Pages

23 August 2009

Siapa Lagi Setan?

Alhamdulillah sekali lagi kita dipanjangkan umur dan berpeluang berada dalam bulan Ramadhan yang dimuliakan Allah ini. Bulan yang digambarkan oleh Rasulullah sebagai rahmat di awalnya, keampunan di tengahnya dan pelepasan daripada neraka di hujungnya. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang dirahmati, diampuni dan dilepaskan daripada api neraka.

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda:


"Apabila tiba bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka dan dibelengu semua syaitan"
[Riwayat Bukhari]


Dalam kesibukan orang-orang beriman berkejar-kejar mendekatkan diri sehampir mungkin dengan Allah. Masih lagi terdapat ramai orang yang tidak menghiraukan seruan agama. Seharusnya apabila syaitan dibelengu, prestasi ibadah kita meningkat kerana kurangnya perkara yang melalaikan kita daripada mengingati Allah. Malangnya apa yang berlaku adalah di sebalik sabda Rasulullah yang mengatakan syaitan dibelengu ketika Ramadhan, kerana masih terdapat 'syaitan-syaitan' dalam rupa bentuk manusia yang masih bebas melakukan kezaliman di atas muka bumi.

Mungkin dalam bulan-bulan lain kita menyalahkan syaitan kerana menghasut dan membisikkan kepada kita supaya melakukan kemungkaran. Tapi dalam bulan ini kita dapat lihat siapakah sebenarnya yang bersifat syaitan. Mereka yang tergolong dalam golongan ini melakukan kemungkaran kerana sifat-sifat kesyaitanan telah sebati menjadi darah daging mereka lantas walaupun syaitan telah dirantai, mereka tetap meneruskan amalan mungkar mereka seperti hari-hari biasa.

Mana tidaknya, masih ramai lagi yang liat mengerjakan solah, tidak berpuasa, tidak menutup aurat, berpoya-poya dengan yang bukan mahram dan macam-macam jenis kemungkaran yang dapat kita lihat di depan mata kita sendiri. Jadi persoalannya, di sebalik kita menyalahkan syaitan kerana menghasut kita untuk berbuat kemungkaran seharusnya kita berfikir, siapa lagi setan?

No comments: