Pages

10 September 2009

Islam atas Nama, UMNO lwn PAS

Yang sebenarnya saya sudah penat membicarakan soal isu politik dan agama di Malaysia. Tetapi jika saya tidak berbicara tentangnya saya akan merasa sakit hati membaca tulisan-tulisan yang mana saya kira sebagai tidak wajar terutama di akhbar dan di blog-blog kenalan saya.

Kita mempunyai masalah besar kerana masyarakat kita bukannya tidak faham tetapi mereka tidak mahu faham. Masyarakat kita bukannya bodoh tetapi memperbodohkan diri mereka. Kebanyakan mereka begitu mudah sekali terpengaruh apabila seseorang itu kelihatan agak alim.

Bagi masyarakat kita yang masih lagi kuno dalam pemikiran, 'kelihatan alim' itu sudah lebih daripada cukup bagi seseorang itu disanjungi dan diletakkan dikedudukan yang tinggi dan terpuji yang mana menjadikan mereka lupa bahawa golongan yang terpelihara daripada dosa itu hanyalah para nabi dan rasul. Bahkan para nabi dan rasul juga melakukan kesilapan tetapi kesilapan mereka itu tidak membawa 'aib dan tidak pula membawa dosa.

Apabila kita membicarakan soal politik dan agama sepantas kilat kita akan membayangkan perbalahan yang dangkal antara dua parti politik yang kukuh di Malaysia, UMNO dan PAS. Sebab apa saya kata dangkal, sebab perbalahan antara mereka bertunjangkan sifat ta'asub dan fanatik terhadap politik kepartian tanpa melihat kepada penyelesaian yang wajar. Kedua-duanya telah gagal menggunakan akal yang waras dalam menyelesaikan perselisihan remeh yang telah sekian lama menjahanamkan agama Islam di Malaysia.

Kedua-dua parti inilah yang bertanggungjawab memporak-peranda dan mengkucar-kacirkan Islam di Malaysia. Kerana merekalah umat islam berpecah dan berbalah, kerana mereka umat Islam kafir-mengkafir, kerana mereka umat Islam menjatuhkan satu-sama yang lain, kerana mereka umat Islam menjadi lemah dan kerana merekalah orang bukan Islam berjaya mengambil kesempatan dan beroleh kesenangan sambil memijak-mijak kepala orang Islam.

Si UMNO kononnya sibuk dengan perjuangan bangsanya, manakala si PAS kononya sibuk dengan perjuangan agamanya. Si UMNO menggunakan perjuangan bangsa, manakala si PAS menggunakan perjuangan agama dengan matlamat yang sama iaitu untuk berkuasa. Janganlah kata ada di antara mereka yang ikhlas berjuang bukan kerana kuasa kerana perbuatan kedua-dua mereka jelas menunjukkan keinginan yang amat sangat terhadap pemerintahan. Masakan tidak, terlalu banyak cara yang boleh dilakukan tetapi kenapa memilih untuk bermusuhan dan menjahanamkan satu sama yang lain? Jelas bukan.

Mungkin ada orang yang tidak dapat menerima hakikat ini kerana masih gagal melepaskan ikatan ta'asub dan fanatik kepartian mereka dan menganggap ini sebagai fitnah. Biarkan mereka. Jangan dikejutkan orang yang tidak mahu bangun, biar dia tidur sehingga ke ajalnya. Biarkan orang yang 'buta' jika dia selesa dalam keadaan buta, dan biarkan orang yang 'tuli jika dia senang menjadi seorang yang 'tuli'. Karana sekuat mana usaha kita, orang sebegini tidak pernah akan berubah. Bukan kerana tidak boleh tetapi mereka tidak mahu berubah dan selamanya akan kekal sebegitu. Ini janji tuhan.

