25 January 2010

Yang Bernama Allah

Saya sengaja melewatkan siaran post ini kerana saya ingin melihat sejauh mana kehangatan isu nama Allah ini akan berlarutan. Adakah hangat-hangat tahi ayam sebagaimana yang biasa berlaku dalam isu-isu sebelum ini tidak kiralah yang berkaitan dengan agama ataupun tidak.

Sebaik keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Muslim, negara menjadi gempar. Bantahan demi bantahan disuarakan oleh badan kerajaan, bukan kerajaan dan orang ramai. Lebih buruk lagi peristiwa ini telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk mencetuskan ketegangan kaum dengan melontar bom petrol ke beberapa buah gereja dan membakar surau.

Majoriti Muslim sebagaimana yang dikhabarkan dalam berita membantah keputusan tersebut. Demonstrasi diadakan, memorandum dihantar dan pelbagai bentuk bantahan dilaksanakan. Isu ini juga hangat diperkatakan dalam laman-laman sosial sehingga ada yang ditangkap kerana memberi komen berkaitan isu ini.

24 January 2010

Cinta Biasa, yang Sempurna

Cinta Biasa, yang Sempurna

Selamlah engkau lautan bara,
Gapailah engkau bintang angkasa,
Belahlah engkau dada,
Atau kaubiarkan saja mereka,

Aku tak kuasa,
Aku tidak upaya,
Aku tidak berdaya,
Mengapa aku harus binasa,
Kerana cinta?

Ini bukan Cinta Arjuna,
Bukan Cinta Adam dan Hawa,
Ini alam nyata,
Perlu kau buka mata,

Aku mahu cinta sederhana,
Bukan luar biasa,
Cukup dengan itu sahaja,
Aku merasa sempurna…

-syfadh-
7.37pm, 22/1/2010
Bilal E 1.3

19 January 2010

Buddha, His Stories, His Teachings

Buddhism, the faith of about 400 million Buddhist around the world was founded by Sidharta Gaotama Buddha about 4500 years ago. He was the son of King Shuddhodana and Queen Mahamaya of Kapilvastu near Nepal. When he was a baby, a soothsayer predicted that he would be either a great king or a great sage to save humanity. After hearing so, his father shielded him from anything that might make him choose the religious life.

At sixteen, he married a beautiful princess from the neighbouring kingdom, Yashodhara and soon had a son, Rahula. His curiosity to see the outside world made him demanded his father to allow him to see his people and land. On his way out, he met old people, sickly person and funeral near the riverbank. He later learnt form his servant that all mankind will get old, sick and finally die. After sensing what suffering means, he decided to look for ways to overcome it. At the age of twenty-nine, he left the palace in search of the truth without telling his wife.

06 January 2010

Bid’ah, Antara Pemelihara Keaslian Agama dan Penyekat Kemajuan Tamadun Manusia (Bahagian 2)

Sesetangah ulama’ membahagikan bid’ah kepada dua bahagian, bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah sayyiah (buruk). Walaubagaimanapun, tanpa sebarang niat untuk merendahkan tahap keilmuan para ulama’ tersebut, saya tidak dapat bersetuju dengan pembahagian yang telah mereka buat. Sebabnya, pembahagian yang tersebut bertentangan dengan hadith Rasulullah yang menyebut setiap bid’ah itu dalah sesat meskipun manusia melihatnya sebagai baik. Kedua, pembahagian tersebut membuka ruang kepada manusia untuk menyelitkan perkara yang akan mencemar keaslian agama atas nama keharusan bid’ah hasanah.

Saya memahami betapa ulama’-ulama’ tersebut cuba menghapuskan tanggapan umat Islam terhadap kekeliruan mereka dalam bab bid’ah yang mana telah menjadi duri dalam daging yang menyekat perkembangan tamadun Islam. Lantas mereka cuba menanamkan bahawa bukan semua perkara baru itu haram sehingga umat Islam tidak dapat bergerak maju kehadapan dan hanya perlu menjalani hidup sebagai mana Rasulullah menjalani hidup baginda yakni dengan kekurangan teknologi.

01 January 2010

Bid’ah, antara Pemelihara Keaslian Agama dan Penyekat Kemajuan Tamadun Manusia (Bahagian 1)

Sabda Rasulullah:
كل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار

“Setiap bid’ah itu adalah sesat dan setiap yang sesat itu tempatnya di neraka.”
[Riwayat An-Nasai]

من أحدث في ديننا ما ليس منه فهو رد

“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami (Islam), yang mana bukan sebahagian daripadanya maka perkara tersebut adalah tertolak.”

Dalam riwayat lain,

من عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد

“Barangsiapa yang beramal dengan suatu amalan yang mana tiada perintah kami ke atasnya maka amalan tersebut adalah tertolak.”