Pages

10 December 2009

Pengenalan kepada Ilmu Kalam (Bahagian 2)

Sebagaimana yang dijanjikan, berikut saya sertakan sedikit latar belakang puak-puak yang lahir daripada perkembangan ilmu kalam @ tauhid @ usuluddin @ akidah:

Ahli Sunnah wal Jamaah: Diasaskan oleh Abu Hassan Al-Ash'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi dengan berpaksikan kepada Al-Qur'an dan Sunnah. Tujuan penubuhannya adalah untuk menentang fahaman sesat yang dibawa oleh kelompok Mu'tazilah, Jabariyah, Mu'tazilah, Syiah, Khawarij dan lain-lain. Kelompok Ahli Sunnah turut menggunakan hujah akal dalam usaha mematahkan hujah-hujah falsafah yang diutarakan oleh kelompok tersebut. Kelompok ini tidak terhad kepada perbincangan ilmu kalam tetapi turut membahaskan soal fiqh, ilmu tafsir dan lain-lain. Daripada sini jugalah terbentuknya empat mazhab utama yang terkenal sehingga ke hari ini iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Salaf: Kelompok yang termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah kerana perbahasan mereka tidak lari daripada Al-Qur'an dan Sunnah. Perbezaannya hanyalah kelompok ini enggan mempraktikkan penggantungan terhadap akal dalam perbincangan ilmu agama terutama dalam mentafsirkan ayat-ayat mutasyabihat. Antara tokoh yang masyhur daripada kelompok ini adala Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim.

Mu'tazilah: Diasaskan oleh Wasil bin 'Athak. Asalnya, beliau adalah anak murid kepada Hassan Al-Basri yang merupakan pendukung aliran Ahli Sunnah. Suatu hari, Wasil hadir dalam pengajian yang disampaikan oleh Hassan Al-Basri di dalam sebuah masjid di Basrah. Hasan Al- Basri mengatakan bahawa orang yang berdosa dan tidak sempat bertaubat sebelum matinya tetap dikira sebagai muslim tetapi di akhirat kelak dia akan diazab di dalam neraka sekadar banyak dosanya dan kemudian akan dimasukkan pula ke dalam syurga. Wasil tidak bersetuju dengan gurunya lantas bangun meninggalkan majlis gurunya dan kemudiannya membuka suatu lagi halaqah di sudut lain masjid yang sama. Maka berkatalah Hassan Al-Basri:

اعتزلنا واصل

"Wasil telah mengasingkan diri daripada kita."

Semenjak daripada itulah Wasil dan pengikutnya dikenali sebagai Mu'tazilah (mereka yang mengasingkan diri).

Syiah: Kelompok penyokong tegar Khalifah Ali. Wujud sejak zaman Khalifah Uthman setelah dibawa oleh Abdullah bin Sabak yang berkempen supaya orang ramai membenci Khalifah Uthman dan melantik Sayyidina Ali sebagai khalifah. Beranggapan bahawa hanya Sayyidina Ali yang layak menjadi khalifah manakala sahabat Rasulullah, Sayyidina Abu Bakr, Umar dan Uthman telah merampas jawatan tersebut daripada Sayyidina Ali.

Khawarij: Rata-ratanya berasal daripada penyokong kuat Khalifah Ali. Tetapi dalam perang Siffin ketika tentera Khalifah Ali hampi menang menentang tentera Muawwiyah, Tentera Muawwiyah telah meminta supaya pertengkaran tersebut diselesaikan mengikut Al-Qur'an maka Sayyidina Ali telah menerima cadangan tersebut. Malangnya terdapat segolongan penokong Khalifah Ali yang tidak berpuas hati dengan tindakan Ali lalu membentuk kumpulan baru yang dikenali sebagai Khawarij. Kelompok inilah telah menghantar pembunuh untuk membunuh Sayyidina Ali, Muawwiyah dan (wakil Muawwiyah dalam Majlis Tahkim) namun akhirnya hanya Sayyidina Ali yang terbunuh manakala dua yang lain terselamat.

Qadariyyah: Diasaskan oleh Ma'bad bin Khalid Al-Juhani dan Ghilan ad-Dhamsyiqi. Ma'bad pernah berguru dengan Wasil bin 'Athak dan Hassan Al-Basri namun akhirnya membentuk alirannya sendiri. Dia dan pengikutnya dihukum mati oleh Khalifah Al-Hujjaj bin Yusof as-Saqofi manakala Ghila dihukum bunuh oleh Khalifah Hisyam bin Abdul Malik.

Kelompok ini dinamakan dengan Qadariyyah (ketentuan) kerana mereka berpegang kepada kepercayaan yang segala perlakuan manusia itu ditentukan atau datang daripada manusia itu sendiri dan Allah tidak ada kena-mengena dengan perkara tersebut.

Jabariyyah: Muncul pada zaman Umayyah setelah diasakan oleh Jahmu bin Sofwan seorang yang sering mengeluarkan fatwa yang mengelirukan. Puak ini dinamakan dengan Jabariyyah (paksaan) kerana pegangan mereka yang percaya bahawa setiap perlakuan manusia itu telah dipaksakan dan ditentukan oleh Allah dan manusia langsung tidak mempunyai daya usaha mahupun upaya untuk menentukan perbuatan mereka. Mereka menganggap manusia ibarat bulu pelepah yang berterbangan di udara hanya menurut sahaja ke mana arah angin membawanya dan tidak mampou menentukan hala tujunya sendiri.

Sekian, untuk kali ini. Dalam bahagiuan yang seterusnya saya akan mengutarakan pegangan dan pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh setiap kelompok.

No comments: