Pages

10 October 2009

Hukum Allah (Versi Sang Pendeta syfadh)

Saya menulis sebagai respon kepada tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog beliau yang bertajuk 'Hukum Allah'. Dalam tulisan beliau, beliau ada mengutarakan beberapa perkara yang memanggil saya untuk memberi komen saya yang tersendiri.

11. Soalnya apakah mungkin semua alim ulama benar-benar berpegang kepada hukum Allah apabila memberi pendapat atau membuat fatwa? Jika ya, kenapakah ajaran mereka tidak sama dan begitu bertentangan antara sesama mereka.

Jawapan saya, semestinya para alim ulama' benar-benar berpegang kepada hukum Allah apabila memberi pendapat. Jika tidak, mereka tidak akan diberi pengiktirafan dam digolongkan dalam kalangan alim-ulama'. Meskipun begitu, apa yang membuatkan ajaran mereka berbeza antara satu-sama yang lain adalah kerana perbezaan mereka dalam memahami sumber-sumber hukum Allah.

Sungguhpun begitu, perbezaan gaya pemahaman mereka terhadap sumber hukum tidak boleh sama sekali dikategorikan sebagai  terpesong daripada hukum Allah. Ini kerana perbezaan dalam pentafsiran sumber hukum telah diperakui akan keharusan dan kebenarannya oleh baginda Rasulullah sendiri.

Telah diriwayatkan bahawa suatu ketika di zaman Rasulullah, baginda mengarahkan segerombolan muslimin menuju ke Bani Quraizhah seraya bersabda:

"Jangan seorang pun dalam kalangan kamu yang solat melainkan di Bani Quraizhah."

Ketika kumpulan tersebut dalam perjalanan, masuklah waktu solat 'Asar. Sebahagian daripada kumpulan itu berpendapat mereka perlu menunaikan solat sebaik sahaja masuk waktu dengan mentafsirkan sabda Rasulullah tersebut sebagai suatu arahan supaya mereka bersegera ke Bani Quraizhah dan bukannya bermaksud mereka tidak boleh solat. Sebahagian yang lain mengatakan mereka tidak boleh solat kerana Rasulullah telah menegah mereka berbuat begitu. Lalu mereka yang ingin solat menunaikan solat mereka manakala sebahagian yang lain tidak solat sehinggalah sampai di Bani Quraizhah. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah lantas baginda mengesahkan kedua-duanya.

Dalam suatu riwayat lain dikisahkan bahawa dua orang sahabat Rasulullah telah bermusafir kemudian masuklah waktu solat. Malangnya mereka tidak berjaya mendapatkan sumber air untuk berwudhuk. Lantas kedua-dua mereka bertayamum dan menunaikan solat. Selesai solat, mereka meneruskan perjalanan kemudian mereka menemui sumber air sedangkan waktu solat belum lagi tamat. Salah seorang daripada keduanya berwudhuk dan menunaikan semula solat manakala yang satu lagi tidak mengulang semula solatnya. Apabila pulang mereka mencerikatan perihal tersebut kepada Rasulullah lalu baginda bersabda kepada yang tidak mengulang semula solatnya:

"Sesungguhnya kamu telah menepati sunnah."

Seketika kemudian Rasulullah bersabda kepada yang mengulang semula solatnya:

"Bagi kamu dua kali ganjaran (daripada Allah)."

Nah, lihatlah bagaimana Rasulullah mengesahkan perbezaan tafsiran terhadap sumber hukum Islam. Tidak sekali-kali baginda menyalahkan mereka atau menghukum mereka sebagai terpesong daripada hukum Allah. Justeru jika Rasulullah sendiri tidak berbuat begitu siapakah kita untuk mempersoalkan perkara ini?

13. Oleh kerana ada kemungkinan salah tafsiran berlaku janganlah kita terlalu cepat berkata bahawa hukum yang ditentukan oleh alim ulama adalah hukum Allah dan dengan itu kita tidak boleh mempersoalkannya dan kita akan berdosa jika kita abaikannya.

Sesungguhnya benar atau salah tafsiran terhadap sumber hukum Allah itu adalah hak mutlak Allah sekiranya seorang ulama' itu telah menggunakan segala daya upayanya dalam mencari tafsiran yang paling benar yang mampu didapatinya. Ini kerana tiada satu makhluk pun di atas muka bumi ini yang dapat mengenal pasti secara tepat iradah (kehendak) Allah. Hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dengan segala apa yang diingini-Nya.

Rasulullah bersabda:

"Apabila seorang hakim itu memutuskan sesuatu hukum (dengan segala daya upayanya) kemudian dia benar, maka baginya dua ganjaran. Apabila seorang hakim itu memutuskan sesuatu hukum (dengan segala daya upayanya) kemudian dia salah, maka baginya satu ganjaran."

Berpandukan hadith di atas, lihatlah betapa benar atau salah tafsiran itu terhadap sumber hukum itu bukanlah suatu persolan pokok kerana kedua-duanya diganjari dengan ganjaran yang baik daripada Allah. Malah, persoalan benar atau tidak suatu tafsiran itu bukanlah hak manusia untuk menilainya kerana hanya Allah sahaja yang mempunyai ilmu tentangnya.

No comments: