Pages

16 July 2009

Khilaf@Perselisihan Pendapat (Bhgn 2)

Sabda Rasulullah:

"Khilaf@Perselisihan pendapat dalam kalangan umatku adalah suatu rahmat."

Melihat kepada hadith di atas, adalah agak pelik bagaimana perselisihan pendapat apatah lagi dalam bab agama yang biasanya menjadi sebab kepada perpecahan umat Islam boleh disebut sebagai suatu bentuk rahmat oleh baginda Rasulullah.

Dukacita saya sebutkan antara contoh perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam dengan sebab perselisihan pendapat ialah ketika peristiwa Perang Sifin. Tatkala tentera Ali hampir-hampir menang dalam pertempuran menentang tentera Muawwiyah maka tentera Muawwiyah pun menganggat Al-Qur'an dihujung tombak sebagai isyarat yang mereka ingin kembali kepada Al-Qur'an dan sunnah. Ini menyebabkan tentera Ali pun berselisih pendapat lalu terpecah kepada dua kumpulan, satu ingin memberhentikan perang dan satu lagi mahu meneruskan perang.

Tatkala keputusan memberhentikan perang diambil maka puak yang ingin meneruskan perang tadi keluar daripada kelompok penyokong Ali dan membentuk kumpulan yang dinamakan Khawarij yang akhirnya telah membawa kepada pembunuhan Ali sendiri.

Satu lagi contoh perpecahan yang berlaku dengan sebab perselisihan faham adalah dalam peristiwa ketika Hassan Basri sedang membuat kelas agama bersama anak muridnya dalam sebuah masjid, salah seorang anak muridnya bernama Wasil tidak berpuas-hati tentang apa yang diajarkannya berkenaan soal akhirat. Maka Wasil pun keluar daripada kelompok mereka yang sedang belajar bersama Hassan Basri lalu membuat satu lagi kelompok di satu lagi ruangan dalam masjid yang sama. Melalui peristiwa inilah lahirnya kelompok yang dikenali sebagai Mu'tazilah.

Jadi melihat kepada dua peristiwa di atas, persoalan yang timbul adalah di mana benarnya perkataan baginda Rasulullah ketika baginda menyifatkan khilaf itu sebagai suatu bentuk rahmat daripada Allah. Saya melihat 'rahmat' yang disebut oleh nabi tersebut sebagaimana yang berikut:

  1. Khilaf menunjukkan betapa masih terdapat lagi golongan manusia yang berusaha mencari kebenaran melalui jalan memahami Al-Qur'an dan hadith meskipun bentuk kefahaman antara satu-sama mereka adalah berbeza.


  2. Khilaf memberi kemudahan dalam bentuk jalan alternatif kepada umat Islam bagi memudahkan lagi perjalannan aktiviti seharian mereka. Sekiranya seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan sesuatu sebagaimana yang diterangkan oleh seorang imam maka dia boleh memilih untuk mengikuti ajaran imam yang lain. Contoh mudah yang dapat saya beri di sini adalah berkenaan soal wudhuk ketika tawaf.

    Bagi mazhab Syafie, wudhuk seseorang terbatal apabila berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita sama ada dengan syahwat atau tidak. Bayangkan berapa puluh ribu orang yang mengerjakan tawaf dalam satu-satu masa pada musim haji menjadikan agak sukar bagi kita mengelakkan berlakunya sentuhan antara lelaki dan perempuan. Maka dalam hal ini seseorang itu bolehlah bertalfiq mengikut mazhab lain yang menyatakan wudhuk tidak batal melalui sentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali dengan kehadiran syahwat.


  3. Sekiranya khilaf tidak dibenarkan maka umat Islam terpaksa berpuas hati dengan satu bentuk tafsiran sahaja meskipun tafsiran tersebut barangkali tidak sesuai bagi sesetengah golongan manusia dek perbezaan adat budaya dan keadaan persekitaran.


  4. Khilaf juga merupakan suatu bentuk pengiktirafan kepada kedudukan akal manusia di sisi agama sebagai salah-satu alat dalam memahami keterangan-keterangan agama sekaligus menafsirkannya dalam bentuk hukum.

Khilaf tidak sepatutnya membawa sebarang masalah bagi mereka yang memahami adab-adabnya. Isu perpecahan tidak harus timbul apatah lagi dalam soal agama kerana para cendiakawan Islam merujuk kepada sumber yang sama dalam mengistinbat hukum dan dengan niat yang sama yakni untuk mencari kebenaran.
Walaubagaimanapun, haruslah difahami bahawa bukan semua perkara dalam agama itu boleh diperselisihkan. Khilaf hanya dibenarkan dalam bab yang bersifat furu' yakni cabang kepada agama yang mana dalil berkaitannya tidak wujud secara langsung ataupun wujud tetapi bersifat dzan atau samar-samar.
Sebaliknya perkara-perkara asas agama seperti aqidah dan kewajipan ibadah tidak boleh diperselisihkan sama sekali. Pada kebiasaanya pelanggaran kepada peraturan inilah yang membawa kepada perpecahan umat Islam maka hal ini mesti dijauhkan sama sekali.
Perpecahan berlaku bukan dengan sebab khilaf tetapi dengan sebab kebencian antara mereka yang berselisih faham.

No comments: