Pages

27 September 2009

Menggabungkan Puasa Qadha' dengan Puasa Sunat Syawal

Telah bersabda junjungan besar kita yang terutama, Muhammad Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam yang berbunyi:

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال كان كصيام الدهر
"Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari daripada Syawal maka yang demikian adalah seperti berpuasa sepanjang tahun"
[Riwayat Muslim]

Melihat kepada hadith di atas, Puasa Sunat Syawal @ Puasa Enam sememangnya membawa ganjaran yang besar daripada Allah.

Dalam membicarakan soal keutamaan antara kedua ibadah ini semestinya puasa Qadha Ramadhan adalah lebih utama di sisi Allah berbanding puasa Sunat Syawwal kerana puasa Qadha itu hukumnya wajib manalkala puasa Syawal itu hukumnya sunat. Ini diterangkan sendiri oleh Allah dalam suatu Hadith Qudsi yang berbunyi:

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
"Dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa juapun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya"
[Riwayat Bukhari]

Pun begitu, dalam suatu riwayat dikhabarkan bahawa ibu kita, 'Aisyah berkata:

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
"Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) daripada Puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Sya’ban.”
[Riwayat Muslim]

Mekipun 'Aisyah tidak mendaluhukan puasa Qadha daripada puasa Sunat Syawal, ini tidak bermakna puasa Sunat Syawal itu lebih utama daripada puasa Qadha'.

Namun timbulnya persoalan terutamanya dalam kalangan wanita apakah harus bagi kita menggabungkan puasa Qadha' Ramadhan dengan puasa Sunat Syawwal?

Para ulama' telah membahaskan persoalan ini yang mana secara umumnya telah membawa kepada dua pendapat. Pendapat yang pertama mengatakan yang kedua-duanya perlulah dilakukan secara berasingan manakala pendapat yang kedua mengharuskan kedua-duanya untuk dilakukan dengan serentak.

Bagi saya, saya lebih memberatkan dan mengutamakan pendapat pertama yang mengatakan puasa Qadha' Ramadhan dan puasa Sunat Syawal hendaklah dilakukan secara berasingan. Berikut saya sertakan hujah-hujah yang menyokong pendapat yang pertama.

Pertama, adapun hadith yang disabdakan oleh Rasulullah itu menyatakan perkataan 'puasa' dalam bentuk fe'el madi yang menunjukkan maksud perkara yang lepas (past tense) membawa maksud seseorang itu telah sempurna menunaikan ibadah puasa Ramadhan dan kemudiannya barulah menunaikan puasa sunat Syawal.

Kedua, dalam suatu hadith lain Rasulullah bersabda:

صيام شهر رمضان بعشرة أمثالها وصيام ستة أيام بشهرين فذلك صيام السنة
"Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan Syawal seperti berpuasa dua bulan. Begitulah genapnya setahun"
[Riwayat Imam An-Nasai dan Ibnu Majah]

Ini menunjukkan bahawa puasa Ramadhan ditambah dengan puasa sunat syawal barulah sama dengan nilai setahun dan bukannya buasa ramadhan yang digabungkan dengan puasa sunat Syawal.

Ketiga, merujuk kepada kata-kata 'Aisyah yang menyatakan bahawa beliau tidak mengqadha'kan puasa Ramadhan sehingga ke bulan Sya'ban menunjukkan bahawa beliau menunaikan puasa sunat Syawal dan puasa Qadha' secara berasingan.

Keempat, amalan yang wajib itu tidak seharusnya digabungkan dengan amalan wajib mahupun amalan sunat yang lain kerana ibadah wajib memerlukan tumpuan khusus untuk mengangkat tuntutan kewajibannya.

Kelima, ibadah wajib memerlukan niat yang jazam (pasti) tidak seperti ibadah sunat maka dengan sebab itu niat puasa wajib mesti disempurnakan sebelum berpuasa manakala niat puasa sunat boleh dilakukan ketika sedang berpuasa.

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab setiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qadha' dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat.

Sungguhpun begitu, saya melihat pendapat kedua sebagai suatu keringanan yang sesuai diguna-pakai oleh mereka yang tidak berkesempatan menunaikan puasa qadha' dengan puasa Syawal secara serentak. Ini boleh jadi berlaku kerana puasa Ramadhan yang tertunggak terlalu banyak contohnya, dengan sebab nifas walaupun ini seharusnya tidak dijadikan alasan kerana puasa qadha' itu boleh disempurnakan dalam bulan lain sebagaimana yang telah diamalkan oleh Ibunda kita yang suci lagi mulia, 'Aisyah. Selain itu, pendapat ini juga boleh menjadi keringanan kepada mereka yang sukar berpuasa dek kerana masalah kesihatan.

Sebagai berlaku adil, pandangan yang kedua yakni harus menggabungkan Puasa Qadha' dan Puasa Sunat Syawwal telah diutarakan oleh beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqr (bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar), panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Pautan: Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah oleh Ust. Zaharuddin

No comments: