Pages

03 December 2009

Talfiq, Wajarkah Bagi Orang Umum?

Post yang terpapar di blog rakan saya telah memikat saya untuk menulis berhubung dengan tajuk di atas. Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut lagi wajarlah kiranya saya memberi pengertian talfiq supaya para pembaca dapat mengikuti tulisan saya ini dengan pemahaman yang baik.

Talfiq dalam erti kata yang mudah adalah seseorang yang mengamalkan pendapat dari satu mazhab dalam suatu perkara dan mengambil pendapat dari mazhab lain dalam suatu perkara yang lain. Contohnya, seorang yang bermazhab Syafie' misalnya menolak salah-satu pendapat daripada mazhab Syafie' dan mengambil misalnya, pendapat daripada mazhab Hanafi untuk diamalkan atas sebab sebab yang tertentu.

Sebenarnya di Malaysia secara sedar atau tidak kita mengamalkan talfiq. Umum mengetahui majoriti rakyat Islam di Malaysia bermazhab Syafie' namun dalam sesetengah perkara kita tidak mengikut pendapat yang termaktub dalam mazhab Syafie'.

Contohnya, dalam jual-beli, mazhab Syafie' mewajibkan akad jual beli dalam bentuk lafaz bagi mereka yang berkemampuan tetapi menjadi amalan umum di Malaysia kita sekadar mengambil barang dan membayarnya tanpa akad jual beli. Jika menurut mazhab Syafie' jual beli ini tidak sah tetapi menurut mazhab Hanafi, harus berjual-beli dengan perbuatan dan isyarat yang menunjukkan kerelaan. Maka dalam hal ini kita menggunakan pendapat dalam mazhab Hanafi.

Contah daripada bab lain adalah seperti dalam soal wudhuk bagi jemaah haji di mana sesetengah jemaah haji beralih sebentar ke pandangan mazhab lain dalam soal wudhuk ketika mengerjakan ibadah tawaf khususnya bagi mengelakkan terlalu kerana mengambil wudhuk dalam keadaan yang sesak. Turut termasuk ialah ibadah zakat fitrah yang dibayar menggunakan wang tunai sedangkan dalam mazhab Syafie' hendaklah dibayar dlm bentuk makanan asasi sesuatu negara.

Kembali kita kepada persoalan tajuk, apakah harus bagi setiap orang mengamalkan talfiq? Atau dalam erti kata lain, wajarkah talfiq dibuka kepada umum untuk diamalkan? Wajarkah kita membiarkan orang ramai meninggalkan pendapat mazhab mereka dan mengambil pendapat mazhab lain?

Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan pandangan saya, bagi saya, membuka talfiq kepada umum adalah suatu jalan yang akan membawa kerosakan kepada agama. Sebabnya, bukan setiap orang yang mempunyai kefahaman yang mendalam dalam agama dan bukan semua orang yang memahami kaedah para ulama' mengistinbath hukum.

Mengamalakan talfiq tidak semudah yang menyebutnya. Bagi saya, talfiq hanya perlu dibuka oleh orang yang mempunyai kefahaman yang mendalam dalam agama. Seseorang yang ingin mengamalkan talfiq mesti mempunyai ilmu dalam menilai hujah-hujah yang dibawa oleh kedua mazhab dalam menentukan yang mana satu yang lebih bertepatan dengan maksud yang terkandung dalam nas-nas syara'.

Membuka talfiq kepada umum samalah seperti memberi peluang kepada nafsu untuk menentukan agama. Jika talfiq dibuka kepada umum, maka orang yang jahil akan memilih mana yang paling mudah bagi mereka lakukan. Sememangnya agama menggalakkan perkara yang mudah bahkan Rasulullah sendiri jika diberi pilihan dalam memilih dua perkara maka baginda akan memilih mana yang mudah antara keduanya selagimana tidak bertentangan dengan agama.

Persoalannya apakah orang ramai  akan membuat pilihan sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yakni memilih yang paling mudah selagi tidak bertentangan dengan agama. Adakah tahap ilmu agama setiap orang sama dengan tahap keilmuan Rasulullah? Adakah setiap orang dapat membuat pilihan atas dasar keimanan dan bukannya nafsu?

Jawapannya sudah pasti tidak, kebanyakan mereka yang jahil dalam agama lagi lemah imannya selagi boleh mencari jalan bagi mengelak daripada menjalankan tuntutan agama, Justeru, mereka akan menggunakan jalan talfiq sebagai helah dalam menjayakan usaha mereka ini. Maka agama pun akan menjadi bahan permainan nafsu. Apa yang sesuai dengan kehendak mereka mereka ambil dan apa yang tidak sesuai dengan kehendak mereka mereka tinggalkan.

Seterunya, salah satu sifat agama ialah 'thabat' yakni tetap atau langsung. Setiap hukum agama itu bersifat tetap dan tidak berubah dengan sewenangnya. Dengan membenarkan talfiq diamalkan oleh orang ramai, maka jadilah agama sesuatu yang sentiasa berubah dan daripada itu hilanglah kehormatan dan kesucian agama dek kerana mudahnya agama dilenturkan semahu manusia.

Ya benar, sebagaimana yang pernah saya bicarakan dalam post sebelum ini iaitu sekalian ulama' menggunakan sedaya upaya dan seluruh daya upaya mereka dalam mengistinbath hukum dengan berpandukan segala keterangan syara' yang sampai kepada mereka, namun kita harus ingat, perbezaan yang berlaku dalam pendapat mereka, salah-satunya disebabkan berbezanya nas-nas agama yang sampai kepada mereka. Justeru, pendapat mereka yang tersebut perlu melalui saringan 'tarjih' yakni penilaian yang mana satu mempunyai dalil yang lebih kukuh dan lebih dekat kepada maksud yang terkandung dalam dalil-dalil syara'.

Sebagaimana yang telah saya sebutkan di awal post ini, barangkali ada antara pembaca yang mungkin tidak bersetuju dengan saya, terpulanglah kepada anda.

Pautan:


5 comments:

Raafiq Zakaria said...

wow~

Anonymous said...

"Jawapannya sudah pasti tidak, kebanyakan mereka yang jahil dalam agama lagi lemah imannya selagi boleh mencari jalan bagi mengelak daripada menjalannya tuntutan agama, justeru mereka akan menggunakan jalan talfiq sebagai helah dalam menjayakan usaha mereka ini."

Kalau talfiq itu bermaksud memilih antara dua mazhab, macamana nak elak "daripada menjalannya tuntutan agama"? Adakah ini bermaksud salah seorang daripada imam tak betul? Contohnya, sekiranya saya solat subuh tanpa membaca do'a qunuut, adakah solat saya terbatal? Adakah do'a qunut itu dituntut agama?

Mungkin syed maksudkan "cabang" talfiq yang ke-2 sepertimana dijelaskan oleh syededlee didalam blognye:

"2. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Talfiq begini tidak benarkan.

Contoh, Ali bernikah tidak menggunakan wali kerana ikut Hanafi. Dia tidak memakai 2 saksi kerana mengikut pendapat Maliki.

Pernikahan seperti ini adalah batal/tidak sah."


Pada pendapat saya, mungkin kita boleh ikut satu pendapat mazhab tapi kita seharusnya ikut sepenuhnya utk satu perkara. Atau dlm ertikata yg lain, kita tak patut campur pendapat2 mazhab2 yg berlainan. Contoh: (berdasarkan contoh diatas), sekiranye seseorg ingin berkahwin, dan dia ingin mengikut mazhab Shafie, maka dia seharusnya ikut mazhab Shafie sepenuhnya utk perkahwinan tersebut. Tak boleh la dia gunakan pendapat Maliki utk saksi. Tetapi, sekiranya dia nak ikut Maliki, seharusnya dia mesti ikut Maliki shj dalam perkahwinan (atau perkara) tersebut.

Saya pun agak susah nak terangkan tapi diharap En. Syed paham maksud saya.

syfadh said...

Secara kasarnya memang kita tidak dapat melihat bagaimana talfiq dapat memberi peluang kepada seseorang untuk meninggalkan tuntutan agama.

Tetapi sekiranya kita melihat kepada hakikat bahawa setiap manusia itu tidak dapat lari daripada kesilapan dan kelemahan maka perkara ini mungkin berlaku. Begitu jugalah yang berlaku kepada para imam mazhab dan juga para ulama' dalam mengeluarkan pendapat mereka.

Saya menulis bukanlah untuk memperkecilkan kebolehan dan pendapat para ulama' dan saya juga tidak layak berbuat demikian.

Persoalan yang diutarakan oleh anda ialah bagaimana talfiq boleh menjadi penyebab kepada seseorang meninggalkan tuntutan agama walhal talfiq berkisar tentang memilih pendapat antara mazhab.

Dalam arena fiqh, terdapat sesetengah pendapat ulama' yang dikategorikan sebagai gharib (pelik @ ganjil) dan tidak kurang juga yang salah. Sebabnya, sebagaimana yang telah disebutkn di atas ialah kesalahan dan kelemahan yang dilakukan oleh ulama' itu sendiri atau boleh jadi keadaan persekitaran yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Contohnya, Imam Hanafi dalam salah-satu pendapat beliau menyebut khamar hanyalah bahan memabukkan yang datang daripada anggur sahaja sedangkan yang selain anggur bukanlah khamar tetapi disebut sebagai nabiz.

Maka kalimah 'khamru' yg terdapat dalam ayat khamar bermaksud minuman memabukkan daripada anggur manakala sekiranya bahan tersebut berasal daripada selain anggur, jika isipadunya kecil dan tidak memabukkan maka hukumnya halal.

Sebab beliau berpendapat begini ialah keadaan di mana beliau menetap di iraq yang mana jumlah hadith yang sampai ke sana sangatlah sedikit, lalu dengan sebab itu tidak sampai kepada beliau hadith Rasulullah yang menyebut:
"Setiap yang memabukkan itu khamar dan setiap khamar itu haram"

Dalam hadith lain Rasulullah bersabda:
"Apa yang banyaknya memabukkan maka sedikitnya juga haram"

Maka talfiq yang menjadi penyebab kepada seseorang meninggalkan tuntutan syara' berlaku apabila seseorang mengambil pendapat-pendapat gharib dan salah sama ada secara sengaja atau tidak.

Bayangkan sekiranya umum mengetahui hakikat bahawa Imam Hanafi pernah berpendapat sedemikian, pasti ada sebahagian umat Islam yang menggunakan hujah ini sebagai jalan menghalalkan perbuatannya untuk meminum sedikit khamar yg asalnya bukan daripada anggur asalkan tidak memabukkan sedangkan para ulama' biasa menyebut sekiranya kamu jumpa hadith sohih yang bertentangan dengan pendapat mazhabku maka ikutilah hadith tersebut dan tinggalkanlah pendapatku.

Malangnya, kita tidak berupaya memahamkan masyarakat dengan kaedah ini sedang mereka teruja dalam mengamalkan talfiq, mereka sama ada dalam sedar atau tidak telah terjerumus ke dalam perkara yang salah. Lebih buruk lagi apabila perkara ini disengajakan oleh mereka yang kurang imannya dan sengara mencari jalan untuk mempermudahkan agama.

Adalah sangat penting untuk kita menyedari yang sesungguhnya agama Islam itu mudah tetapi kemudahan yang diberikan oleh Islam itu tidak bermakna kita boleh mengambil agama itu untuk dipermudah-mudahkan.

Anonymous said...

Terima kasih diatas penjelasan. Saya setuju dengan pendapat anda. Saya rasa, umum sepatutnya belajar apa itu Ittiba sepertimana dijelaskan oleh syededlee.

Ittiba
Ialah menerima pendapat orang lain dengan mengetahui sumber atau hujahnya.

Ittiba adalah sebaik-baik cara menerima dan mengamalkan pendapat dari mujtahid.

Syauqani said...

apabila mujtahid berbicara............