Pages

26 November 2009

Korban lwn Aqiqah (Edisi Hari Raya)


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd...

Para pembaca sekalian, sangat mendukacitakan dan menyakitkan hati apabila masih ramai umat Islam yang tidak memahami apakah itu ibadah korban dan aqiqah dan apakah perbezaan antara keduanya. Saya sedang memandu sambil mendengar radio ketika juruhebah station radio tersebut membangkitkan isu ibadah korban dan aqiqah sebagai tajuk perbincangan. Para pendengar diacukan soalan, apakah yang membezakan ibadah korban dengan aqiqah?

Antara jawapan yang diberikan oleh salah seorang pendengar, beza antara keduanya adalah niat. Yang menyedihkan saya ada dua orang pendengar yang sempat saya ikuti jawapan mereka berkata bezanya ialah si pembuat korban boleh memakan sedikit bahagian daripada binatang korban manakala dalam ibadah aqiqah si pembuat aqiqah langsung tidak boleh memakan bahagian daripada ibadah aqiqah. Turut menjadi isu, cara mengeja 'Iduladha. Ada yang mengeja dengan Iduladha, Idiladha ada yang Aiduladha, Aidiladha ada pula 'Aiduladha, 'Aidilahda.

Saya terpegun, tidak tahu untuk merasa apa. Sama ada merasa lucu kerana jawapan itu ataupun merasa dukacita kerana masih ramai orang Islam yang tidak memahami perkara-perkara asas dalam agama seperti dua ibadah ini.

'Iduladha, ejalah sebagaimana yang ingin anda eja tetapi sebutannya bermula dengan huruf 'ain':
عيد الأضحى

Tapi bagi saya tidak mengapa, sebutlah sebagaimana yang anda mahu sebut dan ejalah sebagaimana yang ingin anda eja sebabnya biasalah perkataan Arab dipinjam menjadi perkataan Melayu. Banyak saja perkataan Arab lain yang diMelayukan dan sebutannya tidak pula berbunyi Arab maklum saja, Bahasa Melayu adalah bahasa yang mandul, tidak berkmbang dan hanya tahu mencedok bahasa lain untuk dijadikan Bahasa Melayu. Biarkan sahaja, ini tidak memberi kesan negatif kepada agama. Yang saya risaukan ialah hukum yang dikeluarkan oleh mereka yang memberi respon. Entah dimana dia belajar dan siapa tok gurunya.

Apakah itu ibadah korban dan apa pula aqiqah? Ibadah korban ialah menyembelih haiwan ternakan an'am pada hari raya korban (10 Zulhijjah) ataupun pada hari-hari tasyrik (11,12 & 13 Zulhijjah) dengan tujuan ibadah. Firman Allah Taala:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban."
[Surah Al-Kauthar: 2]

Ibadah aqiqah pula menyembelih haiwan ternakan an'am sempena menyambut kelahiran bayi. Selalunya diadakan bersama dengan hari mencukur kepala bayi. Perlulah diambil perhatian, yang menjadi sunnah ialah mencukur kepala bayi sehingga botak kemudian rambut itu ditimbang dan disedekahkan emas atau perak sekadar berat rambut tersebut dan bukannya mencukur jambul sebagaimana yang diamalkan oleh orang Melayu. Adat mencukur jambul sebagaimana yang diamalkan masyarakat Melayu bukanlah berasal daripada Islam malah dikatakan berasal daripada budaya Hindu. Sabda Rasulullah:

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
"Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."
[Riwayat Abu Daud]

Hukum kedua-duanya adalah sunat muakkad (yang dituntut) dan ditambah kepada ibadah korban hukum sunat kifayah melainkan jika ibadah ini dinazarkan maka jadilah wajib ke atas si pembuat nazar. Bagi Rasulullah pula, hukum iabadah korban adalah wajib.

Tuntutan ke atas ibadah korban adalah setiap tahun manakala tuntutan aqiqah adalah sehingga kanak-kanak tersebut baligh. Pun begitu, lebih afdhal (utama) aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh kelahiran bayi sebagaimana yang tersebut dalam hadith di atas.

Antara binatang ternakan an'am yang biasa dibuat korban atau aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing. Bagi unta, kerbau dan lembu terdapat 7 bahagian setiap satu manakala kambing dan biri-biri satu bahagian sahaja. Harus menjadikan sebahagian daripada seekor lembu sebagai korban dan sebahagian lain sebagai aqiqah. Harus diingat bahawa binatang yang hendak digunakan mestilah terpelihara daripada sebarang penyakit atau kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya lagi cukup pula umurnya.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Rasulullah pernah berkorban dengan 2 ekor biri-biri dan saya juga berkorban dengan 2 ekor biri-biri.
[Riwayat Bukhari]

Diriwayatkan daripada A'isyah tatkala seseorang meyampaikan sejumlah daging kepadanya ketika di Mina maka dia pun bertanya, "Apa ini?". Orang itu menjawab: "Rasulullah telah berkorban untuk para isteri baginda seekor sapi".
[Riwayat Bukhari]

Sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah, sebaik-baknya ibadah aqiqah ditunaikan dengan 2 bahagian bagi anak lelaki (tetap sah walaupun dengan satu bahagian) manakala satu bahagian untuk anak perempuan. Sabda Rasulullah:

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing.
[Riwayat al-Turmuzi]

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing.
[Riwayat Abu Dawud]

Pengagihan daging korban pula digalakkan dalam keadaan mentah kepada para sekalian orang Islam, saudara-mara, fakir dan miskin tetapi haram bagi orang kafir. Daging aqiqah pula digalakkan dimasak dengan masakan yang manis sebelum diedarkan atau dibuat jamuan.

Sunat bagi mereka yang menunaikan ibadah korban mahupun aqiqah untuk makan sebahagian daripada binatang tersebut melainkan sekiranya korban atau aqiqah dibuat dengan niat nazar maka hukum kedua-duanya akan menjadi wajib dan tidah harus makan daging dan hendaklah disedekahkan kesemuanya. Tidak timbul langsung soal tidak boleh bagi si penunai ibadah korban atau aqiqah untuk memakan daging melainkan dengan sebab yag telah saya sebutkan yakni nazar.

Bagi si penerima daging harus baginya memakannya bagi yang kaya manakala bagi yang miskin harus memakannya atau menjualnya.

Akhir kata, saya berharap tulisan saya ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Saya menyeru kepada sekalian umat Islam supaya mengambil berat tentang perkara-perkara asas dalam agama. Kalaupun kita tidak berupaya mendalami agama sebagaimana yang difahami oleh para ulama' setidak-tidaknya kita mengetahui perkara-perkara yang asas.

Janganlah perkara-perkara asas pun kita tidak tahu kerana yang sedemikian sangatlah menyedihkan. Ketahuilah hanya agama yang akan menjadi bekalan kita diakhirat kelak.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd...

Selamat Hari Raya 'Aiduladha, maaf zahir dan batin.

1 comment:

munirah said...

post yg sgt2 bgus...mmg ramai lagi yg keliru pasal korban n aqiqah..n usually sokln yg sme akn ditnye..