Pages

23 November 2009

Pengenalan kepada Ilmu Kalam (Bahagian 1)

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Asri oleh JAIS atas sebab memberi ceramah tanpa tauliah. Ura-ura yang saya dengar mengatakan beliau memang sudah lama diperhatikan kerana dengar kata, beliau cuba menyebarkan fahaman yang tidak selari dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Itu sekadar coretan pembukaan, saya menulis bukanlah untuk membela atau menyerang Dr. Asri tetapi sedikit sebanyak ingin mengupas soal tajuk yang saya utarakan sebagaimana yang di atas berdasarkan sedikit pengetahuan yang saya ada.

Apabila ada ura-ura mengatakan terdapat individu yang ditangkap kerana menyampaikan ajaran yang tidak selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah, persoalan yang timbul ialah, apakah itu Ahli Sunnah wal Jamaah? Apakah pentingnya seseorang itu perlu berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah? Apakah salah untuk berpegang dengan ajaran selain daripadanya? Apakah salah menyampaikan ajaran yang tidak selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah? Dari mana datangnya Ahli Sunnah wal Jamaah? Apakah nama ajaran selain daripada Ahli Sunnah wal Jamaah? Adakah ajaran lain semuanya sesat sehingga menyebabkan orang yang beralih daripada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah boleh ditahan? Insyaallah persoalan ini akan dijawab dalam post ini.

Rasulullah saw bersabda:

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. الترمذي

Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja”. Sahabat-sahabat Baginda bertanya: “Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? ” Baginda menjawab: “Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku.” (Tirmizi)

وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَه

Menurut hadis Abu Daud, ada tambahan, iaitu: “Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid’ah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya – tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya.”

Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah, umat Islam akhir zaman akan berpecah kepada berpulluh-puluh kelompok tetapi akhirnya hanya satu sahaja yang berada atas landasan yang benar yakni mereka yang berpegang kepada ajaran sebenar yang dibawa oleh baginda Rasulullah sendiri. Maka berebut-rebutlah skalian umat Islam mendakwa bahawasanya merekalah yang diperkatakan oleh baginda Rasulullh sebagai kelompok yang berada di atas landasan yang benar.

Soal akidah tidak menjadi masalah di awal perkembangan Islam. Sebabnya, persoalan akidah dirujuk secara terus kepada Rasulullah yang menjadi sumber rujukan muktamad. Dengan sebab itu, tidak berlaku perbezaan alihan sebagaimana yang wujud sekarang. Zaman sahabat turut berlalu dengan keadaan yang sama. Para sahabat berpegang dengan teguh dan kuat dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah. Keimanan dan ketaatan yang tidak berbelah-bahagi terhadap agama menyebabkan mereka tidak membangkitkan persoalan remeh-temeh dan menerima seadanya nas-nas (keterangan) yang datang daripada Allah dan memahaminya sebagaimana yang difahami melalui Rasulullah.

Dukacitanya, setelah Islam berkembang jauh ke seluruh pelusuk dunia, Islam telah diancam oleh fahaman yang telah menyebabkan musibah melanda umat ini. Jika disorot kembali, musibah ini boleh dikatakan bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Ancaman tersebut ialah perselisihan politik dan ilmu falsafah.

Perselisihan dalam politik terus berlanjutan ke era pemerintahan Khalifah Ali sehingga menyebabkan umat Islam berpecah kepada beberapa puak utama iaitu Sunnah, Syiah dan Khawarij yang mana setiap satunya mempunyai fahaman yang berbeza. Pengaruh falsafah Yunani pula kemudiannya telah banyak mempengaruhi gaya pemahaman umat Islam terhadap nas-nas agama. Pertembungan dunia Islam dan falsafah telah menyebabkan para ilmuan bertungkus-lumus menyesuaikan kedua-dua fahaman ini.

Kesannya, agama cuba difahami melalui kaedah falsafah yang telah mebawa kepada kewujudan ilmu baru yang disebut sebagai ilmu kalam atau nama lainnya Ilmu Aqidah, Usuluddin dan Tauhid. Disiplin ilmu ini membincangkan soal tauhid dan ketuhanan, dosa pahala, syurga neraka. Daripada itu juga, wujudnya pihak yang mentakwilkan nas-nas agama sesuai dengan cara yang bagi mereka lebih mudah difahami dan dihayati dalam  usaha mengenal Allah. Maka muncullah puak-puak seperti Ahli Sunnah, Mu'tazilah, Qadariyah, Jabariyah dan Murjiah.

Kebanyakan daripada kelompok ini cenderung menggunakan akal dalam mengkaji dan mentafsir sesuatu perkara. Ini kerana mereka tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh ahli falsafah Yunani dalan pengajian mereka. Tambahan pula, pada zaman pemerintahan Abasiyah, banyak buku-buku falsafah telah dialih bahasa ke bahasa Arab. Pendekatan yang sebegini dinamakan sebagai Ilmu Mantiq. Malangnya penggantungan yang keterlaluan pada pendekatan sebegini telah menyebabkan akal didahulukan daripada nas-nas agama.

Latar belakang kelompok-kelompok di atas akan saya terangkan sedikit sebanyak dalam bahagian 2 tajuk yang sama.

No comments: