Pages

05 September 2009

Islam dalam pada Tidak Islam

Agak lama saya tidak mengirimkan post baru, ini kerana minda saya tidak berupaya menjana perkara yang menarik untuk dituliskan ditambah lagi dengan beberapa perkara lain menyebabkan blog ini tidak dikemaskini. Oleh itu, saya memohon maaf kepada para pembaca yang menunggukan post baru daripada saya.

Kali ini saya ingin berbicara soal senario hiburan moden hari ini. Ada segolongan orang yang kelihatan kononnya cuba untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam masyarakat. Malangnya mereka ini tidak lain hanyalah hipokrit yang mempergunakan agama untuk mencari kekayaan dunia.

Lihat sahaja, baik pelakon mahupun penyanyi bukan main alim lagi dalam lakonan dan nyanyian mereka tetapi diluar bak kata orang, jauh panggang daripada api, ibarat langit dengan bumi. Apa yang mereka sampaikan dalam lakonan dan nyanyian mereka berbeza sekali dengan apa yang ada pada diri mereka sendiri. Untuk memperjelas lagi gambaran anda saya boleh ibaratkan seperti syaitan yang cuba mengajar manusia menjadi malaikat.

Contohnya, ada suatu drama yang ditayangkan dalam siaran televisyen swasta, pelakon utamanya seorang wanita yang mana dalam wataknya berlakon sebagai seorang wanita yang solehah, bertudung litup, taat agama, alim lagi naif namun sebaliknya di luar merupakan perempuan kaki kelab malam, berpergaulan bebas dan berpakaian tidak senonoh. Akhlak sebenar yang dimilikinya jauh sekali daripada apa yang dilakonkan dalan drama tersebut. Dalam benak saya, patutlah dia menang anugerah pelakon handalan rupa-rupanya memang sangat handal 'berlakon'.

Ada pula penyanyi, sibuk mendendangkan lagu-lagu keagamaan, mengajak manusia mengingati tuhan. Alih-alih sudah bertukar aliran, mengajak orang mengagungkan percintaan sambil mendedahkan apa yang mampu didedahkan. Dan bila orang bertanya jawabnya, "saya dulu menanyi nasyid untuk membantu rakan". Kata saya, patutlah, rupanya bantu kawan sambil cari makan, bukannya membantu agama tuhan.

Selain itu, banyak drama yang diselitkan dengan isu-isu keagamaan kononnya sebagai salah-satu jalan untuk mendidik masyarakat dengan ajaran Islam. Malangnya, yang lebih banyak adalah yang tidak Islam daripada yang Islam. Contohnya ada sebuah filem yang kononnya cuba mempromosikan cinta ala-ala Islam tetapi terdapat babak-babak berkaitan zina, babak minum arak di kelab malam, babak pergaulan bebas dan berpegang-pengangan antara lelaki dan perempuan ajnabi.

Adakah untuk menghalang seseorang itu melakukan maksiat kita perlu membuat demonstrasi bagaimana maksiat itu dilakukan? Adakah dengan melakukan maksiat kita boleh menghalang orang lain daripada melakukan maksiat?

Inilah masalahnya bila kita memandai-mandai. Rasulullah tidak mengajarkan pendekatan ini. Islam tidak menetapkan bahawa matlamat yang baik itu boleh menghalalkan cara.

Ketahuilah azab bagi seorang munafik itu lebih perit dan dahsyat daripada azab bagi seorang kafir. Dan ketahuilah maha dahsyatnya kemurkaan Allah terhadap orang-orang yang munafik itu.

Saya percaya ada yang akan berkata, semua manusia melakukan kesilapan, manusia itu tidak sempurna, siapa kita untuk menilai orang lain? Persoalan daripada saya, apakah anda tidak boleh melihat? Tidak boleh mendengar? Tidak boleh berfikir? Sekiranya anda senang lagi selesa dalam keadaan yang buta, pekak dan bisu, saya berdoa kepada Allah semoga impian anda yang tersebut menjadi kenyataan.

No comments: