Pages

11 August 2009

Bagaimana Caranya Menutup Kesalahan Anda

Semalam saya mengikuti sesi bedah siasat @ post mortem bagi program yang telah saya jalankan bersama rakan-rakan saya. Adalah menjadi suatu kebiasaan apabila kita melakukan sesi bedah siasat kita akan menyatakan sama ada kelebihan, kelemahan, soalan atau penjelasan kepada masalah-masalah yang timbul sepanjang program berlangsung. Begitu jugalah apa yang berlaku semalam.

Sebagaimana yang kita maklum, adalah mustahil untuk menjalankan suatu program itu dengan sempurna 100% kerana pasti akan ada kesulitan atau masalah yang timbul meskipun sedikit dan masalah-masalah ini pula tidak timbul dengan sendirinya melainkan ada penyebabnya.

Seperti biasa juga apabila sesuatu masalah diutarakan pastinya ada orang yang panas telinga terutama mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut. Ada yang mengakui kesalahan mereka dan memberi penjelasan untuk apa yang telah berlaku tetapi tidak kurang juga yang bertungkus-lumus mempertahankan ‘kebenaran’ mereka bahkan ada juga yang cuba mengelak daripada mengakui kesilapan mereka dengan membebankan kesalahan tersebut ke atas pundak orang lain.

Melihat kepada kelemahan yang ketara dalam ‘teknik-teknik mempertahankan diri’ yang diguna-pakai oleh mereka, di sini saya dengan ‘murah hati’ ingin berkongsi cara untuk bagaimana anda dapat menutup kesalahan anda.

  1. Anda cuma perlu bertekak dengan orang yang membangkitkan masalah tersebut sehingga dia penat dan kemudiannya akan senyap.


  2. Anda boleh memutar-belitkan kenyataan orang yang mengutarakan masalah tersebut supaya kelihatan yang masalah tersebut tidak berpunca daripada anda.


  3. Anda boleh menuduh orang lain yang bertanggungjawab terhadap masalah tersebut dan bukannya anda.


  4. Anda boleh membangkitkan masalah remeh-temeh yang lain sehingga kelihatan amat rumit supaya orang melupakan masalah yang telah anda lakukan.


Menerusi pengamatan saya dalam sesi semalam, cara yang paling digemari adalah cara yang keempat. Kebanyakan daripada mereka cuba menutup kelamahan dengan cara membangkitkan soal-soal murahan yang tidak berkait secara langsung dengan perkara pokok. Contohnya apabila dia tidak dapat menjawab soalan yang diketengahkan dia menuduh si pemberi soalan tidak bersopan dalam bertanyakan soalan beserta penggunaan isu-isu murahan yang lain seperti keseriusan mesyuarat, hormat-menghormati dan pemilihan perkataan dalam menyampaikan soalan. Ini secara tidak langsung berlaku kerana setengah orang apabila merasakan diri mereka berada di belah pihak yang ‘kekurangan’, mereka cenderung untuk menjadi terlalu sensitif dan mudah terasa dengan apa yang dikatakan oleh orang lain meskipun apa yang diperkatakan tersebut tiada kena mengena pun dengan mereka.
Walaubagaimanapun, tidak kira mana satupun cara yang anda pilih, anda mungkin bertuah jika ramai orang yang boleh terpengaruh dengan mainan psikologi anda tetapi anda cukup malang sekiranya terdapat ‘orang-orang bijaksana’ yang mampu menghidu helah murahan anda yang tersebut. Jika ini berlaku maka semestinya anda akan mendapat malu dan kehinaan yang maha besar dan tidak seharusnya anda lupakan sehingga ke akhir hayat anda.
Di samping itu juga, saya amat berbesar hati untuk menasihati anda supaya berhati-hati dalam menjawab soalan yang diutarakan. Apa yang paling penting untuk anda lakukan ialah memahami terlebih dahulu apa yang cuba disampaikan oleh si pemberi soalan dan jangan jawab soalan tersebut jika anda tidak tahu jawapannya. Ini tidak, apa yang berlaku ialah terdapat sesetengah orang yang begitu mudah terngadah sehingga mendorongnya untuk member jawapan yang terlalu cepat walaupun dia sebenarnya tidak faham pun apa yang cuba ditanya oleh si pemberi soalan. Akibatnya, mereka telah menghina diri mereka sendiri dengan memberi jawapan yang bukan sahaja tidak relevan malah jauh terpesong daripada perkara pokok. Apa yang saya maksudkan dengan menghina diri sendiri adalah anda memperlihatkan diri anda sebagai seorang bodoh yang tidak faham soalan tetapi berlagak pandai memberi jawapan yang tersesat jauh daripada perkara yang dibincangkan.
Sebagai penutup, saya berkenan untuk memberikan satu lagi kaedah paling berkesan di sebalik kaedah-kaedah yang telah saya berikan di atas. Insyaallah cara ini tidak akan gagal malah akan memperlihatkan anda sebagai seorang yang mempunyai harga diri meskipun anda telah melakukan kesalahan. Caranya adalah dengan mengakui kesalahan yang telah anda lakukan dan memohon maaf kepada mereka yang terkesan secara negatif sebagai natijah daripada kesilapan yang telah anda lakukan. Melalui cara ini mereka yang mendengar akan sejuk hati dan bersedia untuk memaafkan lagi melupakan kesalahan yang telah anda lakukan.
Akhir kata daripada saya, selamat mencuba!

4 comments:

zamzira said...

rugi pulak x dpt tgk org btekak.
then musykil gak klu ko dpt control dr memaki org.. hehehe
pas ni nnt aku try ape yg ko tulis nie bile ade post mortem program len.. haha

rihwan saleh said...

sume org buat sala, nape kdg2 susah sgt nak ngaku, walaupun ksalahan tu da jls n nyate. but still human are insan, and sometime they can be insane... hmm....

p/s ; alhamdulillah takde pape jd wktu post-mortem tue... huhuhu...

Raafiq said...

haih..melepas aku...

izzatghazali said...

haha~ cam pelik j petua ko bg nih?