Berbalik kepada perbincangan asal, tidakkah kedua-dua parti ini melihat bahawa mereka sebenarnya memperjuangkang perkara yang sama? Di Malaysia, orang Melayu adalah Muslim dan orang Muslim adalah Melayu. Ini bukan cakap kosong. Perlembagaan Malaysia yang diagungkan oleh kedua-dua parti politik ini dalam Perkara 160 mentafsirkan 'Melayu' sebagai:

1. Seorang yang beragama Islam
2. Lazim bercakap Melayu
3. Menurut adat Melayu

Maka dengan sebab itu orang tua-tua kita menggelar orang yang bertukar daripada agama bukan Islam kepada agama Islam sebagai 'masuk Melayu'. Walaupun pada hakikatnya istilah tersebut kurang tepat, tetapi terdapat rasional dan kebenarannya daripada sudut yang lain. Daripada suatu segi lagi, orang yang bukan Islam, bukan Orang Melayu.

Nanti ada sahaja 'orang bijak' mengatakan terdapat orang Islam di Malaysia yang tidak lazim bercakap Melayu dan tidak menurut adat Melayu. Ya, benar. Memang ada tetapi peratusannya amatlah kecil. Kebanyakan mereka yang bertukar agama kepada Islam biasanya berdampingan dengan orang Melayu dan berkelaziman seperti orang Melayu. Dan menurut Perlembagaan Malaysia, yang demikian menjadikan mereka Melayu.

Ada pula nanti 'orang bijak pandai' yang mengatakan jika kita memperjuangkan orang Islam @ Melayu bagaimanapula dengan orang Islam yang bukan Melayu(yakni yang tidak memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jawapan saya, apakah dengan membela orang Islam @ Melayu bermaksud haram bagi mereka membela orang Islam bukan Melayu?

Nanti ada juga orang yang 'terlebih bijak dan teramatlah pandai' mengatakan perjuangan antara kedua parti ini tidak sama. UMNO berjuang memajukan Melayu manakala PAS berjuang memajukan Islam. Apalah salahnya memajukan Islam dan Melayu pada masa yang sama kerana hakikatnya Islam dan Melayu di Malaysia hanyalah berbeza istilah tetapi serupa pada hakikatnya.

Akhir sekali mungkin akan ada 'orang maha pandai lagi maha bijak' mengatakan saya menyampaikan ajaran sesat dengan mentafsirkan Islam sebagai Melayu. Apa yang saya sampaikan di sini adalah dalam ruang lingkup negara Malaysia. Bukankah lebih baik kita jadi penawar daripada racun? Bukankah lebih baik mejadi pendamai yang mencetuskan jalan penyelesaian daripada menjadi batu api yang mencari-cari kesalahan untuk diperbalahkan. Malangnya ramai 'orang bijak pandai' yang lebih gemar menjadi 'racun dan batu api'.

Mengapakah kita sibuk berbalah bodoh hanya dengan sebab istilah dan bahasa? Sebabnya, semua orang ada kepentingan peribadi. Orang yang alim pun mempunyai kepentingan peribadi apatah lagi orang yang 'kelihatan alim'. Itu belum lagi orang yang tidak kelihatan alim langsung. Setujukah anda?

Ramai orang yang tidak faham kerana mereka tidak mahu memahami. Jadi kepada anda pembaca yang budiman, saya tinggalkan kepada anada. Apakah anda juga senang untuk menjadi orang yang tidak memahami?

Barangkali akan ada orang yang marah kepada saya kerana penulisan saya ini. Ucapan daripada saya, kalaulah 'Si Luncai' sudah terlalu sayang akan labu-labunya, biarlah dia membinasakan diri dengan terjun bersama.

3 comments:

hazwan garsides said...

syed,aku seratus peratus bersetuju.

setuju yang amat sangat lah.

mesti ko post pakai laptop baru kan?ptt lah terang je aku nak bace.hahaha

Raafiq said...

pergh..wow..fuhh..

izzatghazali said...

haha~ seperti biasa~ tajam n sinis~
bagos2~ tp caner klu kita perlukan Luncai 2 atas kapal kita? myn sbgai driver kapal 2k?xkn nk biarkn dy terjun gk~ sape yg nk bwk kapal2 6t~
haha~